Topik diikuti
Pergi ke BHkuSkuad Singa sarung jersi Adidas baru
Skuad Singa sarung jersi Adidas baru
Jenama akan turut sokong inisiatif dalam ekosistem bola sepak setempat
Skuad Singa sarung jersi Adidas baru
Pasukan bola sepak nasional bakal tampil dengan wajah baru apabila mereka beraksi menentang Indonesia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Asean Hyundai di Stadium Jalan Besar pada 7 Ogos.
Selepas 19 tahun menyarung jersi Nike, mereka kini akan memakai jersi Adidas, menandakan era baru bagi bola sepak Singapura.
Kerjasama jangka panjang antara Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dengan Adidas itu bermula pada 1 Ogos.
Di bawah kerjasama itu, Adidas akan menjadi pembekal kit rasmi bagi pasukan nasional dan akan turut menyokong inisiatif lain dalam ekosistem bola sepak setempat.
Antara lain, mereka sudah pun menaja Liga Belia Elit Adidas dan akan turut membekalkan kit bagi skuad Singa Muda, selain menyediakan bola perlawanan rasmi bagi Liga Perdana Singapura (SPL) dan Piala Singapura apabila musim baru bermula pada 11 September.
Presiden FAS, Forrest Li, berkata:
“Kami berterima kasih kepada Adidas menyertai kami sebagai rakan jangka panjang bola sepak Singapura.
“Komitmen dan sokongan mereka akan memainkan peranan penting dalam memajukan sukan ini.
“Kami berharap kerjasama ini dapat mendorong lebih banyak pertubuhan dan rakyat Singapura untuk tampil menyertai kami dalam perjalanan membawa kebanggaan dan keseronokan kepada sukan yang dicintai ini.”
Pengurus negara bagi Adidas Singapura, Chen Ruiyuan, berkata:
“Sejak awal lagi, kami bersetuju bahawa ini bukan sekadar kit, tetapi satu kerjasama untuk mengangkat bola sepak Singapura dan ini termasuk usaha memperuntuk sumber untuk memperbaiki ekosistem, laluan dari pembangunan belia sehinggalah ke peringkat liga.”
Singapura akan menyertai barisan pasukan bola sepak nasional terkemuka dari pelbagai negara yang ditaja Adidas, termasuk juara Piala Dunia 2026, Sepanyol, dan naib juara, Argentina, serta gergasi Asia, Jepun.
Kit baru Singa turut mempunyai elemen yang memberi penghormatan kepada warisan bola sepak Singapura.
Jersi untuk dipakai semasa perlawanan di padang sendiri berwarna merah, dengan warna biru gelap dan putih pada kolar dan lengan baju.
Fabrik jersi itu turut menampilkan corak yang melambangkan ombak yang mengalir melalui jantung Singapura, yang menurut Adidas merupakan simbol semangat juang atlet Singapura serta tenaga penyokong sedang mereka memburu pencapaian baru.
Jersi untuk dipakai semasa perlawanan di padang lawan pula menyaksikan kembalinya warna biru Coventry.
Warna itu pernah dipakai oleh pasukan yang memenangi Piala Malaysia pada 1977, di bawah bimbingan jurulatih legenda, Choo Seng Quee.
Kedua-dua kit itu menggabungkan teknologi Climacool+ Adidas, sejenis fabrik berprestasi tinggi yang direka untuk memastikan pemain kekal sejuk di padang dalam iklim Singapura.
Kapten Singa, Hariss Harun, berkata:
“Memakai jersi pasukan nasional harus sentiasa rasa istimewa, dan adidas memahami pentingnya hubungan antara prestasi, identiti dan kebanggaan.
“Skuad (nasional) benar-benar ghairah dan kerjasama ini memberi isyarat kukuh bahawa semua orang komited untuk memajukan bola sepak Singapura bersama-sama.”
Adidas turut menawarkan koleksi pakaian bagi peminat.
Antaranya termasuk kemeja-T yang direka dengan kerjasama artis visual setempat, Slac Satu, yang menampilkan seruan untuk menyemarakkan semangat skuad nasional, ‘Satu Nada’.
Koleksi penuh akan ditawarkan mulai 2 Ogos di laman web dan aplikasi Adidas, Adidas Brand Centre Orchard, laman web FAS, kedai Shopee rasmi FAS, laman web Weston Corp, di stadium pada hari perlawanan, serta kedai terpilih di seluruh Singapura.