Topik diikuti
Pergi ke BHkuSong, Kyoga mahu balas jasa, harumkan nama Singa dalam padang
Sumbang bakti kepada arena bola sepak tanah air meski tidak dilahirkan di S’pura
Ketika lagu kebangsaan ‘Majulah Singapura’ berkumandang sebelum perlawanan bermula, Song Ui-young dan Kyoga Nakamura turut menyanyikannya dengan penuh semangat, berdiri bahu-membahu bersama rakan sepasukan mereka, menyarung jersi Singa yang sama.
Bagi dua pemain ini, Singapura bukan lagi sekadar tempat mereka mencari rezeki sebagai pemain bola sepak profesional.
Ia telah menjadi kediaman mereka – tempat mereka membina kehidupan, membina keluarga, dan akhirnya, memilih untuk menabur bakti kepada negara.
Mereka berkongsi perasaan yang sama – rasa bangga dapat mewakili negara yang kini mereka anggap sebagai tanah air sendiri.
Bagi Song, 32 tahun, hubungannya dengan Singapura bermula lebih sedekad lalu apabila beliau meninggalkan Korea Selatan untuk menyertai kelab Home United, yang kini dikenali sebagai Lion City Sailors.
Ketika itu, beliau hanyalah seorang pemain muda berusia 18 tahun yang mahu mengembangkan kerjayanya.
Tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa Singapura akhirnya akan menjadi tempat beliau membina seluruh kehidupannya.
Kini, selepas 14 tahun menetap di Singapura, Song bukan sahaja menempa nama sebagai antara pemain terbaik Liga Perdana Singapura (SPL), malah membina kehidupan bersama isterinya di sini.
Kyoga juga membina kehidupannya di Singapura, dengan anak keduanya dilahirkan di Singapura.
“Setiap hari saya gembira tinggal di sini. Isteri dan anak saya juga sangat gembira berada di Singapura.
“Orang di sini sangat baik dan sentiasa menjaga kami. Saya amat menghargainya,” kata pemain berusia 30 tahun itu.
Song turut berkongsi bahawa setiap kali menyarung jersi skuad kebangsaan, emosi yang dirasainya sukar digambarkan.
“Saya rasa sangat bersemangat setiap kali saya bermain untuk pasukan kebangsaan.
“Hampir setiap kali saya berdiri mendengar lagu kebangsaan, saya rasa hendak menangis kerana saya kini seorang rakyat Singapura dan bermain untuk negara ini.
“Ia satu perasaan yang sangat istimewa,” kata pemain tengah Singa itu.
Kyoga tersenyum mendengar kata-kata rakan sepasukannya.
Pemain tengah kelahiran Jepun itu memahami benar perasaan yang cuba disampaikan Song.
Kyoga sendiri mengakui beliau pada asalnya datang ke Singapura semata-mata untuk mengejar impian sebagai pemain bola sepak profesional.
Beliau mula menetap di Singapura sejak 2019, apabila beliau meninggalkan Jepun untuk beraksi bersama pasukan Albirex Niigata Singapura.
Namun sedikit demi sedikit, negara ini mengubah perspektifnya.
“Kami sudah berada di sini selama bertahun-tahun dan sudah biasa dengan kehidupan di sini.
“Kami mempunyai ramai kawan yang baik, dan ramai orang yang sentiasa menjaga kami, sama ada di dalam mahupun di luar padang.
“Sokongan daripada penyokong Singapura juga membuatkan saya benar-benar sedar inilah tempat saya,” katanya.
Menurut Kyoga, rasa diterima oleh masyarakat Singapura membuatkan proses menyesuaikan diri berlaku secara semula jadi.
“Saya dapat merasakan hubungan itu dengan penyokong dan negara ini, jadi rasa kekitaan dalam negara ini datang secara semula jadi,” tambahnya.
Apabila ditanya apakah detik paling membanggakan sepanjang bergelar rakyat Singapura, kededua mereka tidak memilih saat menerima kerakyatan.
Sebaliknya, mereka memilih malam bersejarah apabila Singapura mengesahkan tempat ke Piala Asia 2027.
“Itulah perasaan paling kuat yang pernah saya alami sejak berada di Singapura.
“Bukan hanya kerana kami layak, tetapi kerana seluruh rakyat Singapura meraikannya bersama-sama,” kata Song.
“Saya dapat merasakan semangat sebagai rakyat Singapura ketika itu,” kata Kyoga, yang berkongsi sentimen yang sama.
Namun bagi dua pemain itu, perjalanan mereka bersama Singapura masih belum selesai.
Kyoga menyifatkan kejayaan melayakkan diri ke Piala Asia 2027 hanyalah permulaan.
“Kami mahu melakukan sesuatu yang lebih istimewa di Piala Asia. Dan suatu hari nanti, saya berharap Singapura dapat melayakkan diri ke Piala Dunia.”
Song pula berharap bola sepak mampu menjadi pemangkin yang menyatukan rakyat Singapura.
“Saya mahu bola sepak memberi kesan yang lebih besar kepada masyarakat dan menjadi sesuatu yang boleh dibanggakan oleh semua rakyat Singapura,” ujarnya.
“
Saya rasa sangat bersemangat setiap kali saya bermain untuk pasukan kebangsaan. Hampir setiap kali saya berdiri mendengar lagu kebangsaan, saya rasa hendak menangis kerana saya kini seorang rakyat Singapura dan bermain untuk negara ini. Ia satu perasaan yang sangat istimewa.“
Kami mempunyai ramai kawan yang baik, dan ramai orang yang sentiasa menjaga kami, sama ada di dalam mahupun di luar padang. Sokongan daripada penyokong Singapura juga membuatkan saya benar-benar sedar inilah tempat saya.