Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Spence jadi pemain Islam pertama beraksi untuk England

Sep 10, 2025 | 2:34 PM
Pengurus England, Thomas Tuchel (kanan), memberi arahan kepada pemain England, Djed Spence, sebelum beliau dimasukkan sebagai pemain gantian ketika perlawanan menentang Serbia.
Pengurus England, Thomas Tuchel (kanan), memberi arahan kepada pemain England, Djed Spence, sebelum beliau dimasukkan sebagai pemain gantian ketika perlawanan menentang Serbia. - Foto REUTERS

BELGRADE: Pemain pertahanan Tottenham Hotspur, Djed Spence, mencipta sejarah pada 9 September apabila beliau diturunkan sebagai pemain gantian di Belgrade, Serbia, sekali gus menjadi pemain Islam pertama yang meraih penampilan senior bersama England.

Spence, 25 tahun, menggantikan pemain Chelsea, Reece James, pada minit ke-69 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia yang menyaksikan England meraih kemenangan 5-0 ke atas Serbia.

“Saya terkejut kerana saya tidak tahu saya yang pertama, ia adalah satu kurniaan.

“Saya gembira dapat mencipta sejarah dan mudah-mudahan dapat memberi inspirasi kepada anak-anak muda di seluruh dunia bahawa mereka juga boleh berjaya.

“Mereka boleh melakukan apa yang saya lakukan,” kata Spence, yang dilahirkan di London. 

Penampilan pertama Spence bersama England dianggap sebagai detik bersejarah bagi masyarakat Islam Britain yang kurang diwakili dalam bola sepak profesional negara itu, meskipun mereka merangkumi 6 peratus daripada populasi.

Bercakap sebelum perlawanan itu, pengasas Nujum Sports – sebuah organisasi yang menyokong lebih 400 atlet Muslim melalui nasihat berkaitan agama dan kaunseling profesional – Ebadur Rahman, berkata:

“Ia adalah detik untuk diraikan oleh masyarakat Islam Britain.

“Djed memikul tanggungjawab yang besar – bukan sahaja bermain untuk England, tetapi juga untuk umat Islam di seluruh dunia kerana beliau kini menjadi teladan yang merintis jalan.”

Spence memulakan kerjayanya bersama Middlesbrough sebelum menyertai Tottenham pada 2022.

Selepas melalui permulaan yang sukar di kelab London itu dan dipinjamkan sebanyak tiga kali, beliau kini menjadi bahagian penting dalam skuad tersebut dan turut beraksi dalam kemenangan final Liga Europa musim lalu.

Pemilihan beliau ke pasukan senior England dilihat sebagai detik penting bagi masyarakat Islam Britain.

“Kita tidak melihat ramai pemain Islam yang berjaya menembusi peringkat ini.

“Golongan Muslim tidak diberi cukup peluang atau tidak mempunyai cukup teladan untuk dicontohi oleh pemain muda yang bercita-cita tinggi.

“Ia bukanlah sesuatu yang baik apabila ia mengambil masa sehingga 2025 untuk seorang Muslim bermain bagi England,” kata Yunus Lunat, seorang jurulatih akar umbi dan bekas pengerusi lembaga penasihat kesamarataan kaum Persatuan Bola Sepak England (FA), kepada agensi berita BBC.

Spence berkata, meraih penampilan pertamanya bersama England adalah detik penuh emosi.

“Apapun agama yang anda anuti, percayalah kepada Tuhan.

“Hari seperti ini istimewa kerana Tuhan, bagi saya.

“Saya agak tersentuh kerana perjalanan ini tidak mudah. Tetapi kini saya secara rasmi ialah pemain England dan saya benar-benar gembira,” kata Spence. – REUTERS

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg