Topik diikuti
Pergi ke BHkuSinga tekad tebus maruah di Bangkok selepas tewas 1-3 kepada Thailand
Gavin Lee kekal yakin anak buahnya mampu bangkit rapat jurang gol apabila bertamu di padang lawan pada 18 Ogos
Meskipun terpaksa menelan kepahitan tewas di tangan pasukan Thailand 3-1, skuad Singa bertekad menebus maruah mereka apabila bersemuka di di Stadium Rajamangala di Bangkok pada 18 Ogos.
Mengulas prestasi anak buahnya dalam satu sidang media selepas tamat peringkat separuh akhir (pusingan pertama) perlawanan Piala Asean Hyundai di Stadium Jalan Besar pada 15 Ogos, jurulatih Singapura, Gavin Lee, 35 tahun, meluahkan betapa kekesalan terbesar pasukannya adalah kegagalan memberikan keputusan dan persembahan yang sewajarnya buat penyokong setia mereka.
“Penyokong kami tidak berhenti menyanyi, memberi sorakan dan mendorong kami, dan disebabkan itulah para pemain terus berjuang.
“Kami berbincang mengenai perkara ini di bilik persalinan pakaian – jika penyokong tidak berputus asa terhadap kami, kami juga tidak boleh berputus asa terhadap diri sendiri.
“Akhirnya, kami berjaya merapatkan jurang gol (melalui jaringan Ilhan Fandi), dan dengan skuad yang kita ada ini, tidak ada yang mustahil,” kata Lee.
Jurulatih penuh semangat itu kekal yakin pasukan Singa mampu bangkit semula meskipun di padang lawan di Thailand.
“Thailand sentiasa mempunyai mutu dalam setiap perlawanan, tetapi kami perlu mengakui bahawa kami sendiri yang meletakkan diri dalam beberapa situasi sukar yang tidak sepatutnya, sekali gus memberi laluan mudah kepada mereka.
“Dan apabila mereka mempunyai pemain bermutu sedemikian, ya, mereka pasti akan mencari ruang untuk menghukum anda,” kata Lee lagi.
Beliau, bagaimanapun, percaya para pemainnya mempunyai kemampuan tersendiri.
“Mereka memang menyesali kesilapan diri sendiri, tetapi mereka akan berusaha pulih sebaik mungkin dan mahu membetulkan keadaan,” ujar Lee.
Kekecohan dikesan di padang pada 15 Ogos, apabila jurulatih Thailand, Anthony Hudson, kelihatan sempat bertegang urat dengan pemain bangku simpanan Singapura selepas perlawanan.
Beberapa video tular menunjukkan Hudson nampak tidak senang dan kelihatan berteriak kepada Lee.
Hudson, bagaimanapun, memberi pujian kepada pasukan Singa kerana menjadi lawan yang sukar hingga mengehadkan penguasaan bola pasukannya kepada keupayaan 28 peratus sahaja, namun beliau memberi peringatan pasukannya berupaya beraksi dengan lebih baik.
“Ia merupakan perlawanan yang mengecewakan dan terdapat banyak terjahan keras berlaku.
“Saya perlu memberi pujian kepada para pemain kerana mereka bertahan dengan baik dan memanfaatkan peluang yang ada.
“Kami berada pada tahap terbaik apabila mempunyai persefahaman yang erat dan hantaran pada jarak lebih dekat, serta mempunyai pemain yang berkebolehan untuk lari tangkas di belakang benteng pertahanan,” ujar jurulatih Inggeris berusia 45 tahun itu.
Beliau menambah pasukan Thailand sepatutnya boleh menjaringkan satu atau dua gol lagi dan itulah babak yang mengecewakan.
“Namun dalam perlawanan separuh akhir dan akhir, apa yang penting adalah menang, pulih semula, menuju ke Bangkok, dan pamerkan permainan yang jauh lebih hebat,” ujar Hudson.
Justeru, pasukan Singa bakal berdepan cabaran lebih besar di Bangkok selepas tewas di hadapan 5,358 penonton, termasuk Presiden Tharman Shanmugaratnam dan isterinya, Puan Jane Ittogi.
Awalnya, mereka tampil penuh keyakinan sebelum ketajaman dan kecekapan Thailand akhirnya menghukum kesilapan mereka.
Kekalahan itu bermakna tugas Singapura kini jauh lebih berat apabila mereka berkunjung ke Bangkok dengan kekurangan dua gol untuk aksi kedua di Stadium Rajamangala pada 18 Ogos.
Pasukan Singa memulakan perlawanan dengan penuh keyakinan, malah tidak sekadar selesa menguasai bola apabila mereka turut menjadi pasukan yang lebih agresif mencipta peluang dalam 10 minit pertama.
Namun, Thailand pantas menunjukkan mengapa mereka hadir sebagai antara pasukan pilihan kejohanan.
Kehilangan bola di bahagian tengah padang dihukum apabila Seksan Ratree memanfaatkan ruang dan menghantar bola kemas kepada Teerasak Poeiphimai di dalam kotak penalti.
Penyerang itu mengawal bola dengan kemas sebelum melepaskan rembatan yang berjaya melepasi Izwan Mahbud untuk meletakkan Thailand di depan.
Singapura terus cuba bertindak balas, tetapi Thailand sekali lagi menunjukkan ketajaman mereka di depan gol.
Poeiphimai akhirnya menemui gol keduanya apabila dibiarkan tanpa kawalan di dalam kotak penalti, sebelum memanfaatkan hantaran lintang Waris Choolthong untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Namun, Singapura enggan mengalah dan hampir merapatkan jurang menerusi situasi bola mati.
Balingan jauh Lionel Tan, dengan Irfan Fandi berani menyentuh bola tersebut untuk menghidupkan semula serangan.
Bola kemudian terkena Shawal Anuar sebelum jatuh kepada Jacob Mahler, tetapi percubaannya tersasar.
Pemeriksaan VAR, bagaimanapun, mendapati Shawal ditolak oleh Yotsakon Burapha semasa perebutan bola, lalu pengadil menghadiahkan penalti kepada Singapura.
Namun, percubaan Shawal diselamatkan oleh penjaga gawang Thailand, Kampon Phatomakkakul, dan kedudukan kekal 2-0 apabila separuh masa kedua berakhir.
Jurulatih Singa, Gavin Lee membuat perubahan awal dengan mengeluarkan Glenn Kweh dan memasukkan Ilhan Fandi, dengan harapan kehadiran penyerang itu mampu memberikan Singapura lebih ancaman di bahagian hadapan.
Tetapi hanya enam minit selepas separuh masa bermula, Thailand kembali menghukum kesilapan Singapura.
Sekali lagi kehilangan bola di bahagian tengah memberi ruang kepada Thailand melancarkan serangan sebelum hantaran silang menemui Ratree yang menyempurnakan peluang tersebut untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Pada minit ke-59, Ilhan berjaya melepasi penjaga gol Thailand dan kelihatan mempunyai peluang untuk merapatkan jurang, tetapi penjaga gol pelawat pantas mendapatkan semula bola.
Bintang penyerang itu memberikan penyokong dan pasukan sedikit sinar harapan apabila beliau menjaringkan gol hebat dari luar kotak penalti untuk merapatkan jurang 3-1.
Kekalahan skuad Singa ini merupakan yang pertama buat pasukan ini dalam sembilan perlawanan kompetitif di bawah kendalian jurulatih, Lee, yang mengambil alih tugas daripada Tsutomu Ogura pada Jun 2025.
“
“Skuad Singa tewas berdepan Thailand malam ini, namun berjaya memenangi hati penonton dengan semangat juang mereka yang tinggi. Ia merupakan satu cabaran yang cukup sengit menentang negara bola sepak berkedudukan tertinggi di Asean. Pasukan Singa mempamerkan penguasaan perlawanan yang seimbang, namun penyelesaian akhir Thailand yang lebih tajam memberikan mereka kelebihan dua gol...Saya ucapkan semoga Singa berjaya dalam perlawanan pusingan kedua peringkat separuh akhir Kejohanan Asean di Bangkok pada 18 Ogos. Jangan pernah berputus asa!”“
“Semoga Skuad Singa dapat memberikan prestasi terbaik dalam perlawanan selanjutnya di Bangkok. Berikan yang terbaik. Kami tahu anda telah cuba memberikan yang terbaik tetapi Thailand merupakan saingan yang kuat untuk diatasi. Jangan mudah putus asa. Terus berjuang hingga ke akhirnya...anda boleh melakukannya, Singa!”