ALKMAAR (Belanda): Tottenham Hotspur mesti menganggap kekalahan 0-1 mereka di tangan AZ Alkmaar dalam Liga Europa sebagai “peringatan besar” sebelum perlawanan “terbesar musim ini”, kata kapten Son Heung-min.
Spurs kalah dalam perlawanan pertama pusingan 16 terakhir di Belanda itu menerusi gol sendiri Lucas Bergvall.
Walaupun pasukan Ange Postecoglou itu mencipta hanya beberapa peluang untuk menjaringkan gol, mereka bertuah kerana ketinggalan satu gol sahaja untuk ditebus pada perlawanan kedua di Stadium Tottenham Hotspur pada 13 Mac.
“Ia jauh daripada prestasi yang sepatutnya,” kata Son kepada TNT Sports.
“Sangat mengecewakan bahawa kami bermain begini, termasuk saya. Ia satu peringatan besar kerana minggu depan adalah perlawanan terbesar musim ini.
“Kami tidak mencipta apa-apa peluang pada separuh masa pertama, tidak cermat dan tidak beraksi seperti sepatutnya.
“Semua orang sangat kecewa dengan prestasi individu kami dan prestasi pasukan.
“Tidak ada alasan, kami tidak cukup baik. Hanya 0-1, ia masih belum berakhir, dan minggu depan kami perlu bermain jauh lebih baik.”
Postecoglou, bekas pengurus Celtic, menyatakan pada September 2024 bahawa beliau sentiasa memenangi trofi pada musim keduanya di setiap pasukan yang diurusnya.
Memang itu hakikatnya di semua kelab yang diurusnya selama dua tahun penuh.
Namun, rekod itu akan berakhir jika Spurs tidak menang pada 13 Mac. Ia kini berada di tangga ke-13 dalam Liga Perdana England (EPL) dan sudah tersingkir daripada kededua kejuaraan piala dalam negeri – Piala FA dan Piala Carabao (atau Piala Liga Bola Sepak England (EFL)).
“Ia jauh daripada tahap yang diperlukan,” kata Postecoglou tentang prestasi pasukannya di Alkmaar.
“Prestasi kami tidak bagus malam ini, hampir dalam kesemua aspek permainan.
“Kami tidak dapat menguasai mana-mana bahagian permainan. Kami terkial-kial untuk mendapat momentum apabila mengawal dan tidak cukup agresif apabila bola tidak dalam kawalan kami.
“Saya rasa ini bukan masalah usaha atau sikap. Saya rasa rasa ia masalah turun padang dan tidak mencuba, tetapi, seperti yang saya katakan, kami tidak benar-benar menguasai permainan dan tidak mempunyai pemikiran yang betul untuk menangani perlawanan di tempat lawan di Eropah.”
Penyerang Dominic Solanke, yang menggantikan Son pada minit ke-72, cedera menjelang akhir perlawanan selepas kembali beraksi setelah tujuh minggu tidak bermain akibat masalah lutut.
“Nampaknya seperti satu kecederaan, tetapi saya belum lihat dengan jelas – mudah-mudahan tidak teruk,” tambah Postecoglou. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg