Meskipun mempamerkan aksi bertenaga, pasukan Singa terpaksa akur dengan kekalahan 1-2 kepada China dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Jalan Besar pada 5 Jun.

Bagaimanapun, keputusan itu wajar dianggap sebagai satu loceng amaran yang diperlukan oleh anak didik Gavin Lee dalam menilai kelemahan pasukan, sekali gus memperkemas persiapan terakhir mereka menjelang saingan Piala Asia dan pertandingan lain yang akan tiba.

Singa mempamerkan semangat persaingan yang tinggi sebaik wisel permulaan ditiup, sekali gus berjaya mengehadkan peluang-peluang yang dicipta China pada peringkat awal perlawanan.

Namun, China akhirnya membuktikan mengapa mereka merupakan antara pasukan tetap di pentas Piala Asia.

Ketua jurulatih Gavin Lee sebelum ini mahu melihat bagaimana anak buahnya bertindak balas apabila berdepan detik sukar dalam perlawanan.

Ujian itu hadir pada minit ke-16 apabila Singapura dibolosi hasil serangan pantas China.

Setelah beberapa ketika mencari ruang dalam benteng pertahanan Singapura yang tampil kental, mereka akhirnya menemui kelemahan yang boleh dieksploitasi untuk membuka tirai jaringan.

Hantaran lintang Wenning Xie berjaya disempurnakan Sai Erjiniao untuk meletakkan pasukan pelawat di hadapan.

Bagaimanapun, anak didik Lee memberikan respons yang positif selepas ketinggalan.

Mereka mula menguasai permainan dengan lebih baik dan menikmati lebih banyak penguasaan bola, sekali gus memberi tekanan kepada pertahanan lawan.

Kegigihan Shawal Anuar hampir menghadiahkan gol penyamaan buat Singapura.

Tekanannya menyebabkan berlaku kekeliruan antara pertahanan China dan penjaga gol mereka, Li Hao, sehingga bola hampir melintasi garisan gol.

Namun, Li sempat bertindak pantas untuk menepis bola dan mempertahankan kelebihan pasukannya.

Kekecewaan penyokong tuan rumah bertambah apabila China dianugerahkan sepakan penalti selepas percubaan pemain lawan terkena tangan Hariss Harun di dalam kotak penalti.

Zhang Yuning menyempurnakan sepakan tersebut untuk menggandakan kelebihan China.

Bersambung separuh masa kedua kedua, China terus memberi tekanan ke atas Singapura dalam usaha menambah jaringan.

Namun, peluang terbaik pada separuh masa kedua hadir buat pasukan Singa pada minit ke-57.

Ryhan Stewart bijak menggelecek melepasi kawalan bek kiri China sebelum melorongkan hantaran lintang tepat ke arah Glenn Kweh, namun percubaannya dipatahkan pertahanan lawan.

Desakan berterusan Singapura akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-76 apabila Ilhan Fandi menemui sasaran dengan sentuhan pertamanya, hanya seminit selepas dimasukkan ke dalam permainan.

Hantaran lintang Hami Syahin gagal dikeluarkan dengan kemas oleh pertahanan China, sekali gus membuka ruang buat Ilhan.

Penyerang itu tidak mensia-siakan peluang, melepaskan rembatan kencang yang menewaskan penjaga gol lawan untuk menjaringkan gol pertama Singapura.

Gol tersebut menyuntik semangat baharu kepada anak didik Lee yang terus meningkatkan tempo permainan dalam usaha memburu gol penyamaan.

Namun, meskipun beberapa percubaan berjaya dicipta dan tekanan demi tekanan dilancarkan ke arah benteng pertahanan China, gol yang dicari tidak kesampaian.

Keputusan 1-2 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus menyaksikan China membawa pulang kemenangan dalam perlawanan tersebut.