Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sokongan gemuruh penyokong S’pura bagai tidak dibalas...

Tiada wakil Singa di sidang media lepas kalah kepada Thailand cetus kekecewaan
Dec 18, 2024 | 1:56 PM
Penyokong Singapura bersorak untuk pasukan mereka di Stadium Negara semasa menentang Thailand pada kejuaraan Piala AFF Mitsubishi Electric 2024 di Stadium Negara pada 17 Disember. Menang atau kalah, pemain dan pegawai pasukan mempunyai tanggungjawab untuk terus berhubungan dengan penyokong, menunjukkan penghargaan, menunjukkan kepedulian akan perasaan mereka, malah memberi penjelasan.
Penyokong Singapura bersorak untuk pasukan mereka di Stadium Negara semasa menentang Thailand pada kejuaraan Piala AFF Mitsubishi Electric 2024 di Stadium Negara pada 17 Disember. Menang atau kalah, pemain dan pegawai pasukan mempunyai tanggungjawab untuk terus berhubungan dengan penyokong, menunjukkan penghargaan, menunjukkan kepedulian akan perasaan mereka, malah memberi penjelasan. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Peribahasa mengatakan ‘berat sama dipukul, ringan sama dijinjing’. 

Ia bermaksud suka duka sama-sama ditanggung.

Ia juga menggambarkan betapa pentingnya semangat kekitaan dalam setiap perjuangan, biar apa pun hasilnya. 

Dalam dunia bola sepak, semangat ini harus dipamerkan bukan di padang sahaja, bahkan di luar padang – terutama bagi pasukan Singapura yang sedang berjuang memburu kegemilangan.

Pasukan Singa menunjukkan semangat juang kukuh semasa menentang Thailand dalam perlawanan Kumpulan A Piala AFF Mitsubishi Electric 2024 pada 17 Disember, walaupun akhirnya mereka tewas 4-2.

Sedang mereka berjuang habis-habisan di Stadium Negara, penyokong memberikan sokongan padu. 

Stadium itu dipenuhi 22,611 peminat setia, bergema dengan sorakan mereka, terutama selepas Shawal Anuar dan Faris Ramli menjaringkan dua gol yang begitu hebat bagi Singapura.

Bukan jaringan sahaja diraikan mereka, malah keputusan VAR membatalkan gol Thailand.  

Ia adalah bukti bahawa penyokong Singa hadir dengan penuh semangat dan benar-benar memberikan sokongan tidak berbelah bagi. 

Mereka bersorak, bertepuk tangan dan berasa bangga – bukan kerana jaringan sahaja, bahkan usaha yang ditunjukkan oleh pemain Singa.

Namun selepas perlawanan, tiada wakil Singa muncul pada sidang media untuk bercakap bersama peminat.

Mengapa?

Soalan ini ditanya ramai penyokong dan media.

Tanpa wakil Singa, bagaimana penyokong dapat terus menunjukkan sokongan mereka, yang tentunya diperlukan pasukan Singapura dan dapat membantukan mengekalkan semangat mereka?

Tanpa wakil Singa mengucapkan terima kasih, bagaimana media dapat menyampaikan kepada penyokong mereka bahawa mereka benar-benar menghargai sokongan mereka?

Menang atau kalah, pemain dan pegawai pasukan mempunyai tanggungjawab untuk terus berhubungan dengan penyokong, menunjukkan penghargaan, menunjukkan kepedulian akan perasaan mereka, malah memberi penjelasan.

Penyokong setia tidak mengikuti bola sepak kerana sukan itu semata-mata. Mereka juga ingin mengikuti perjalanan pemain, pada saat suka mahupun duka. 

Apabila pemain resah menjelang perlawanan, bermain penuh semangat semasa perlawanan, sangat gembira apabila menang, dan amat kecewa semasa kalah, ia mengingatkan penyokong bahawa mereka adalah manusia biasa. Mereka juga berasa penat, kecewa, dan tertekan.

Itulah sebabnya pemain perlu berkomunikasi dengan penyokong. 

Sebagai wakil negara, mereka tidak bermain untuk diri mereka sendiri sahaja. Mereka memikul tanggungjawab harus berusaha sedaya upaya memenuhi jangkaan rakan senegara dan harapan negara.

Sebagai penyokong, kami menghargai usaha dan kerja keras pemain, terutama dalam permainan berat seperti perlawanan menentang Thailand. 

Walaupun kalah, kami tahu mereka telah memberikan yang terbaik. 

Tetapi apabila tiada seorang pun pemain Singa tampil untuk bercakap selepas perlawanan, penyokong berasa seperti ditinggalkan, tidak dikisahkan.

Kami mahu mendengar suara mereka – apa yang mereka rasa, apa yang mereka pelajari, dan bagaimana mereka akan bangkit selepas kekalahan itu. 

Tanpa perwakilan pasukan di sidang media atau berinteraksi dengan peminat, kami berasa seolah-olah tidak dihargai. 

Bukankah itu juga salah satu cara menunjukkan bahawa mereka peduli akan penyokong mereka?

Dalam setiap perlawanan – baik menang mahupun kalah – tanggungjawab berkomunikasi dan memberi penjelasan kepada penyokong harus dipandang berat oleh pasukan dan pemain.

Pada akhirnya, sukan bukan tentang menang atau kalah sahaja, tetapi tentang hubungan yang dibina antara pemain, pasukan, penyokong dan media. 

Tanpa komunikasi yang baik, sukan, termasuk bola sepak, akan menjadi sebuah permainan tanpa jiwa.

Sebagai penyokong yang sentiasa memberi sokongan tanpa syarat, kami mengharapkan lebih daripada sekadar prestasi di padang. 

Kita menginginkan hubungan lebih erat dengan pasukan, melalui komunikasi dan penghargaan, semasa suka mahupun duka. 

Pemain dan penyokong perlu berjalan bersama, berkongsi kegembiraan dan kekecewaan. Dan media adalah penting bagi menghubungkan mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg