Skuad Singa akan bersaing dalam kejohanan bola sepak terbesar Asean tanpa pemain utama, dengan pemain seperti Irfan Fandi, Ikhsan Fandi, Ilhan Fandi dan Safuwan Baharudin tidak disertakan dalam senarai 30 pemain pilihan ketua jurulatih Singapura, Tsutomu Ogura, bagi Piala Mitsubishi Electric Asean (Piala ME) 2024 yang bermula Disember.
Menerusi satu kenyataan pada 30 November, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) berkata Ogura telah memilih 30 pemain itu, dengan pandangan memilih pemain terbaik yang boleh menyertai kejohanan yang berlangsung dari 8 Disember hingga 5 Januari itu.
Skuad 26 pemain akan diumumkan pada 6 Disember, tambahnya.
Turut tidak disertakan dalam senarai awal 30 pemain Ogura ialah Song Ui-yong dan Jacob Mahler.
“Sementara pemain tengah Muangthong United, Jacob Mahler, tidak disertakan disebabkan kecederaan, pemain Singa lain yang bermain bagi kelab di luar negara tidak akan menyertai skuad ini disebabkan perlawanan domestik yang berlangsung dalam tempoh Piala ME,” kata FAS.
Ogura dijangka membentuk skuad dengan pemain yang kesemuanya bermain dalam Liga Perdana Singapura (SPL).
Bahkan, 13 daripada 30 pemain yang disertakan dalam senarai Ogura itu mungkin akan membuat penampilan sulung mereka di kejohanan terbesar Asean itu.
Mereka termasuk Rudy Khairullah, Jordan Emaviwe, Irfan Najeeb, Lionel Tan, Raoul Suhaimi, Ryaan Sanizal, Syed Firdaus, Joel Chew, Glenn Kweh, Kyoga Nakamura, Naqiuddin Eunos, Abdul Rasaq dan Taufik Suparno.
Ogura berkata:
“Inilah peluang bagi mereka menunjukkan kebolehan mereka di peringkat serantau, mencipta nama dan membanggakan Singapura.
“Saya melihat prestasi pasukan ini bertambah baik dalam beberapa bulan lalu dan mula mempamerkan permainan bola sepak yang saya yakin kami boleh sampaikan.
“Kami ingin terus melakukan lebih baik di Piala ME.”
Piala ME juga merupakan ujian pertama Ogura sebagai Ketua Jurulatih Singapura di peringkat serantau, sedang beliau memimpin skuad Singa dalam kejohanan utama Asia Tenggara itu buat kali pertama.
Piala ME menampilkan 10 pasukan dalam dua kumpulan, dengan dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir.
Singapura berada dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Timor-Leste, Thailand dan Malaysia.
Singapura akan bertemu Kemboja pada 11 Disember di Stadium Negara; Timor-Leste pada 14 Disember di Stadium Hang Day di Vietnam; Thailand pada 17 Disember di Stadium Negara; dan Malaysia pada 20 Disember di Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur.
Harga tiket bagi perlawanan Piala ME Singapura di sini bermula daripada $8 dan boleh didapatkan di laman web Ticketmaster.
Penjaga gawang
• Rudy Khairullah, Izwan Mahbud, Syazwan Buhari
Pemain pertahanan
• Amirul Adli, Lionel Tan, Jordan Emaviwe, Nur Adam Abdullah, Ryaan Sanizal, Irfan Najeeb, Shakir Hamzah, Raoul Suhaimi, Ryhan Stewart, Christopher van Huizen, Nazrul Nazari
Pemain tengah
• Farhan Zulkifli, Hami Syahin, Hariss Harun, Glenn Kweh, Naqiuddin Eunos, Shah Shahiran, Kyoga Nakamura, Joel Chew, Shahdan Sulaiman, Syed Firdaus Hassan, Anumanthan Mohan Kumar
Penyerang
• Faris Ramli, Shawal Anuar, Abdul Rasaq Akeem, Iqbal Hussain, Taufik Suparno


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg