Kedua-dua Singapura dan Thailand pernah mengungguli pentas Asean satu ketika dahulu, menjulang mahkota kejuaraan Asean.
Namun, sejak Singa menewaskan Gajah Putih di perlawanan akhir Piala AFF 2012, keadaan berubah.
Pasukan Thai telah menewaskan skuad Singa dalam lapan perlawanan terakhir antara mereka.
Kedua-dua pasukan itu akan berentap di Stadium Negara pada 17 Disember bagi saingan Kumpulan A Piala AFF Mitsubishi Electric 2024.
Namun, harapan Singa untuk mengakhiri rentetan kekalahan sebanyak lapan kali itu semakin sukar tanpa kehadiran tonggak pertahanan, Safuwan Baharudin, yang telah kembali bersama kelabnya, Selangor.
Walau demikian, pemain midfield veteran, Shahdan Sulaiman, yang juga bersama skuad Singa pada kemenangan terakhir itu, percaya Singa mampu mengubah rekod buruk itu nanti.
Dalam satu wawancara bersama Berita Harian (BH), pemain 36 tahun itu berkata beliau dan rakan-rakannya ghairah menantikan perlawanan tersebut.
“Ia perlawanan yang baru, saya rasa ia adalah peluang yang baik untuk kami menamatkan rekod (buruk itu).
“Sudah sekian lama sejak kali terakhir kami menewaskan mereka. Jadi kami perlu yakin dan bersikap positif bahawa kami sebenarnya boleh melakukannya,” kata Shahdan.
Pasukan Singa dan Gajah Putih bertembung di perlawanan akhir Piala AFF 2012 dengan Singa memenangi perlawanan pertama 3-1 di Stadium Jalan Besar, sebelum tewas 0-1 di Stadium Rajamangala.
Ketika itu, Shahdan beraksi dalam kesebelasan pertama pasukan Singa.
Beliau menambah bahawa pasukan negara perlu beraksi sebagai satu pasukan dan bantu antara satu sama yang lain.
“Kami perlu bekerjasama sebagai satu pasukan.
“Apabila kami bertahan, setiap pemain adalah pemain pertahanan dan ketika menyerang, setiap pemain adalah pemain penyerang,” jelasnya.
Jurulatih Singa, Tsutomu Ogura, 58 tahun, turut berkongsi sentimen yang sama dan menambah bahawa untuk mengatasi Thailand, pemainnya seharusnya menghormati lawan namun tidak perlu gentar dengan mereka.
Bercakap di sidang media di Stadium Negara pada 16 Disember, Ogura berkata:
“Mesej untuk pemain tetap sama. Tidak gentar ketika kami atau mereka mengawal bola. Kami harus mencabar mereka dan jika kami berjaya merampas bola, kami juga mampu menyerang.”
Berdasarkan ranking terkini, Thailand menduduki tangga ke-97 dunia, jauh lebih tinggi berbanding Singapura, yang berada di kedudukan ke-161 dunia dalam senarai Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
Menjelaskan mengenai ketiadaan Safuwan, Ogura berkata:
“Sudah tentu Safuwan adalah pemain yang sangat penting tetapi kami bersedia bukan sahaja untuk Safuwan, (malah) untuk setiap pemain.
“Kini, kami sedang mempersiapkan skuad kami bagi pengganti beliau dari sudut taktik dan teknikal.”
Kehilangan Safuwan jelas terasa di separuh masa pertama menentang Timor-Leste, apabila pertahanan Singa mengalami kesukaran menangani kelincahan penyerang lawan.
Sejurus selepas Safuwan dimasukkan pada awal separuh masa kedua, pertahanan pasukan kelihatan lebih stabil.
Walaupun edisi kali ini menyaksikan Thailand menurunkan pemain muda dan bakat baru, ‘gading’ mereka seolah-olah belum hilang.
Dengan usia purata 26.08 tahun, mereka membaham Timor-Leste 10-0 pada perlawanan pertama mereka sebelum menewaskan Malaysia 1-0 di tempat sendiri.
Singa harus mengawasi penyerang muda Thailand seperti Patrik Gustavsson dan Suphanat Mueanta, kedua-duanya telah menjaringkan dua gol setakat ini, yang bijak menyempurnakan peluang yang disaji jika pertahanan mereka lalai.
Thailand, juara tujuh kali Kejohanan AFF, pasti akan berharap dapat menambah kejuaraan tiga kali berturut-turut pada edisi kali ini.
Di sidang media pasukan Thailand di Stadium Negara, jurulatih Thailand, Masatada Ishii, menjelaskan bahawa pengalaman itu telah memberi Thailand peluang mempersiapkan generasi seterusnya untuk Piala Dunia 2030.
“Kami perlu membuat persiapan secepat mungkin supaya kami boleh mara ke Piala Dunia 2030.
“Kami masih mempunyai banyak masa untuk membangunkan mereka dan menyediakan mereka untuk edisi Piala Dunia akan datang,” kata jurulatih berusia 57 tahun itu.
Dalam pada itu, Thailand juga dibimbangi dengan masalah kecergasan pemain yang baru sahaja menyertai pasukan – Ekanit Panya dan Supachok Sarachat.
Pemain midfield, Ekanit, baru selesai menjalani tempoh pinjaman dengan pasukan Jepun, Urawa Red Diamonds.
Supachok pula baru selesai menjalani musim bersama kelabnya, Hokkaido Consadole Sapporo, juga dari Jepun.
Menjelaskan situasi dua pemain tersebut, Ichii berkata:
“Kami perlu memantau mereka setiap hari dan berbincang dengan pasukan perubatan untuk melihat situasi mereka.
“Kami tidak perlu tergesa-gesa dan perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk membawa mereka kembali ke pasukan bagi mengelakkan kecederaan di masa hadapan.”
“
“Ia perlawanan yang baru, saya rasa ia adalah peluang yang baik untuk kami menamatkan rekod (buruk itu). Sudah sekian lama sejak kali terakhir kami menewaskan mereka. Jadi kami perlu yakin dan bersikap positif bahawa kami sebenarnya boleh melakukannya.”“
“Sudah tentu Safuwan adalah pemain yang sangat penting tetapi kami bersedia bukan sahaja untuk Safuwan, (tetapi) untuk setiap pemain. Kini, kami sedang mempersiapkan skuad kami bagi pengganti beliau dari sudut taktik dan teknikal.”“
“Kami perlu membuat persiapan secepat mungkin supaya kami boleh mara ke Piala Dunia 2030. Kami masih mempunyai banyak masa untuk membangunkan mereka dan menyediakan mereka untuk edisi Piala Dunia akan datang.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg