LIVERPOOL: Meskipun melalui musim yang mengecewakan, peminat Liverpool yang berada di sudut Stadium Hill Dickinson, England, pasti tidak akan melupakan perlawanan petang 19 April.

Apabila kapten pasukan, Virgil van Dijk, menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-100, penyokong Liverpool seramai 3,000 orang serta-merta bersorak. 

Sekali lagi, Liverpool berjaya mencatat kemenangan di saat-saat akhir menentang pasukan lawan setempat, Everton. 

Lebih tepat lagi, ini merupakan kali keenam dalam sejarah Liga Perdana England (EPL) mereka berjaya menjaring gol kemenangan di saat akhir.

Dalam pertemuan kedua-dua pasukan ini musim lalu, Everton yang meraikan gol penyamaan pada masa kecederaan melalui jaringan James Tarkowski dalam perlawanan derbi Merseyside terakhir yang diadakan di Stadium Goodison Park.

Kini, Liverpool mencatat kemenangan dalam derbi pertama di Stadium Hill Dickinson milik Everton.

Dalam kemenangan yang diraih di bawah sinaran matahari di tebing Sungai Mersey ini, Liverpool seakan terlupa tentang segala cabaran yang dihadapi mereka sepanjang musim ini. 

Everton tiba ke perlawanan ini dengan keyakinan tinggi, namun Liverpool berjaya menyerap tekanan pihak lawan untuk mendahului secara mengejut melalui jaringan Mohamed Salah pada minit ke-29.

Penyerang Everton, Beto, kemudian menyamakan kedudukan dengan jaringan pada minit ke-54.

Usaha di padang latihan Liverpool turut membuahkan hasil apabila Van Dijk menyambut sepakan sudut Dominik Szoboszlai, sekali gus mengambil kesempatan atas kelemahan benteng pertahanan Everton yang telah mereka kenal pasti beberapa hari sebelum perlawanan.

Pasukan bimbingan Arne Slot itu kini kelihatan hampir pasti mengesahkan tempat di Liga Juara-Juara musim depan. 

Pengurus asal Belanda itu perlu melahirkan penghargaan kepada dua pemain paling seniornya bantu raih kemenangan terbesar Liverpool musim ini.

“Akhir sekali, pemain yang telah lama menunjukkan prestasi cemerlang untuk kelab bola sepak Liverpool inilah yang memberi sumbangan.

“Sekali lagi Virgil van Dijk, sekali lagi Mohamed Salah yang berjaya melakukannya dan menghancurkan harapan Everton,” ulas bekas pemain kebangsaan Scotland, Pat Nevin, di saluran 5 Live.

“Gol itu berkemungkinan besar telah memberi apa yang diperlukan Liverpool – iaitu (tiket) ke Liga Juara-Juara.

“Mereka akan membawa masuk ramai pemain baru musim depan. Benar, nama besar Liverpool itu sendiri sudah cukup kuat untuk menarik minat pemain, namun penglibatan dalam Liga Juara-Juara sangat membantu.

“Ia benar-benar membantu dan saya rasa mereka akan layak selepas detik kemenangan daripada Virgil van Dijk itu,” tambah Nevin.

Pada hari sebegini, keputusan perlawanan mengatasi segala-galanya, namun Slot dan Liverpool pasti sedar tentang cabaran besar yang menanti pada hari mendatang.

Sebab utama mereka kelihatan hampir pasti mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara adalah kerana Chelsea tewas dalam empat perlawanan liga terakhir mereka, selain tiada pasukan pencabar lain yang dijangka mampu mengejar Liverpool.

Ini meskipun Liverpool sendiri tewas dalam 10 perlawanan liga musim ini.

Dengan kelebihan tujuh mata di depan Chelsea, Brentford, dan Bournemouth, serta baki lagi lima perlawanan, misi Liverpool untuk mengesahkan tempat dalam Liga Juara-Juara mungkin akan tercapai dalam beberapa minggu akan datang.

Bagi Slot, pencapaian itu sekurang-kurangnya boleh dianggap sebagai kempen yang “boleh diterima”, seperti yang pernah beliau bayangkan pada awal musim ini.

Ia juga mungkin cukup untuk memberi beliau peluang kedua pada musim panas ini, memandangkan kontrak semasanya sebagai pengurus Liverpool akan tamat pada musim panas tahun depan.

“Pemain saya melakukan apa yang saya harapkan, apa yang saya jangkakan, dan memberi tentangan sengit kepada Everton,” kata Slot kepada Match of the Day.

“Akhirnya, melihat jaringan gol adalah satu kegembiraan kerana peminat kami yang hadir ke stadium lawan hari ini (mempamerkan sokongan) sangat hebat. Hari yang baik buat penyokong ‘merah’ Liverpool.”

Meskipun musim ini agak mengecewakan, namun pastinya ia merupakan satu hari yang indah yang akan terpahat lama dalam ingatan penduduk Merseyside yang menyokong Liverpool. – Agensi berita.