Skuad muda bola sepak Singapura tewas 1-2 di tangan Yaman dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), pada 3 September.
Namun, aksi yang berlangsung di Stadium Viet Tri, Phu Tho, Vietnam, itu tetap membayangkan beberapa sinar buat pasukan Singa.
Anak didik Firdaus Kassim kini bersiap sedia menentang tuan rumah, Vietnam, pada 6 September, dalam perlawanan kedua yang bakal menentukan haluan mereka dalam kempen kelayakan itu.
Berikut lima pengajaran utama daripada saingan menentang Yaman, yang boleh dijadikan bekalan sebelum perlawanan seterusnya.
Satu aspek positif pendekatan Firdaus menentang Yaman ialah keberaniannya menukar formasi pada separuh masa kedua.
Selepas formasi 5-2-3 pada separuh masa pertama dibanjiri pemain Yaman dan menyaksikan dua gol lawan melalui Wadeea Ebrahim dan sepakan penalti Abdulaziz Masnom pada minit ke-20 dan ke-45 masing-masing, beliau mengubah taktiknya.
Firdaus beralih kepada 4-3-3, sambil memasukkan Kian Jared Ghadessy dan Rae Peh pada separuh masa kedua.
Perubahan itu membolehkan Singapura tampil lebih teratur, menguasai bola dan memberikan tekanan kepada lawan.
Ia turut diakui Firdaus dalam sidang media selepas perlawanan.
“Ya, kami agak pasif pada separuh masa pertama, dan saya tidak berpuas hati dengan permulaan permainan kami.
“Tetapi, saya rasa apa yang penting ialah pada separuh masa kedua, kami jauh lebih baik, kami menjadi pasukan yang lebih mantap dan berjaya mencipta beberapa peluang,” jelas Firdaus.
Selain isu formasi, Singapura dihukum akibat kelalaian di bahagian pertahanan yang memberikan dua sepakan penalti kepada Yaman.
Walaupun asakan Raoul Suhaimi terhadap Abdulaziz Masnom yang membawa kepada penalti pertama boleh dipertikai, penjaga gawang Singa, Aizil Yazid, berjaya menyelamatkan sepakan penalti daripada Anwar Hussein Al-Turaiqi.
Namun, Ebrahim pantas menyempurnakan bola yang ditampan oleh Aizil.
Sepakan kedua diberikan selepas Andrew Aw menjatuhkan Al-Turaiqi dan disempurnakan Masnom.
Tekanan berterusan Yaman menyukarkan Singapura menguasai permainan dan bertahan di separuh masa pertama, namun di separuh masa kedua pertahanan tampil lebih teratur.
Dengan purata usia hanya 20 tahun, skuad kali ini antara yang termuda dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Namun, beberapa pemain muda yang ditampilkan Firdaus menunjukkan prestasi mengagumkan.
Pemain berusia 17 tahun, Rae Peh, mempamerkan permainan cemerlang apabila dimasukkan pada separuh masa kedua, dengan beliau kelihatan selesa dan bijak mengawal bola.
Dua lagi pemain muda yang menunjukkan keyakinan serta kematangan ialah Harith Danish, 16 tahun, dan Luth Harith, 17 tahun.
Gabungan pemain muda bersama pemain senior seperti Amir Syafiz, Khairin Nadim dan Aqil Yazid memberi pasukan itu potensi untuk melangkah jauh dalam kempen ini serta Sukan SEA 2025.
Kemunculan pemain gantian, Louka Tan-Vaissiere, 20 tahun, pada separuh masa kedua membawa sinar kepada jentera serangan Singapura.
Beliau bukan sahaja menjaringkan gol tunggal Singa pada minit ke-80, malah menunjukkan semangat juang tinggi untuk memenangi bola.
Ketika Singapura mencari gol penyamaan pada minit-minit akhir, Louka berlari dari bahagian serangan untuk merebut bola di tengah padang, sekali gus memutuskan serangan Yaman.
Selain itu, rembatan kencangnya yang menghasilkan gol menunjukkan naluri penyerang atau striker instinct seorang penyerang sejati – satu ciri yang amat dihargai oleh penyokong dan jurulatih pasukan negara.
Perlu diingat, Singapura tewas 0-3 kepada Yaman dalam kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun pada 2023.
Walaupun Yaman memiliki fizikal dan kecergasan yang lebih baik, Singa menunjukkan ketahanan serta semangat juang yang membanggakan pada separuh masa kedua.
Mereka perlu mengekalkan momentum itu agar tidak kehilangan mata lagi ketika menentang Vietnam.
Pasukan bergelar ‘Pendekar Bintang Emas’ membuka tirai kempen kelayakan mereka dengan kemenangan 2-0 ke atas Bangladesh.
Apa yang pasti, Singapura perlu mengekalkan persembahan separuh masa kedua mereka dalam setiap perlawanan – dengan semangat tidak putus asa dan bermain bermati-matian.
Singapura akan berdepan Vietnam pada 6 September, 8 malam waktu Singapura.
Semua perlawanan akan disiarkan secara langsung di meWATCH, serta di saluran YouTube rasmi Persatuan Bola Sepak Vietnam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg