Arne Slot berkata peluang mengendalikan salah satu kelab terbesar di dunia sukar ditolak selepas beliau disahkan menjadi ketua jurulatih baru Liverpool.
The Reds telah membuat perjanjian bernilai 9.4 juta euro ($16 juta) bersama Feyenoord pada April lalu untuk mendapatkan khidmat jurulatih berusia 45 tahun itu sebagai pengganti Jurgen Klopp di Anfield.
Klopp, yang mengendalikan Liverpool sejak Oktober 2015, meninggalkan kelab itu selepas kemenangan ke atas Wolves dalam perlawanan terakhir Liga Perdana England (EPL) pada 19 Mei.
Selepas perlawanan, jurulatih Jerman berusia 56 tahun itu menyeru peminat Liverpool supaya berdiri di belakang jurulatih baru mereka, sambil melaungkan nama Arne Slot.
Kontrak tiga tahun Slot di Liverpool bermula secara rasmi pada 1 Jun, tertakluk pada permit kerja.
“Sudah tentu, ia bukan satu keputusan yang mudah untuk tinggalkan sebuah kelab yang anda telah lalui detik-detik indah dan bekerjasama dengan ramai individu hebat,” kata Slot kepada laman web kelab Feyenoord.
“Tetapi sebagai jurulatih, peluang untuk menjadi ketua jurulatih di salah satu kelab EPL terbesar di dunia sukar ditolak.”
Slot membantu Feyenoord merangkul kejuaraan Eredivisie 2022-23, manakala pada musim ini mereka memenangi Piala Belanda dan menduduki tempat kedua dalam liga.
Pengurus besar kelab itu, Dennis te Kloese, berkata: “Di Feyenoord, sukar untuk melepaskan seorang jurulatih seperti Arne. Pada masa yang sama, kami faham bahawa bekerja di kelab seperti Liverpool adalah peluang istimewa untuknya. Dengan itu, kami berbincang bersama dan berjaya dapatkan jalan penyelesaian.”
Personaliti, keupayaan membangun pemain dan permainan berbentuk serangan pasukan kendalian Slot adalah faktor utama dalam menjadikannya pilihan utama buat Liverpool.
Slot mengambil alih tugas sebagai jurulatih Feyenoord pada 2021 dan minatnya dalam menguruskan pasukan EPL dapat dilihat apabila beliau dikaitkan dengan Tottenham pada 2023.
Bekas pemain tengah Liverpool, Xabi Alonso, yang membimbing Bayer Leverkusen merangkul kejuaraan Bundesliga pertama mereka musim ini, turut dikaitkan dengan “kerusi panas” di Anfield.
Tetapi jurulatih Sepanyol berusia 42 tahun itu menamatkan spekulasi itu apabila beliau berkata akan kekal bersama Leverkusen buat masa ini.
Ruben Amorim dari Sporting Lisbon juga dilaporkan menjadi pilihan untuk mengambil alih Klopp.
Sejarah Arne Slot
Sebagai bekas pemain tengah, Slot pernah bermain di Belanda dan membuat lebih 100 penampilan untuk kedua-dua FC Zwolle dan NAC Breda.
Selepas bersara, beliau mulakan kerjaya sebagai jurulatih dengan pasukan remaja, PEC Zwolle, sebelum berpindah ke SC Cambuur untuk menjadi penolong jurulatih.
Baliau berpindah ke AZ Alkmaar pada 2017 dan menjadi jurulatih dua tahun kemudian. Pada musim pertamanya, mereka berada di tangga kedua dan berkongsi mata dengan pendahulu, Ajax, sebelum pandemik Covid-19 memaksa musim dihentikan.
Beliau dipecat pada Disember 2020 apabila didapati telah berunding dengan Feyenoord.
Slot mengambil alih Feyenoord pada musim panas 2021 dan memenangi Eredivisie bersama kelab itu pada musim 2022-23 dan Piala Belanda pada musim ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg