Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Southgate: Sekarang bukan masa tetapkan masa depan saya

Jul 15, 2024 | 3:03 PM
Gareth Southgate
Pengurus England, Gareth Southgate, berkata beliau memerlukan masa untuk memutuskan tentang masa depannya. - Foto EPA-EFE

BERLIN: Pengurus England, Gareth Southgate, berkata “sekarang bukan masanya” membuat keputusan mengenai masa depannya.

Pasukan Three Lions tewas 1-2 kepada Sepanyol dalam perlawanan akhir Euro 2024 di Berlin pada 14 Jun.

Southgate, 53 tahun, berkhidmat sebagai pengurus sejak 2016, tetapi kontraknya bakal tamat pada Disember.

Ditanya mengenai masa depannya, Southgate memberitahu agensi berita BBC:

“Sekarang bukan masanya untuk saya bercakap tentang itu. Saya perlu bercakap dengan orang yang betul dan saya memerlukan sedikit masa.

“Dapat melayakkan diri ke final kedua adalah sesuatu yang istimewa. Tetapi tewas pada saat ini, ia adalah sukar.”

Di bawah kendalian Southgate, England mara ke perlawanan akhir kejohanan Eropah dua kali berturut-turut, separuh akhir Piala Dunia 2018, dan suku akhir Piala Dunia 2022.

Southgate berdepan kritikan sewaktu di Jerman walaupun England mara ke peringkat kalah mati sebagai juara kumpulan.

Penyokong England melontarkan cawan plastik ke arahnya selepas England seri 0-0 dengan Slovenia pada peringkat kumpulan.

“Pemain layak mendapat pujian besar kerana berjaya membawa kita ke tahap ini, tetapi apabila anda hampir menjuarai kejohanan, anda perlu mengambil peluang anda,” kata Southgate kepada agensi berita ITV.

“Mereka mewakili negara dengan bangga dan berjaya bertahan hingga penghujungnya. Namun, saya rasa Sepanyol lebih menguasai permainan.

“England berada dalam kedudukan yang sangat baik dari segi pengalaman yang mereka ada. Kebanyakan pemain skuad ini akan masih berada di sini untuk Piala Dunia seterusnya dan mungkin Euro seterusnya.”

Southgate mengakui sukar untuk merenung kembali khidmat beliau selama lapan tahun, tetapi beliau tidak meragui kemampuan England berjaya dalam kejohanan utama akan datang.

“Membawa England ke dua perlawanan akhir tidak pernah dilakukan. Kami datang ke sini untuk menang namun kami tidak mampu melakukannya,” tambahnya.

Kapten England, Harry Kane, berkata pemain “sayang Southgate” dan mereka “ingin memenangi Euro untuknya” setelah kalah kepada Italy tiga tahun lalu.

Perasaan itu turut dikongsi penyerang, Ollie Watkins.

Beliau berkata Southgate membawa “kebersamaan” pada skuad England.

“Sejak beliau masuk, beliau menjadi pengurus England paling berjaya. Beliau berhak mendapat lebih banyak pujian berbanding sekarang. Saya ingin memenanginya (Euro 2024) kerana beliau lebih berhak daripada yang lain,” ujar Watkins.

England adalah negara pertama dalam sejarah Euro yang tewas pada dua perlawanan akhir berturut-turut, manakala Southgate pengurus pertama tewas dua kali. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg