NEW YORK: Susulan skandal pertaruhan yang menggoncang liga, NBA kini menilai semula dasar dalaman bagi memastikan pemain benar-benar memahami “risiko serius” perjudian.
Demikian menurut memo bertarikh 27 Oktober yang dihantar oleh pihak liga.
Memo yang diperoleh syarikat media sukan Amerika, ESPN itu dikeluarkan empat hari selepas ejen Biro Siasatan Federal (FBI) menahan pemain Miami Heat, Terry Rozier, dan Ketua Jurulatih Portland Trail Blazers, Chauncey Billups, bersama beberapa individu lain dalam siasatan terhadap kegiatan perjudian sukan.
Kedua-duanya digantung tugas sementara siasatan dijalankan dan menafikan salah laku melalui peguam mereka.
Menurut laporan ESPN, memo itu menyatakan NBA telah mula menyemak dasar berhubung pelaporan kecederaan, latihan serta pendidikan semua kakitangan, dan langkah keselamatan untuk pemain.
“Memandangkan pertaruhan kini menjadi sebahagian besar dunia sukan, usaha mesti dipertingkat bagi memastikan pemain, jurulatih dan kakitangan sedar risiko serius yang boleh menjejas kerjaya mereka.
“Peraturan pendedahan kecederaan juga perlu kekal sesuai, dan pemain harus dilindungi daripada gangguan penjudi,” jelas memo tersebut.
Menurut agensi berita AFP, NBA kini mempertimbangkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk membantu mengesan kegiatan mencurigakan dan memperkukuh usaha memantau kewibawaan liga melalui data pertaruhan dan media sosial.
Rozier didakwa terlibat dalam skim “pertaruhan prop” pada Mac 2023 ketika bersama pasukan Charlotte Hornets.
Dalam kes Rozier, “pertaruhan prop” bermaksud penjudi meletakkan taruhan terhadap prestasi pemain itu dalam satu perlawanan, bukan keputusan perlawanan tersebut.
Menurut dakwaan, Rozier memaklumkan seorang rakan bahawa beliau akan meninggalkan perlawanan menentang New Orleans lebih awal, dan maklumat itu dijual kepada penjudi.
Banyak pertaruhan diletakkan bahawa prestasi Rozier akan merosot, dan ternyata beliau dikeluarkan selepas sembilan minit permainan akibat kecederaan kaki.
NBA berkata pertaruhan jenis “prop” memerlukan pengawasan lebih ketat.
“Kami percaya lebih banyak boleh dilakukan dari segi undang-undang dan peraturan bagi melindungi integriti NBA,” kata memo itu.
Billups didakwa terlibat dalam permainan poker yang diatur rapi, menggunakan pengaruhnya untuk memikat pemain lain, dengan bantuan teknologi yang memastikan mereka tewas. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg