BARCELONA (Sepanyol): Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, gembira dengan semangat juang pasukannya apabila mereka bangkit dari ketinggalan dua gol untuk mencatatkan keputusan seri 4-4 menentang Barcelona dalam perlawanan separuh akhir pertama Copa del Rey yang penuh aksi pada Selasa.
Simeone meraikan di tepi padang apabila penyerang Alexander Sorloth menjaringkan gol penyamaan menerusi serangan balas pada minit ketiga masa tambahan untuk menyelamatkan pasukannya.
“Apa yang paling menonjol bagi saya adalah semangat pasukan ini. Pemain-pemain menunjukkan semangat juang yang luar biasa, semangat gladiator yang memberi inspirasi,” kata Simeone dalam sidang media.
“Barcelona mempunyai kelebihan luar biasa, tetapi kami juga mempunyai kelebihan kami sendiri dan kami menunjukkan apa yang kami mampu lakukan di atas padang.
“Perayaan selepas gol keempat adalah satu ledakan kegembiraan.
“Keputusan 4-2 nampak sukar untuk diatasi, tetapi keberanian pemain-pemain amat menakjubkan, untuk menyamakan kedudukan dan memastikan keputusan seri untuk perlawanan kedua pada 2 April.
“Pasukan saya menunjukkan karakter yang hebat dan bermain dengan sangat baik, sentiasa bermain dengan mentaliti yang sama dan semangat persaingan yang sangat tinggi.”
Simeone berkata beliau kecewa kerana pertahanannya melepaskan dua gol daripada sepakan sudut, satu kesilapan yang menurutnya tidak boleh diterima.
“Adalah mustahil bagi pasukan seperti Barcelona untuk mengakhiri perlawanan tanpa menjaringkan gol, tetapi apa yang mengganggu saya adalah apabila mereka menjaringkan dua gol daripada tendangan sudut.
“Ini adalah perkara yang perlu kami betulkan, baik dari segi usaha individu mahupun kolektif,” kata Simeone.
“Namun, perlawanan ini bukanlah mudah, tetapi pemain saya menunjukkan semangat persaingan yang saya sangat saya kagumi.” – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg