LONDON: England menewaskan Latvia 3-0, dengan Reece James dan Eberechi Eze masing-masing menjaringkan gol sulung di peringkat antarabangsa, dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia di Stadium Wembley pada 24 Mac.
Ini bermakna pengurus baru England, Thomas Tuchel, berjaya meraih dua kemenangan berturut-turut dalam kempen kelayakan Piala Dunia pertamanya.
James, bek kanan Chelsea yang membuat penampilan pertama untuk England sejak 2022, membuat tendangan percuma yang cantik untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-38.
Seperti perlawanan menentang Albania pada 21 Mac, England menghadapi kesukaran menembusi pertahanan yang padat, tetapi kapten England, Harry Kane, menggandakan jaringan pada minit ke-68 hasil hantaran Declan Rice.
Eze kemudian mempamerkan persembahan yang menarik. Pemain sayap itu memperoleh ganjaran apabila gerakan lincahnya membolehkan beliau menjaringkan gol untuk menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-76.
England, yang merupakan pasukan pilihan, mendahului Kumpulan K dengan enam mata, diikuti Albania, yang mengalahkan Andorra 3-0 dalam perlawanan lain pada 24 Mac; dan Latvia dengan tiga mata.
Hanya juara kumpulan layak secara automatik ke Piala Dunia 2026, yang menyaksikan Amerika Syarikat, Canada, dan Mexico menjadi tuan rumah.
Tuchel membuat empat perubahan untuk perlawanan menentang Latvia, yang menduduki tempat ke-140 dalam ranking Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), dan antara perubahan yang dibuatnya adalah menyertakan James bagi menggantikan Kyle Walker.
Jurulatih Jerman itu kelihatan agak kecewa semasa babak pertama perlawanan, yang menyaksikan England menguasai perlawanan dengan menghasilkan 17 percubaan gol dan hantaran lintang yang tersasar.
Penonton juga jelas bosan sehinggalah James menjaringkan gol.
“Sudah lama saya menunggu, saya telah melalui dua tahun yang mengecewakan,” kata James, yang melihat kerjaya antarabangsa terbantut akibat beberapa kecederaan berturut-turut.
“Saya sangat gembira dipanggil semula oleh England. Saya memerhatikan benteng Latvia dan rasa saya boleh melepasinya. Saya agak terkejut apabila dapat menjaringkan gol.”
Sebelum itu, England membuat tuntutan penalti yang ditolak oleh video penolong pengadil (VAR) selepas penjaga gawang Latvia, Krisjanis Zviedris, kelihatan mengasari Jarrod Bowen.
Latvia, yang berdepan England buat kali pertama, mempunyai peluang besar pertama dalam perlawanan itu.
Pemain pertahanan Marc Guehi, salah satu perubahan Tuchel; dan penjaga gawang, Jordan Pickford, gagal menangani satu hantaran jauh, lantas menghadiahkan Vladislavs Gutkovskis dengan gawang yang terdedah. Namun, percubaannya, yang dibuat secara terburu-buru, tersasar.
England terus memburu gol pada separuh masa kedua – membuat sebanyak 41 hantaran lintang sepanjang 90 minit – sementara Latvia mempamerkan disiplin ketika bertahan.
Namun, Kane tidak melepaskan peluang apabila Rice mengumpan bola ke kawasan penalti bagi membolehkan kapten England itu menjaringkan gol rekod ke-71 bagi negaranya.
Eze, yang menggantikan Bowen yang pamer aksi mengecewakan, menjadikan perlawanan lebih menghiburkan dengan gerakan lincah di sayap kiri.
Jaringannya pula memastikan beliau bakal menjadi antara pilihan utama Tuchel. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg