Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Singa hadapi ujian getir dalam Piala AFF  2026

Pasukan negara diletak dalam kumpulan yang sama dengan Vietnam, Indonesia
Jan 17, 2026 | 3:00 PM
bola sepak, Piala Asean Hyundai, Singa
Pemain tengah Singa, Shah Shahiran, ingin mengulangi kejayaan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), kini dikenali sebagai Piala Asean Hyundai. Pasukan Singa berjaya mara ke peringkat separuh akhir pada edisi 2024-2025. - Foto fail

Ujian getir bakal dihadapi Singapura dalam saingan Piala Asean Hyundai 2026.

Bukan hanya kerana pasukan itu diletakkan dalam kumpulan yang sama dengan juara bertahan, Vietnam, bahkan dengan satu lagi pasukan kuat iaitu Indonesia.

Bukan sahaja kerana kedua-dua pasukan itu terletak di ranking lebih tinggi daripada pasukan Singa, malah, Vietnam pernah menyingkirkan Singapura secara langsung di peringkat separuh akhir edisi lepas dalam pertandingan yang berlangsung dari 2024 hingga 2025 itu.

Mengulas kembali kempen Piala Asean lalu itu, pemain tengah Singa, Shah Shahiran, menyifatkan kempen mereka ke peringkat separuh akhir edisi tersebut sebagai satu pencapaian yang wajar dibanggakan.

Namun, beliau turut mengakui rasa kecewa selepas Singa tersingkir di peringkat separuh akhir menyusuli kekalahan agregat 5-1 kepada Vietnam, yang kemudiannya muncul juara.

Menurut Shah, keputusan itu menjadi pengajaran penting yang memberi motivasi tambahan kepada pasukan itu untuk tampil dengan lebih bersedia pada edisi kali ini.

“Sudah tentu kami mahu ulangi pencapaian itu, malah lebih baik lagi, dan mara ke final,” ujarnya.

Namun, beliau akui bahawa persaingan kini semakin sengit dengan setiap pasukan menunjukkan peningkatan ketara.

Ini bermakna setiap pasukan mempunyai peluang yang sama untuk mara dan melangkah jauh dalam kejohanan itu yang akan berlangsung dari 24 Julai hingga 26 Ogos 2026, dan yakin Singapura juga tidak terkecuali.

Beliau turut menegaskan, kunci kejayaan Singa terletak pada semangat berpasukan.

“Bukan satu rahsia, kuncinya ialah semua perlu bekerja keras bersama dan berjuang sebagai satu pasukan. Jika itu dapat dilakukan, kami boleh pergi jauh,” katanya.

Singapura mempunyai ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) ketiga tertinggi dalam Kumpulan A di tempat ke-148.

Vietnam mempunyai kedudukan tertinggi iaitu 107, diikuti oleh Indonesia (kedudukan ke-122).

Pasukan Singa juga akan berdepan Kemboja (kedudukan ke-179) serta pemenang perlawanan play-off antara Brunei (188) dengan Timor-Leste (198) dalam Kumpulan A.

Satu lagi kumpulan kejohanan, Kumpulan B, mempunyai juara tujuh kali iaitu Thailand, Malaysia, Filipina, Myanmar dan Laos.

Hanya pasukan dua teratas dalam setiap kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir.

Pasukan yang mara ke peringkat separuh akhir akan bertanding mengikut format timbal balik stadium sendiri dan stadium lawan, yang dijadualkan berlangsung pada 15 dan 16 Ogos, serta 18 dan 19 Ogos.

Finalis akan mengikut format yang sama, dan dijadualkan dimainkan pada 22 dan 26 Ogos.

Ketua jurulatih Singa, Gavin Lee, juga mengakui kumpulannya bukan mudah, namun menyatakan keterujaan serta keyakinannya untuk menghadapi cabaran tersebut.

“Pasti akan ada perlawanan yang menarik. Ia bukan sesuatu yang mudah, namun itu memang sudah kami jangkakan sebelum kumpulan ditentukan, bahawa tiada kumpulan yang mudah,” kata jurulatih berusia 35 tahun itu.

“Sejujurnya, kami menyambut cabaran ini dengan penuh semangat.”

Beliau melihat pertandingan tersebut sebagai persiapan penting menjelang Piala Asia 2027.

“Sebagai sebahagian daripada persiapan kami menuju ke Piala Asia, kami mahu dicabar, diuji dan diletakkan dalam situasi yang tidak selesa, dan kumpulan ini memberikan perkara tersebut,” ujarnya.

Kapten Singa, Hariss Harun, berkata pasukannya “tidak sabar untuk memulakan saingan” dan mahu melihat sejauh mana mereka mampu menguji keupayaan diri.

“Rakyat Singapura sentiasa berdiri teguh menyokong kami, dan kami mahu terus membanggakan mereka dengan mempamerkan semangat juang serta kebersamaan di atas padang,” katanya.

Shah turut melihat pertandingan ini sebagai peluang membanggakan negara.

“Pertandingan ini merupakan satu lagi peluang untuk mencapai sesuatu dan membuat negara bangga sekali lagi,” katanya.

Singapura merupakan juara pertandingan tersebut sebanyak empat kali iaitu pada 1998, 2004, 2007 dan 2012 sejak permulaan pertandingan itu pada 1996.

Namun Singa tidak berjaya melangkah ke peringkat final sejak memenanginya pada 2012.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg