MADRID: Atletico Madrid kalah 1-0 dalam perlawanan kedua menentang Barcelona dalam Copa del Rey pada 3 April, menyebabkan mereka tersingkir daripada pertandingan itu.
Dalam perlawanan pertama, kedua-dua kelab seri 4-4 pada 26 Februari.
Namun, jurulatih Atletico, Diego Simeone, tetap bangga dengan usaha kelabnya musim ini.
Simeone mengakui kelabnya tidak bermain dengan baik menentang Barcelona, tetapi beliau tidak menyalahkan pemainnya.
Simeone berkata: “Bola sepak ada pasang dan surut… dan pada musim ini, anda perlu tahu bagaimana menguruskan saat-saat yang baik… mahupun buruk, dan berharap menamatkan perlawanan dengan cara yang terbaik.
“Kami tidak bermain dengan baik hari ini tetapi kami tidak menyesal. Tidak terdapat celaan atau rungutan kerana semangat dan keinginan kompetitif mereka (pemain Atletico) sentiasa wujud.
“Semua pemain memberikan segala yang mereka boleh berikan. Saya berharap meneruskan dengan cara yang sama.”
Barcelona akan menentang Real Madrid dalam final Copa del Rey pada 27 April di Seville.
Penyingkiran daripada Copa del Rey adalah satu lagi kekecewaan besar buat Atletico, selepas mereka turut tersingkir dari Liga Juara-Juara.
Mereka juga tidak menang dalam enam perlawanan terakhir dan berisiko menamatkan musim tanpa sebarang trofi buat tahun keempat berturut-turut.
Dalam La Liga, mereka ketinggalan enam mata di belakang pendahulu liga, Barcelona.
Hanya empat minggu lalu, Atletico dilihat sebagai pasukan yang mampu memenangi tiga kejuaraan utama. Mereka berada dalam prestasi terbaik tanpa kalah selama dua bulan.
Mereka juga bersaing rapat dengan Barcelona dan Real Madrid di tangga teratas La Liga dan telah pun layak ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.
Namun, semuanya berubah dengan cepat apabila mereka tewas kepada Real Madrid dalam Liga Juara-Juara menerusi penentuan penalti pada 13 Mac, sebelum kalah 4-2 kepada Barcelona dalam La Liga pada 17 Mac selepas mendahului dua gol.
Kini, selepas tersingkir daripada Copa del Rey, harapan terakhir mereka adalah La Liga. Tetapi ia bukan tugas mudah kerana hanya tinggal sembilan perlawanan sebelum musim tamat.
Barcelona mendahului La Liga dengan 66 mata, diikuti Real Madrid dengan 63 mata, dan Atletico Madrid di tempat ketiga dengan 57 mata. – Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg