Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Simeone dakwa dihina penyokong Liverpool di Anfield

Sep 18, 2025 | 2:19 PM
bola sepak, Liverpool, Atletico Madrid, Diego Simeone
Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone (kanan), yang dilihat berbalah dengan seorang penyokong Liverpool yang berada di belakang bangku pengurus, diarah keluar oleh pengadil Italy, Maurizio Mariani. - Foto REUTERS

LIVERPOOL: Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, mengakui tindakannya tidak wajar selepas beliau diarah keluar padang menyusuli perbalahan hangat dengan seorang penyokong Liverpool, selepas kelab tersebut menjaringkan gol kemenangan ketika masa tambahan dalam Liga Juara-Juara Eropah, pada 17 September.

Atletico berjaya merapatkan jurang dua gol, tetapi tandukan pemain pertahanan tengah Liverpool, Virgil van Dijk, pada minit ke-92 menyebabkan mereka kalah 3-2 di Anfield.

Simeone dilihat marah dengan seorang penyokong Liverpool yang berada di belakang kawasan teknikal, iaitu ruang di tepi padang untuk pengurus dan pegawai kelab.

Pengurus asal Argentina itu kemudian diiring keluar ke laluan khas menuju bilik persalinan, oleh pengadil Italy, Maurizio Mariani.

Selepas kejadian itu, Simeone berkata beliau telah menahan penghinaan selama 90 minit.

Mengulas insiden itu kepada platform televisyen digital Sepanyol, Movistar, Simeone berkata: “Perlawanan itu dipenuhi dengan penghinaan, tetapi saya yang perlu kekal tenang dan menahan semuanya – penghinaan, isyarat (provokatif), dan sebagainya.

“(Liverpool) bercakap tentang menunjukkan aksi yang baik, tetapi mereka menghina anda sepanjang perlawanan dari belakang dan saya tidak mampu berkata apa-apa, kerana saya seorang jurulatih.

“Reaksi saya terhadap penghinaan itu tidak wajar, tetapi anda tidak tahu bagaimana rasanya dihina tanpa henti selama 90 minit.

“Dan sudah tentu, apabila gol lawan hampir memasuki gawang, anda berpaling dan mereka terus menghina anda, ditambah suasana tegang itu, ia menyebabkan perkara itu berlaku.

“Pengadil memberitahu saya bahawa beliau faham (tentang keadaan itu), tetapi saya berharap Liverpool boleh memperbaiki keadaan, dan jika pelaku dapat dikenal pasti, tindakan perlu diambil.”

Apabila ditanya semasa sidang media tentang apa yang sebenarnya dikatakan penyokong Liverpool itu sehingga beliau hilang sabar, Simeone berkata:

“Saya tidak akan menjelaskan penghinaan itu dengan terperinci, saya tidak mahu terjebak dalam perbincangan itu.”

Dalam pada itu, Simeone memuji pasukannya yang menunjukkan ketahanan hebat selepas Liverpool menjaringkan dua gol dalam enam minit pertama, dan bangkit dengan dua gol oleh pemain tengah, Marcos Llorente.

“Kami kurang bernasib baik dengan gol pertama, ia mengganggu rentak kami, tetapi dengan semangat dan mutu pemain, kami kembali ke dalam perlawanan, dan dengan aksi cemerlang Llorente, kami meningkatkan prestasi pasukan,” katanya.

“Kami menguasai perlawanan sehingga gol hebat daripada Virgil menyebabkan kekecewaan, tetapi kami masih bersemangat.” – Reuters. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg