Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sistem elektronik akan ganti pengadil garisan di Wimbledon mulai 2025

Sistem tindak balas dengan pantas, lebih tepat
Oct 10, 2024 | 11:27 AM
Penggunaan sistem elektronik untuk menggantikan pengadil garisan di Wimbledon menimbulkan reaksi berbeza dalam kalangan peminat.
Penggunaan sistem elektronik untuk menggantikan pengadil garisan di Wimbledon menimbulkan reaksi berbeza dalam kalangan peminat. - Foto AFP

LONDON: Wimbledon akan ‘melanggar tradisi’ dan menggantikan pengadil garisan dengan sistem elektronik bermula dari kejohanan 2025, menurut Kelab All England yang mengesahkannya pada 9 Oktober.

Gaya pengadil garisan yang berpakaian rapi berdiri atau membongkok di tepi dan belakang gelanggang rumput telah menjadi ciri tumpuan di Grand Slam selama 147 tahun.

Penggunaan sistem elektronik pertama kali digunakan sebagai percubaan di Persatuan Pemain Tenis Profesional (ATP) Next Gen Finals di Milan pada 2017, dan telah diterima pakai dengan lebih meluas semasa pandemik Covid-19.

Ia akan digunakan di semua gelanggang merentasi acara jelajah ATP mulai 2025.

Pertandingan Terbuka Australia dan Terbuka Amerika Syarikat telah pun menggantikan pengadil garisan dengan penggunaan sistem elektronik walaupun Terbuka Perancis masih bergantung pada mata pengadil biasa.

Pihak Wimbledon berkata Pengadilan Garisan Elektronik Langsung Hawk Eye (Live ELC) juga akan digunakan di seluruh kejohanan kelayakan.

“Setelah menyemak keputusan ujian yang dijalankan di kejohanan tahun ini (2024), kami menganggap teknologi itu cukup teguh dan sudah sampai masa yang sesuai untuk mengambil langkah penting ini dalam mencari ketepatan maksimum dalam pengadilan kami,” kata ketua eksekutif Kelab Tenis Rumput All England (AELTC), Sally Bolton, dalam satu kenyataan.

“Bagi pemain, ia akan menawarkan mereka keadaan yang sama seperti yang pernah mereka hadapi pada beberapa acara lain dalam jelajah tenis.”

Walaupun popular dalam kalangan pemain, keputusan itu akan menyedihkan golongan peminat tenis tradisional dan berkemungkinan bererti berakhirnya perbalahan berhubung pengadilan garisan yang merupakan sebahagian daripada tradisi Wimbledon – dengan sebahagian besarnya kerana telatah bekas juara, John McEnroe, yang terkenal mencerca pegadil.

Ia juga akan menamatkan cabaran di mana pemain boleh meminta semakan video tentang pengadilan yang dianggap tidak jelas – juga ciri popular dengan peminat.

Pengadil yang duduk di kerusi akan dikekalkan.

“Kami mengambil tanggungjawab ini secara serius dalam mengimbangi tradisi dengan inovasi di Wimbledon,” tambah Bolton.

“Pengadil garisan telah memainkan peranan penting dalam merasmikan kejohanan selama beberapa dekad dan kami mengiktiraf sumbangan berharga mereka, serta berterima kasih di atas komitmen dan perkhidmatan mereka.”

Sistem elektronik, yang mampu bertindak balas dengan pantas, dianggap lebih tepat daripada hakim garisan manusia yang sering dilihat menunduk mencari perlindungan untuk mengelak daripada terkena servis kencang.

Panggilan seperti “keluar” atau “salah” yang dijana komputer kini akan menjadi keputusan muktamad bagi panggilan garisan.

Dalam satu lagi perubahan Wimbledon ke-138, perlawanan akhir perseorangan wanita dan lelaki akan bermula pada lewat 4 petang waktu tempatan, selepas perlawanan akhir beregu lelaki dan wanita.

Wimbledon musim depan berlangsung dari 30 Jun hingga 13 Julai. – Reuters, AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg