Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas pesilat raih gangsa acara wushu

Siti Khadijah cipta sejarah menang pingat Sukan SEA dalam dua sukan – silat dan wushu
Dec 14, 2025 | 5:30 PM
Siti Khadijah Mohamad Shahrem, Hnin Nu Wah
Siti Khadijah Mohamad Shahrem (helmet biru, beraksi dalam perlawanan separuh akhir dengan atlet Myanmar, Hnin Nu Wah, di dewan serba guna Kompleks Kerajaan, Chaeng Watthana pada 14 Disember. Walaupun tewas 0-2, beliau tetap meraih pingat gangsa secara automatik kerana tiada perlawanan penentuan bagi tempat ketiga. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Sejurus selepas pengadil mengumumkan keputusan perlawanan separuh akhir acara sanda (tanding) wushu 60 kilogram, Siti Khadijah Mohamad Shahrem, melakukan sujud syukur.

Beliau tewas kepada lawannya, Hnin Nu Wah dari Myanmar dalam perlawanan itu, tetapi kurang setahun selepas beliau beralih daripada silat ke wushu, Khadijah mengukir sejarah dengan memenangi pingat pertama negara dalam acara sanda wanita.

Walaupun gagal mara ke final, beliau tetap meraih pingat gangsa kerana tiada perlawanan penentuan bagi tempat ketiga dalam acara itu.

Namun, kekecewaan tetap terpancar di wajah Khadijah kerana gagal melangkah ke peringkat akhir.

Malah air matanya tidak berhenti mengalir semasa beliau bercakap dengan Berita Harian (BH) sejurus selepas perlawanan itu.

Sambil teresak-esak, Khadijah berkata beliau tidak dapat menahan sebak kerana begitu kecewa gagal mengharumkan nama negara dalam sukan baru.

“Walaupun saya baru dalam sukan ini, saya ingin menang.

“Saya terhutang budi kepada rakyat Singapura, ibu bapa saya dan jurulatih saya yang telah menyaksikan perkembangan saya sebagai seorang atlet dan sebagai seorang individu,” ujar beliau, yang sebelum ini pernah memenangi pingat di Sukan SEA, tetapi dalam acara silat.

Khadijah memenangi pingat gangsa dalam acara silat Kelas F (70 hingga 75 kilogram) di Sukan SEA 2022 di Hanoi, Vietnam.

Terlampau dipalit kekecewaan, Khadijah bak tidak mampu menguntum senyuman lama, walaupun selepas diberitahu beliau kini menyertai kumpulan segelintir atlet negara yang menang dua pingat Sukan SEA dalam dua sukan berbeza.

Sebelum ini, pemain hoki, Tiffany Ong, pernah memenangi pingat dalam hoki dan bola lantai (floorball) di Sukan SEA.

“Walaupun saya bersyukur dan berasa rendah hati dengan pingat yang diraih, saya merasakan ia masih belum mencukupi.

“Saya akan terus mengejar lebih banyak kejayaan pada tahun-tahun akan datang,” ujar beliau, 24 tahun.

Walaupun mengukir sejarah sukan negara dengan memenangi pingat pertama bagi acara sanda wanita, Siti Khadijah Mohamad Shahrem, tetap kecewa tidak dapat melangkah ke acara akhir.
Walaupun mengukir sejarah sukan negara dengan memenangi pingat pertama bagi acara sanda wanita, Siti Khadijah Mohamad Shahrem, tetap kecewa tidak dapat melangkah ke acara akhir. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Final yang diadakan di dewan serba guna Kompleks Kerajaan, Chaeng Watthana pada 14 Disember, menyaksikan Khadijah memberi saingan hebat kepada lawannya.

Walaupun tewas dalam pusingan pertama, Khadijah memulakan pusingan kedua dengan garang apabila menumbuk Nu Wah bertubi-tubi dan menjatuhkan lawannya untuk mengutip mata dan merapatkan jurang.

Namun, Nu Wah berjaya bertahan dan sempat melancarkan beberapa serangan balas yang membolehkannya mengatasi Khadijah.

“Di pusingan kedua, saya tahu saya dapat merapatkan jurang, tetapi tidak cukup. Saya tahu saya boleh menentangnya di pusingan ketiga.

“Saya tidak mampu banyak berkata-kata... beliau lebih baik pada hari ini, namun saya tidak sabar untuk berdepan dengannya sekali lagi,” kata Khadijah, yang menjamin pingat gangsa selepas menewaskan peserta Laos Bulisavong Sudalath 2-0 di peringkat suku akhir.

Tiada yang lebih berbangga dengan pencapaian Khadijah melainkan keluarganya yang duduk di antara penyokong.

Bersorak, berdiri dan memekik namanya ketika perlawanan, mereka mengukir senyuman bangga apabila keputusan akhir diumumkan.

Tanpa disedari, ibunya, Nirwati Mohd Yassin mengalirkan air mata apabila menceritakan kepada BH mengenai cita-cita Khadijah sejak kecil.

Rupa-rupanya, Khadijah menanam hasrat mewakili negara dalam sukan sejak berada di darjah lima, sejak beliau dan keluarga menyaksikan aksi Sukan SEA di televisyen, semasa bendera negara dikibarkan.

“Ketika itu, beliau berkata pada saya ‘Mama, saya juga ingin cium bendera Singapura’.

“Kata-kata itu terus menjadi pegangannya hingga sekarang, dan penyebab kenapa beliau mempunyai semangat juang tinggi dalam dirinya,” katanya.

Walaupun Khadijah perlu memujuk ibunya terlebih dahulu untuk mendapatkan restu sebelum menyertai wushu sanda, Nirwati, tetap berbangga dengan pertempuran yang ditunjukkan oleh puterinya itu.

“Ketika dia mahu meyakinkan saya untuk menyertai wushu, saya berasa risau kerana ia merupakan sukan yang membenarkan serangan ke muka.

“Tapi, beliau kata, ‘saya perlukan restu ibu’ dan melihat disiplin serta ketekunannya, saya akhirnya memberi sokongan kepadanya.

Nirwati menambah: “Walaupun beliau tidak dapat bertanding untuk silat pada Sukan SEA ini, rezekinya ada di wushu dan hari ini beliau beraksi dengan baik sekali.”

Kali terakhir Singapura memenangi pingat dalam acara sanda ialah pada Sukan SEA 2015, apabila Ivan Lin meraih pingat gangsa dalam kategori 65 kilogram.

Namun Singapura tidak pernah memenangi acara itu dalam kategori wanita.

Pertandingan wushu dibahagikan kepada dua kategori – taolu – iaitu persembahan seni; dan sanda, iaitu acara tanding

Selain daripada Khadijah, seorang lagi atlet yang menukar pakaian seragam silat ke wushu ialah Adib Farhan Ramli.

Namun, Adib tidak berjaya untuk mengatasi lawannya dari Myanmar di perlawanan suku akhir pada 13 Disember.

Atlet wushu Singapura, Siti Khadijah Mohamad Shahrem (ves biru), menentang atlet Myanmar, Hnin Nu Wah di separuh akhir acara sanda (tanding) wushu 60 kilogram.
Atlet wushu Singapura, Siti Khadijah Mohamad Shahrem (ves biru), menentang atlet Myanmar, Hnin Nu Wah di separuh akhir acara sanda (tanding) wushu 60 kilogram. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Pada Sukan SEA 2023 di Kemboja, pasukan wushu Singapura membawa pulang enam pingat – dua emas, tiga perak, dan satu gangsa.

Sementara itu, pasukan silat negara menyumbang dua pingat – satu perak dan satu gangsa – dari acara seni.

Regu lelaki yang dibentuk Muhammad Affiz Mohamed Zakri, Muhammad Nazrul Mohd Kamal dan Muhammadinil Mustafar Mohd Isa memenangi pingat perak dalam acara regu putra sementara Nurin Insyirah Mohamed Aidil memenangi pingat gangsa dalam acara tunggal puteri.

Dalam acara tanding pula, Aniq ‘Asri Mohammad Yazid tewas kepada lawan dari Indonesia, Muhammad Zaki Zikrillah Prasong, 40-55 dalam perlawanan suku akhir Kelas C Putra (55-60kg) manakala di kelas D Putra (60-65kg), Ahmad Hanin Abdul Rahim ditumpaskan oleh Minh Triet Nguyen dari Vietnam di pusingan kedua.

Tiga pingat emas turut dimenangi Singapura di acara sukan pelayaran pada 14 Disember.

Ryan Lo, melakar kemenangan di acara ILCA7 lelaki selepas Jania Ang dan Ethan Chia masing-masing memenanginya dalam acara ILCA6 wanita dan Optimist lelaki.

Di kolam renang pula, Teong Tzen Wei dan Letitia Sim, masing-masing memenangi pingat emas di acara kuak kupu-kupu 50 meter lelaki dan kuak dada wanita 200 meter.

Tzen Wei mengatasi rakan senegara, Quah Zheng Wen, yang mengambil tempat kedua.

Dalam acara kuak dada lelaki 200 meter pula, Chan Chun Ho, dan Maximillian Ang menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.

Pasukan renang lelaki yang dibentuk Ardi Zulhilmi Mohamed Azman, Jonathan Tan, Mikkel Lee, dan Quah Zheng Wen pula menang acara gaya bebas berganti-ganti 4x100 meter dalam masa 3 mini 16 saat – rekod baru Sukan SEA.

Sehingga waktu cetak, Singapura telah memenangi 23 emas, 25 perak dan 32 gangsa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg