VANCOUVER: Jurulatih Canada, Jesse Marsch memaklumkan pemain tengah, Ismael Kone kini berada di hospital, disyaki mengalami patah kaki selepas kecederaan ngeri ketika skuad itu merekodkan kemenangan besar 6-0 ke atas Qatar, pada 19 Jun.

Kone diusung keluar selepas terjahan keras pemain tengah Qatar, Assim Madibo pada minit ke-51 dalam aksi Kumpulan B di Stadium BC Place, Vancouver.

Marsch selepas perlawanan berkata semua orang yang berada di bangku simpanan Canada menyedari betapa serius kecederaan yang dialami Kone.

“Ia berlaku betul-betul di hadapan kami dan semua orang boleh mendengar bunyi tulangnya patah,” kata Marsch.

“Saya belum bercakap dengan Ismael, tetapi beliau berada di hospital. Beliau sedang bersedia untuk menjalani pembedahan.

“Saya akan melawatnya selepas sidang media ini. Kami akan melihat dengan lebih lanjut apakah keputusan terbaik untuk rawatannya.

“Semua orang terkejut dengan apa yang berlaku kerana kecederaan itu dan juga kerana Ismael sebahagian besar daripada semangat pasukan kami.

Kehilangannya akan memberi kesan besar kepada kami,” tambah Marsch.

Kone, 24 tahun, yang bermain untuk kelab Serie A Itali, Sassuolo, sempat melambai tangan kepada penyokong ketika diusung keluar sambil menerima bantuan oksigen, menurut laporan AFP.

“Beliau melambai kepada penyokong seolah-olah cuba menenangkan semua orang walaupun dirinya cedera. Itu benar-benar menggambarkan peribadi Ismael.

“Semua sedih apabila ia berlaku, tetapi kami perlu mencari jalan untuk terus fokus kerana kami tahu Ismael mahu kami menyelesaikan tugas kami.

“Banyak perkara bermain di fikiran kami sekarang, kami semua memikirkannya, tetapi kami juga sangat bangga dengan apa yang kami lakukan,” kata Marsch.

Bagaimanapun, Marsch meluahkan rasa tidak puas hati terhadap reaksi individu di bangku simpanan Qatar yang membantah keras selepas Madibo dilayangkan kad merah.

Pada awalnya, Madibo hanya diberikan kad kuning sebelum keputusan itu diubah selepas semakan video.

“Biar saya jelaskan, pemain itu sudah memohon maaf kepada Ismael. Beliau datang ke bilik persalinan dan meminta maaf.

“Ismael memaklumkan perkara itu kepada pasukan.

“Jadi saya tidak fikir beliau berniat melakukan terjahan yang begitu mengerikan atau menyebabkan situasi seperti itu. Saya tidak menyalahkannya atas perkara terbabit.

“Namun, saya tidak faham mengapa seluruh bangku simpanan mereka bertindak seperti mahu mencetuskan pergaduhan kerana keputusan kad merah itu, sedangkan satu kekasaran yang jelas berlaku sehingga menyebabkan kaki seorang pemain patah.

“Itu satu tingkah laku yang pelik,” kata Marsch.

Rakan sepasukan, Stephen Eustaquio, antara yang pertama tiba untuk memberikan sokongan selepas insiden itu dan mengakui pasukan mereka akan merindui sumbangan Kone.

“Beliau mempunyai ‘faktor X’ yang sangat diperlukan pasukan kami,” katanya.

Walaupun kehilangan Kone, Canada tetap mencatat kemenangan besar 6-0 ke atas Qatar.

Selepas jaringan keempat yang dijaringkan pengganti Kone, Nathan Saliba, pasukan terbabit memberi penghormatan khas kepada pemain yang cedera itu. – Agensi berita.