Singapura bakal kembali beraksi dalam perlawanan ketiga Kumpulan C Kelayakan Piala Asia Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Saudi Arabia 2027, menentang India di Stadium Negara pada 9 Oktober.
Perlawanan itu dijadual bermula pada 7.30 malam.
Pasukan Singa akan menentang India dua kali semasa jendela antarabangsa Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) pada Oktober.
Perlawanan pertama berlangsung di padang sendiri di Stadium Negara pada 9 Oktober, manakala Singa bakal beraksi di padang lawan di India pada 14 Oktober pula.
Perlawanan tersebut menandakan penampilan sulung Ketua Jurulatih sementara, Gavin Lee, dalam kelayakan Piala Asia AFC.
Beliau telah mengambil alih daripada bekas ketua jurulatih, Tsutomu Ogura.
Singapura kini mendahului Kumpulan C dengan empat mata selepas dua perlawanan.
Ini termasuk kemenangan 2-1 di tempat lawan ke atas Bangladesh pada Jun, dan seri 2-2 menentang Hong Kong, yang kini menduduki tempat kedua dengan empat mata.
Bangladesh dan India masing-masing menduduki tangga ketiga dan keempat dengan satu mata.
Kemenangan menentang India di laman sendiri akan meningkatkan peluang Singa layak ke Piala Asia AFC buat kali pertama dalam sejarah negara, kata Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).
Sementara itu, FAS berkata harga tiket berbeza bergantung pada tempoh jualan.
Jualan tiket akan dibuka dalam dua fasa, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh FAS pada 4 Ogos.
Fasa jualan awal berlangsung dari 8 Ogos, 12 tengah hari hingga 16 Ogos, 11.59 malam.
Pada tempoh itu, tiket akan dijual pada harga $22 untuk Kategori 1; dan $17 untuk Kategori 2.
Manakala, fasa biasa berlangsung dari 12 pagi, 17 Ogos.
Tiket dijual semasa tempoh ini dikenakan harga $38 (Kategori 1); $28 (Kategori 2); dan $15 (Kategori 3).
Penyokong boleh membeli tiket menerusi laman web, Ticketek.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg