Sejarah menanti untuk diukir oleh pasukan Singa apabila mereka turun ke padang di Stadium Kai Tak Sports Park di Hong Kong pada 18 November.
Kelayakan Piala Asia belum pernah dicapai melalui merit sebelum ini, sama ada oleh pasukan yang pernah diketuai Dollah Kassim pada tahun 70-an, mahupun pasukan legenda tahun 90-an, yang diketuai Fandi Ahmad.
“Generasi sebelum ini memiliki banyak penyesalan kerana tidak pernah bermain (melepasi kelayakan) Piala Asia,” ujar kapten Singa, Hariss Harun. Pada 1984, pasukan Singa layak bermain dalam pertandingan itu ekoran negara ini menjadi tuan rumah ketika itu.
“Generasi kami kini berpeluang, bukan sahaja menjadi pencetus bagi generasi akan datang, tetapi juga menghapuskan penyesalan itu,” tambahnya.
Kini berdepan dengan peluang keemasan untuk layak ke Piala Asia berdasarkan merit, andainya mereka tewas kepada Hong Kong, kekecewaan yang bakal dirasakan pasti amat perit. Bukan sahaja kerana impian yang terlepas, tetapi kerana ia berlaku di ambang mereka dapat mencapainya.
Jika perlawanan itu berakhir dengan keputusan seri, kedua-dua pasukan perlu menanti lama – hingga Mac 2026 – untuk menentukan nasib mereka, di mana Singapura akan berdepan Bangladesh di Stadium Negara dan Hong Kong akan ke India.
Dalam empat perlawanan sebelumnya, Singapura telah menunjukkan ketahanan dan keazaman yang tinggi dengan keputusan seri 0-0 menentang Hong Kong di laman sendiri, mengalahkan Bangladesh 2-1 di Dhaka, seri 1-1 menentang India di Stadium Negara, dan menang 2-1 di Goa.
Setiap keputusan ini telah membawa mereka ke detik penting ini.
Untuk mencapai kemenangan, Singa perlu memburu gol, dan tanggungjawab menjaringkan gol secara semula jadi terletak pada pemain penyerang, termasuk penyerang utama dalam skuad, Ikhsan Fandi.
Walaupun bertekad untuk menjaringkan gol sendiri, beliau akan mengutamakan skuadnya dahulu, dan akan membantu sesiapa sahaja untuk menjaringkan gol.
“Sebagai penyerang, matlamat saya adalah untuk menjaringkan gol dan membantu pasukan menang. Tetapi pada akhirnya, yang penting ialah tiga mata untuk pasukan,” kata penyerang berusia 26 tahun itu.
Kekuatan dan ketajaman beliau pasti akan mendapat perhatian pemain pertahanan, dan akan membuka ruang bagi rakan sepasukannya menjaringkan gol.
Tekanan menjaring dan mencipta gol tidak hanya dipikul oleh penyerang sahaja, malah pemain seperti bek kanan Singa, Ryhan Stewart.
Beliau bukan sahaja perlu memastikan benteng Singa teguh, malah dijangka menambah kepada ancaman serangan dengan gerakan dan hantarannya.
“Untuk saya, yang penting adalah mendengar arahan jurulatih dan membantu pasukan dalam apa jua cara,” kata pemain pertahanan itu.
“Jika jurulatih mahu saya lebih bertahan, saya akan ikut. Jika saya perlu berada di posisi yang boleh membantu pasukan menyerang, saya akan lakukan.”
Selain itu pemain tengah, Kyoga Nakamura, juga menjadi penghubung penting di pertengahan padang, mengawal tempo permainan dan mengatur serangan dengan hantaran beliau.
Namun berdasarkan rekod lalu, Hong Kong mempunyai kelebihan dari segi perlawanan saling bertentangan (’head-to-head’), menang lapan kali berbanding Singapura yang hanya menang sebanyak enam kali, dengan kemenangan terakhir Singapura ke atas Hong Kong pada perlawanan persahabatan lebih sedekad lalu, pada 2012.
Bukan pasukan Hong Kong sahaja yang akan menghalang pasukan Singa daripada kejayaan, malah penyokong mereka turut menyumbang.
Tiket untuk perlawanan tersebut habis dijual dalam masa kurang daripada 80 minit, dan suasana di Stadium Kai Tak yang mampu memuat 50,000 penyokong dijangka menjadi cabaran besar buat pasukan pelawat.
Penyerang muda mereka, Michael Udebuluzor, yang berusia 21 tahun, turut mengakui bahawa pertembungan menentang Singapura di stadium yang penuh sesak itu bakal menjadi antara perlawanan terbesar dalam kerjayanya.
Dalam usaha menambah motivasi, Persatuan Bola Sepak Hong Kong turut menjanjikan ganjaran sebanyak HK$1 juta ($167,400) kepada para pemain dan jurulatih sekiranya mereka berjaya menewaskan Singapura di Stadium Kai Tak.
Antara ancaman utama Hong Kong ialah barisan serangan yang diketuai kapten mereka, Matt Orr.
Beliau telah mempamerkan prestasi cemerlang dan dianggap mampu mengubah rentak permainan dengan kepantasan serta ketajaman penyudahnya.
Pasangan berpengalaman pertahanan Singa, Hariss dan Safuwan Baharudin, berdepan cabaran besar untuk mengekang barisan pertahan yang mengandungi Orr, pemain sayap, Everton Camargo, dan penyerang, Stefan Pereira.
Di bahagian pertahanan, Shinichi Chan, yang disifatkan sebagai “seorang pemain pertahanan yang sangat bagus” oleh ketua jurulatih Hong Kong, Ashley Westwood, pula ditugaskan untuk mengawal ancaman serangan Singa.
Namun begitu, sepanjang kempen kelayakan ini, pasukan Singa telah menunjukkan semangat juang dan ketahanan mental yang luar biasa.
Mereka menunjukkan mentaliti dan keupayaan yang mengagumkan sepanjang kempen ini, terutamanya ketika bermain di Bangladesh di mana mereka mempertahankan kelebihan mereka bermatian-matian, dan juga di India di mana mereka bangkit memperolehi kemenangan 1-0 di Goa.
“Apa yang paling membanggakan ialah bagaimana pasukan ini mengurus tekanan dan fokus pada apa yang mereka boleh kawal,” kata jurulatih Singa, Gavin Lee.
“Dengan sokongan peminat di belakang mereka, saya yakin pasukan ini mampu menunjukkan persembahan terbaik dan mencapai matlamat kami,” tambahnya.
Ramalan wartawan: Singapura 2 : 1 Hong Kong


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg