Perlahan-lahan, juara dunia pencak silat, Muhammad Iqbal Abdul Rahman melangkah kembali ke kawasan rehat sambil menunduk kepalanya sebelum duduk bersendirian buat seketika.
Beberapa ketika selepas itu, air matanya mengalir.
Penantian beliau sejak 2022 untuk sekali lagi menggenggam pingat emas Sukan SEA terpaksa diteruskan selepas beliau tersingkir di peringkat suku akhir acara seni tunggal putra.
Iqbal tewas tipis 9.935 - 9.955 kepada pesilat Indonesia, Syarief Hidayatullah Suhaimi, yang seperti beliau, turut pernah bergelar juara dunia.
Hanya selepas mendengar hujah rakan-rakan sepasukan dan jurulatih, Iqbal berjaya menenangkan dirinya sendiri.
Bercakap kepada Berita Minggu (BM) Muhammad Iqbal berkata:
“Sudah tentu selepas kekalahan, perasaan kecewa itu sentiasa ada, tetapi saya telah memberikan segalanya di dalam gelanggang. Itulah perkara yang paling penting bagi saya.”
Meskipun tewas, Muhammad Iqbal meninggalkan gelanggang tanpa kesalan setelah memberikan saingan yang hebat, walaupun beliau akur masih belum 100 peratus pulih daripada kecederaan.
Menambah, beliau berkata: “Sejujurnya, saya sedikit terkejut tersingkir awal dalam pertandingan, tetapi itu sebahagian daripada sukan... Saya kecewa tetapi saya terima kenyataan ini.
“Bukan mudah untuk meraih kemenangan di Sukan SEA kerana semua pesilat yang terbaik berasal daripada Asia Tenggara. Setiap atlet mempunyai peluang untuk menang, namun hari ini mungkin saya kurang bernasib baik.”
Pada usia 32 tahun, Iqbal berkata beliau belum bersedia untuk berundur dari gelanggang pertandingan.
Beliau melahirkan harapan menebus kekalahannya itu dengan beraksi di Sukan SEA 2027 nanti.
“Saya selalu mendahagakan kemenangan. Kebangkitan selalunya lebih manis selepas melalui kekalahan,” katanya.
Buat masa ini, beliau berkata matlamat jangka lebih dekat bagi beliau ialah untuk memulakan persiapan bagi mempertahankan gelarannya di Kejohanan Dunia 2026.
Jurulatihnya, Nur Fazlin Juma’en, memuji usaha jaguh itu.
“Saya rasa Iqbal beraksi dengan sebaik-baiknya hari ini, lawannya perlu bersaing dengan sesungguhnya,” kata beliau.
Sementara itu, Nur Fazlin berkata beliau berpuas hati dengan pencapaian anak didiknya yang lain untuk mara ke peringkat separuh akhir acara seni dan menjamin dua butir pingat gangsa.
Tiada perlawanan khusus diadakan untuk membezakan tempat ketiga dan keempat dalam acara seni.
Pasukan regu lelaki Singapura yang dibentuk Muhammad Affiz Mohamed Zakri, Muhammad Nazrul Mohd Kamal dan Muhammadinil Mustafar Mohd Isa mengatasi pasukan Laos dengan kemenangan tipis 9.93-9.92 di suku akhir.
Mereka, yang digandingkan sejak 2022, akan berdepan dengan regu Filipina pada 14 Disember.
Kededua regu itu pernah bersua di gelanggang pertandingan pada Oktober 2025, di mana regu Singapura tewas.
Namun Mustafar berkata mereka yakin boleh mempertingkat prestasi selepas menyesuaikan diri dengan suasana di Dewan Impact Forum.
“Ini masanya untuk kami membuktikan kehandalan kami, lagi-lagi dengan pengorbanan dan usaha kami dalam persiapan sejauh ini.”
Nurin Insyirah Mohamed Aidil pula menewaskan Phone Sonesaisane dari Laos, 9.93 - 9.92, bagi acara tunggal puteri.
Srikandi berusia 21 tahun itu berkata beliau kini memburu pingat emas.
Ketika ditanya tentang keputusan yang sangat rapat, Nur Fazlin berkata ia mencerminkan tahap persaingan yang tinggi di rantau ini.
Beliau berkata: “Dengan pertandingan yang sangat sengit, kemenangan tipis tetap sangat bermakna, semua pesaing sukar diatasi. Pesilat kami menunjukkan prestasi yang terbaik hari ini dan ini satu permulaan yang positif buat kami.”
Acara tanding dijadual bermula pada 14 Disember.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg