LONDON: Pemain England, Kieran Trippier, berkata pasukannya tidak boleh menjadikan ‘keletihan’ sebagai alasan setelah gagal memenangi Euro 2024.
Pasukan The Three Lions itu tewas 1-2 kepada Sepanyol dalam perlawanan akhir di Berlin pada 14 Jun.
Kekalahan itu bermakna penantian selama 58 tahun pasukan lelaki England untuk memenangi kejohanan utama masih berterusan.
Ia juga bermakna England terus kempunan tewas dalam dua perlawanan akhir Euro berturut-turut.
Selepas kekalahan itu, pengurus England, Gareth Southgate, berkata beberapa pemainnya menunjukkan aksi “kurang daripada tahap terbaik fizikal mereka” sepanjang kejohanan selama sebulan itu.
Namun, pemain pertahanan Newcastle, Trippier, berkata kelelahan pemain England tidak boleh dijadikan alasan kekalahan mereka, lapor BBC Sport.
“Pasukan kami cukup cergas. Jika anda lihat statistik, saya rasa kami mungkin mencapai yang tertinggi dalam kejohanan ini secara keseluruhan. Jadi ia (rasa penat) bukanlah satu alasan.
“Mereka (Sepanyol) mendapat gol kedua dan memang sukar memenangi perlawanan menentang pasukan seperti Sepanyol,” ujar Trippier.
England mara ke final Kejohanan Eropah buat kali kedua berturut-turut walaupun gagal memenangi dua daripada tiga perlawanan kumpulan mereka.
Pemainnya juga diejek semasa keluar padang oleh penyokong mereka selepas mendapat keputusan seri dalam perlawanan menentang Denmark dan Slovenia.
Trippier, yang bermain pada kejohanan utama keempat untuk negaranya, berkata beliau tetap yakin dengan masa depan England.
Pemain tengah, Kobbie Mainoo, 19 tahun, hanya membuat penampilan sulung dalam pasukan itu pada Mac, namun memainkan peranan penting yang membawa pasukan England ke final, manakala pemain pertahanan, Marc Guehi, 24 tahun, yang bermain pada kejohanan utama pertamanya turut menunjukkan aksi mengagumkan.
Selain itu, Southgate melakukan pertukaran memasukkan Cole Palmer, 22 tahun, dan hasilnya, penyerang Chelsea itu berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-73.
“Mereka akan belajar banyak daripada kejohanan ini... Ia akan membuat mereka berkembang maju,” tambah Trippier mengenai beberapa pemain tidak berpengalaman dalam barisan pemain bimbingan Southgate.
Southgate, 53 tahun, berkhidmat sebagai pengurus sejak 2016, tetapi kontraknya bakal tamat pada Disember ini.
Beliau mengakui sukar untuk merenung kembali khidmat beliau selama lapan tahun, tetapi beliau tidak meragui kemampuan England berjaya dalam kejohanan utama akan datang. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg