LONDON: Rancangan Liverpool membeli tonggak pertahanan Crystal Palace, Marc Guehi, gagal pada saat-saat akhir.
Ini adalah antara detik dramatik yang menarik perhatian akibat rundingan tegang di penghujung tempoh perpindahan bola sepak Liga Perdana England (EPL).
Namun, akhirnya siapa yang menang?
Ia bergantung pada pandangan masing-masing.
Pengurus Crystal Palace, Oliver Glasner, boleh dianggap sebagai pemenang terbesar dalam saga ini.
Pengurus dari Austria itu mendapat apa yang diinginkan – mengekalkan kaptennya walaupun kelab tersebut kini kehilangan suntikan dana 35 juta paun ($60.5 juta) dengan Guehi kini dijangka meninggalkan kelab tersebut secara percuma pada akhir musim apabila kontraknya tamat.
Glasner sendiri tidak rugi apa-apa dalam hal ini.
Kontrak beliau bersama Palace tinggal kurang 12 bulan, dan sehingga kini, beliau masih belum menandatangani kontrak baru walaupun kelab tersebut cuba memperbaharuinya.
Setakat ini, beliau tidak terjejas oleh kemungkinan perpindahan Guehi ke kelab lain, termasuk kesukaran mencari pengganti setara.
Kelab tersebut mungkin lebih sukar mencari pengganti kerana Guehi, 25 tahun, dijangka meninggalkan Palace secara percuma musim depan, dan dengan itu, tidak ada dana hasil jualan pemain itu yang dapat digunakan untuk membeli pemain baru.
Palace dijangka kerugian 35 juta paun, walaupun selepas bayaran perpindahan pemainnya, Eberechi Eze, ke Arsenal sebanyak 60 juta paun, serta wang yang diraih daripada perjanjian hak siaran televisyen baru boleh mengurangkan sedikit kesan kerugian tersebut.
Glasner secara terbuka mengkritik kelabnya kerana kurangnya kegiatan perpindahan pemain musim ini, terutama pembelian pemain baru untuk mengukuhkan lagi pasukan.
Justeru, ramai tertanya-tanya sama ada perpindahan Guehi yang mungkin berlaku bakal menimbulkan tekanan dan kesukaran bagi Glasner, lapor BBC Sport.
Pengerusi Palace, Steve Parish, membantu meredakan kebimbangan pengurusnya itu dengan mengekalkan pemain pertahanan tengah itu walaupun pada awalnya beliau bersetuju menjual Guehi kepada Liverpool pada hari akhir perpindahan.
Sebaliknya, Parish – bersama kakitangan pemilikan Palace – akan bertanggungjawab mencari huraian kewangan bagi membiayai pusingan pengambilan pemain seterusnya, tanpa wang hasil penjualan Guehi.
Kesan kegagalan Liverpool mendapatkan Guehi akan menjadi lebih jelas pada masa depan.
Adakah pasukan itu kekurangan seorang pemain pertahanan tengah?
Sudah tentu, pemain pertahanan tengah Liverpool, Ibrahima Konate, yang cedera semasa perlawanan menentang Arsenal pada 31 Ogos, Virgil van Dijk, Joe Gomez, dan pemain baru musim panas, Giovanni Leoni, yang baru berusia 18 tahun, akan menanggung beban pertahanan lebih besar.
Namun, watak utama dalam seluruh saga ini adalah Guehi, yang kekal profesional dan turun beraksi untuk Palace di tengah-tengah spekulasi peluang menyertai juara bertahan EPL, Liverpool.
Keputusan kelab menghalang perpindahan ke Anfield tetap sesuatu yang pahit untuk ditelan.
Tetapi untuk mengatakan Guehi telah “kalah” dalam plot penuh liku ini mungkin kurang tepat.
Dari perspektif bola sepak, kedudukan beliau dalam kesebelasan utama Palace sukar disangkal.
Namun, sekiranya beliau berpindah ke Liverpool, peluang bermain secara tetap mungkin terhad kerana beliau perlu bersaing dengan Konate dan Van Dijk di Anfield.
Dengan Piala Dunia 2026 menjelang, itu adalah sesuatu yang amat berharga.
Paling penting, Guehi kini boleh menentukan masa depannya sendiri.
Kini, beliau adalah pemain antarabangsa England yang boleh berpindah ke mana-mana kelab lain secara percuma pada musim panas akan datang.
Ia adalah satu peluang yang jarang berlaku.
Guehi boleh menandatangani kontrak dengan kelab Eropah mulai Januari 2026.
Beberapa kelab elit di benua tersebut sudah pun menunjukkan minat untuk mendapatkannya pada musim akan datang.
Dengan perpindahan percuma selepas kontraknya tamat kelak, Guehi juga dijangka menikmati gaji yang jauh lebih tinggi berbanding 2025.
Menjelang akhir musim lalu, Liverpool telah menyatakan hasratnya dengan jelas bahawa The Reds mahu menandatangani Guehi.
Liverpool percaya jumlah tawarannya adalah wajar. Namun, Palace nampaknya tidak bersetuju.
Akhirnya, rundingan antara kededua kelab berakhir tanpa kata putus.
Pengurus Palace mahu Guehi kekal di kelab tersebut. Pendiriannya boleh difahami – Guehi adalah kapten dan tonggak utama benteng pasukannya.
Palace cuba menyelesaikan isu tersebut dengan menawarkan kontrak baru kepada Guehi, namun pemain pertahanan itu menolak tawaran tersebut.
Liverpool meningkatkan tawaran awal sebanyak 35 juta paun dengan menambah klausa pemberian 10 peratus hasil jualan semula pemain tersebut.
Ini bererti Palace masih berpeluang meraih keuntungan jika Liverpool menjual Guehi pada masa depan.
Bagaimanapun, Palace pula membalas dengan tawaran bernilai 35 juta paun, berserta bayaran tambahan 5 juta paun, bergantung pada prestasi pemain atau syarat tertentu.
Hasrat Liverpool mendapatkan Guehi pada hari terakhir jendela perpindahan akhirnya tidak menjadi kenyataan.
Palace terpaksa menghentikan proses perpindahan tersebut kerana gagal mendapatkan pengganti.
Guehi mungkin menunjukkan reaksi sebenar pada masa depan.
Yang jelas, keputusan terakhir proses rundingan tersebut bukan sesuatu yang mudah diterima. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg