Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Singa tewas 2-4 di tangan Thailand

Pasukan S’pura perlu seri atau menang ketika menentang M’sia untuk layak ke separuh akhir Piala AFF
Dec 17, 2024 | 12:05 AM
Thailand meraikan jaringan keempat pada masa kecederaan.
Thailand meraikan jaringan keempat pada masa kecederaan. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Harapan Singa untuk ke peringkat separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2024 ditunda hingga ke hari perlawanan terakhir selepas ditumpaskan Thailand 2-4 di Stadium Negara pada 17 Disember.

Walau Singa mendahului 2-0 pada awalnya, pasukan Gajah Putih berjaya bangkit pada separuh masa kedua dan menjaringkan dua gol pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan mereka terjamin.

Keputusan itu menyaksikan Singapura kekal menduduki tempat kedua dalam Kumpulan A di belakang pasukan pendahulu, Thailand, yang berada di kedudukan teratas dengan sembilan mata.

Pasukan lain dalam Kumpulan A termasuk Malaysia, Kemboja dan Timor-Leste.

Dua pasukan teratas dari setiap kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2024.

Kemenangan tersebut bermakna Thailand sudah melayakkan diri ke pusingan separuh akhir selepas tiga kemenangan.

Singa memulakan perlawanan dengan cemerlang dan pada minit kesembilan. Shawal Anuar bijak mengawal bola hantaran Izwan Mahbud dan melepaskan rembatan voli dari luar kotak penalti.

Gol tersebut menggegarkan Stadium Negara dan ia meningkatkan keyakinan pasukan Singa.

Mereka terus mendominasi 20 minit pertama permainan dengan sering melakukan hantaran pendek dari belakang.

Thailand berusaha mematahkan dominasi Singa dan hampir menjaringkan gol pada minit ke-18 apabila penyerang Suphanat Muenta berjaya melakukan percubaan menewaskan Izwan, selepas menerima hantaran leret.

Namun, percubaan tersebut berjaya dihalang dan dikeluarkan Ryhan Stewart.

Stadium Negara sekali lagi bergema pada minit ke-33 apabila pemain sayap, Faris Ramli, melakukan rembatan lencong dari luar kotak penalti lantas mengatasi penjaga gawang Thailand, Patiwat Khammai.

Selepas asakan berterusan, Thailand akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan pada masa kecederaan separuh masa pertama apabila Patrik Gustavsson merembat masuk gol hasil daripada pergerakan menarik antara Suphanat dengan Anan Yodsangwal.

Gandingan hebat kedua-dua pemain itu sekali lagi dilihat pada separuh masa kedua dan pada minit ke-52, Suphanat menanduk masuk gol penyamaan hasil dari hantaran Anan.

Sejurus selepas perlawanan diteruskan, Patrik mempunyai peluang jaringan selepas menggelecek melepasi pertahanan Singa, namun percubaannya tersasar.

Pertahanan Singa sekali lagi dihukum apabila pemain pertahanan Thailand, Pansa Hemviboon, menanduk masuk gol ketiga negara itu dari tendangan sudut.

Namun, selepas semakan video penolong pengadil (VAR), ia dibatalkan kerana didapati terdapat kekasaran terhadap Izwan.

Thailand terus mengasak mencari gol kemenangan dan pada minit ke-93, Peeradol Chamrasamee, menyempurnakan hantaran Worachit Kanitsribampen.

VAR sekali lagi disertakan kerana Peeradol didapati ofsaid, namun selepas pemeriksaan selama lima minit, pengadil akhirnya mengesahkan gol tersebut.

Penyerang gantian Singa, Abdul Rasaq Akeem, mempunyai peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan, namun lambungannya ditepis penjaga gawang Thai.

Rembatan leret Teerasak Poiephimai kemudian menyempurnakan kemenangan Thailand pada minit ke-15 masa kecederaan, selepas menerima hantaran daripada pemain terbaik perlawanan, Suphanat.

Singa kini perlu seri pada perlawanan seterusnya menentang Malaysia untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 20 Disember itu bakal menentukan sama ada Singapura atau Malaysia, akan menyertai Thailand di peringkat separuh akhir.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg