LONDON: Kapten Liverpool, Virgil van Dijk, menafikan dakwaan pengulas sukan, Roy Keane, bahawa beliau bersikap angkuh dalam komennya mengenai Manchester United selepas perlawanan antara kededua pasukan ‘musuh ketat’ itu yang berakhir dengan keputusan seri tanpa gol.
Selepas perlawanan di Anfield pada 17 Disember, van Dijk berkata, “hanya ada satu pasukan yang cuba untuk memenangi perlawanan itu”.
Keane, bekas kapten dan pemain tengah United, yang kini menjadi pengulas sukan Sky Sports, berkata ada semacam keangkuhan dalam komen van Dijk yang mengkritik gaya permainan pasukan lawan.
“Saya menghormati Roy Keane. Kalau itu pendapatnya, saya terima,” kata van Dijk.
“Keane adalah peminat Manchester United sepenuhnya. Saya faham mengapa beliau memberi reaksi seperti itu, tetapi saya yakin dengan apa yang saya katakan. Tiada keangkuhan dalam komen saya.”
Menurut van Dijk, sesiapa yang menonton perlawanan itu mungkin mempunyai anggapan yang sama.
“Kami teruskan langkah. Kami mempunyai peluang tetapi tidak dapat menjaringkan gol dan itu sesuatu yang mengecewakan,” tambah beliau.
Liverpool menguasai permainan dan melakukan 34 percubaan ke arah gawang gol lawan – 16 percubaan lebih banyak daripada yang mereka catatkan semasa membenam United 7-0 pada musim lalu.
Namun, United berjaya menyekat Liverpool dengan taktik lebih defensif.
Keputusan itu menyaksikan Liverpool gagal meraih kemenangan di padang sendiri buat julung-julung kali musim ini, sekali gus menyebabkannya kehilangan satu mata dan satu tangga di bawah pendahulu liga, Arsenal, yang berjaya mengatasi Brighton, selepas 17 perlawanan.
“Mungkin ada ketika kami terlalu beria-ia untuk menang dan seharusnya membuat keputusan yang lebih baik, namun agak sukar menembusi gaya bertahan seperti itu,” tambah pemain antarabangsa Belanda, Van Dijk.
“Kami terus berusaha melakukan apa sahaja yang boleh. Tetapi, ini adalah salah satu hari di mana kami tidak dapat membuat keputusan yang betul untuk menjaringkan gol. Kami terlalu beria-ia... tapi apakan daya, inilah bola sepak.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg