BUENOS AIRES: Lionel Messi menamatkan kerjaya antarabangsanya selama 21 tahun pada 6 Oktober. Beliau mengucapkan selamat tinggal kepada peminat Argentina yang memujanya, dalam penampilan terakhir yang penuh emosi bersama pasukan bekas juara dunia itu di Buenos Aires.

Dalam penutup yang digarap dengan cukup sempurna, pemain berusia 39 tahun yang dianggap sebagai pemain bola sepak terhebat dalam sejarah itu mengakhiri kerjayanya dengan gol antarabangsa ke-126 di hadapan 85,000 penyokong, ketika Argentina menang mudah 3-0 ke atas Benin.

Messi beraksi dalam perlawanan antarabangsanya yang ke-208, sekali gus menambah rekod sedia ada.

Beliau turut menyumbang bantuan untuk gol pertama yang dijaringkan oleh pemain veteran Nicolas Otamendi.

Namun, perlawanan itu bukan tumpuan utama. Yang lebih penting ialah detik Messi menikmati sorakan penonton di Stadium Mas Monumental buat kali terakhir, dalam acara yang dinamakan ‘The Last Tango’ (Tarian Tango Terakhir). 

“Saya sangat bangga dapat mempertahankan jersi ini selama lebih 20 tahun,” kata Messi kepada peminat dalam ucapan selepas perlawanan.

“Saya bersumpah, saya mahu bermain sepanjang hayat, kerana bermain untuk pasukan kebangsaan Argentina ialah perkara paling indah yang boleh berlaku kepada seseorang,” tambahnya.

Namun, Messi berkata beliau tidak menyesal dengan keputusannya untuk bersara. Antara faktor penentu keputusan itu ialah kempen Piala Dunia Argentina yang meletihkan, yang berlangsung ketika mendiang bapanya sakit tenat. 

“Walaupun saya mahu berada di sini sepanjang hayat, saya rasa inilah masanya. Piala Dunia yang lalu terlalu berat, dengan segala yang terpaksa saya tempuhi,” katanya.

Sebelum perlawanan itu, Messi mengesat air mata ketika bas yang membawanya dan rakan sepasukannya ke stadium tersebut bergerak di celah orang ramai yang datang memberi sokongan. 

Messi turun ke padang bersama tiga anaknya. Beliau menerima lambaian penuh kasih daripada isterinya, Antonela Roccuzzo, dan ibunya, Celia Cuccittini, yang menonton dari kotak VIP.

Sejurus sebelum perlawanan itu bermula, sehelai jersi Argentina gergasi yang tertera perkataan “Gracias” (‘Terima kasih’ dalam bahasa Sepanyol) di atas nombor 10 milik bintang bola sepak itu dibentangkan di padang, disambut dengan sorakan penonton.

Perlawanan dihentikan sebentar pada minit ke-10, sebagai penghormatan kepada nombor jersi Messi yang terkenal, untuk tepukan hormat selama seminit buat bekas bintang Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG) itu.

Beliau menutup majlis itu dengan jaringan daripada penalti pada minit ke-71. – AFP.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti