Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Singa dijinakkan Harimau Malaya 2-1 dalam perlawanan persahabatan

Sep 4, 2025 | 11:26 PM
Pasukan Singapura tewas 2-1 kepada Malaysia dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa pada 4 September di Stadium Bukit Jalil. Penyerang Ilhan Fandi (kiri) menjadi penjaring pasukan Singa, namun pasukan Harimau Malaya berjaya bertahan sehingga ke wisel penamat.
Pasukan Singapura tewas 2-1 kepada Malaysia dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa pada 4 September di Stadium Bukit Jalil. Penyerang Ilhan Fandi (kiri) menjadi penjaring pasukan Singa, namun pasukan Harimau Malaya berjaya bertahan sehingga ke wisel penamat. - Foto INSTAGRAM PERSATUAN BOLA SEPAK SINGAPURA

Pasukan Singapura tewas 2-1 kepada Malaysia dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa pada 4 September di Stadium Bukit Jalil.

Perlawanan derbi koswe ini adalah yang pertama buat pasukan Singapura yang juga dikenali sebagai Singa dan ketua jurulatih sementara, Gavin Lee, 34 tahun.

Kededua pasukan kelihatan agak agresif semasa bermain dalam separuh masa pertama, dengan setiap pasukan melakukan kekasaran sebanyak enam kali.

Barisan penyerang Malaysia yang juga dikenali sebagai Harimau Malaya kelihatan memberi tekanan bertubi-tubi dan pantas kepada pasukan pelawat, sehingga agak sukar dibendung pasukan pelawat.

Sehinggakan tiga pemain pasukan Singa – Kyoga Nakamura, Irfan Fandi dan Harhys Stewart – dilayangkan kad kuning menyusuli kekasaran ke atas para pemain tuan rumah.

Song Ui-Young menghasilkan satu-satunya percubaan untuk Singa sepanjang tempoh separuh masa pertama.
Song Ui-Young menghasilkan satu-satunya percubaan untuk Singa sepanjang tempoh separuh masa pertama. - Foto INSTAGRAM PERSATUAN BOLA SEPAK SINGAPURA

Sepanjang tempoh separuh masa pertama, pasukan Singa hanya mendapat satu percubaan yang menguji penjaga gawang pasukan tuan rumah. Namun percubaan jarak jauh Song Ui-Young itu berjaya ditepis keluar penjaga gawang pasukan Harimau Malaya.

Benteng pertahanan pasukan Singa kelihatan tidak dapat mengatasi kelincahan para penyerang pasukan Harimau Malaya yang sering mengancam gawang pelawat.

Kerja keras pasukan tuan rumah membuahkan hasil apabila penyerang mereka, Stuart Wilkin, menjaringkan gol pada minit ke-25.

Ia hasil hantaran menarik rakan sepasukannya, Endrick Dos Santos, yang membuka peluang kepada Wilkin untuk menjaringkan gol menerusi rembatan kencang ke sudut kiri gol, menewaskan penjaga gawang pasukan Singa, Izwan Mahbud.

Kubu pertahanan pasukan Singa sekali lagi rapuh pada separuh masa kedua, apabila pemain tuan rumah Joao Figueiredo, menjaringkan gol pada minit ke-56 hasil hantaran rendah Stuart Wilkin dari sebelah kiri gawang pasukan pelawat.

Ilhan Fandi yang masuk sebagai peman gantian, merapatkan jurang apabila rembatan jarak jauhnya berjaya membolosi gawang pasukan Harimau Malaya pada minit ke-72.

Kededua pasukan cuba memburu gol namun keputusan kekal 2-1 berpihak kepada Malaysia.

Sewaktu sidang media selepas tamat perlawanan, Lee akur akan pengajaran yang ditimba daripada kededua gol jaringan Harimau Malaya.

Secara umum,  beliau akur pertahanan pasukan Singa perlu lebih teratur dan lincah ketika memintas hantaran pihak lawan.

Namun Lee bersikap positif menerima pengalaman tersebut sebagai peluang untuk mengukuh prestasi pasukannya pada masa akan datang.

 “Kami memang mengharapkan perlawanan yang sengit di padang Harimau Malaya dan mencapai matlamat kami untuk diuji sepanjang masa perlawanan.

“Ini sebagai persiapan untuk perlawanan kelayakan Piala Asia Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang pasukan India yang akan datang.

“Sebenarnya kami mencapai rentak permainan yang baik, namun kami kurang tenang untuk memanfaatkan semua peluang itu.

“Kami sepatutnya lebih mempercayai dalam kebolehan kami… Saya dapati kami membuahkan lebih banyak peluang juga dalam perlawanan itu,” jelas Lee.

Walaupun kalah, Lee bersikap positif menghadapi pengalaman tersebut sebagai peluang untuk mengukuh prestasi pasukannya menjelma perlawanan menentang Myanmar di Stadium Negara Singapura pada 9 September.
Walaupun kalah, Lee bersikap positif menghadapi pengalaman tersebut sebagai peluang untuk mengukuh prestasi pasukannya menjelma perlawanan menentang Myanmar di Stadium Negara Singapura pada 9 September. - Foto YOUTUBE HARIMAU MALAYA

Beliau menambah pasukan Harimau Malaya mempunyai pemain berkualiti yang mampu memanfaatkan kesilapan dan kelalaian pasukan Singa.

Ketika disoal tentang pasukan Singa yang kelihatan kurang cergas, Lee menjelaskan bahawa perlawanan persahabatan demikian turut bertujuan untuk membantu para pemain mengukuh prestasi fizikal masing-masing.

Lee menambah bahawa segolongan pemain belum sempat menerima cukup minit perlawanan di Singapura.

“Saya rasa pemain akan lebih cergas setelah pulih daripada perlawanan ini,” kata Lee.

“Kami akan lihat kepada perlawanan menentang Myanmar sebagai peluang untuk meningkatkan kekuatan fizikal pemain Singa,” ujar Lee.

Pasukan Singa akan menentang Myanmar di Stadium Negara Singapura pada 9 September.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg