Subuh
5:58
Syuruk
7:16
Zuhur
1:19
Asar
4:33
Maghrib
7:21
Isyak
8:30
Sukan0

S'pura 'dibanjiri' pemain kelab bola sepak ternama, peminat jadi teruja

Manchester United, Tottenham Hotspur tiba di sini bagi pertandingan Piala Juara-Juara Antarabangsa
Jul 19, 2019 | 05:30 AM

DEMAM bola sepak semakin terasa di kota Singa ini dengan ketibaan dua gergasi bola sepak England, Manchester United dan Tottenham Hotspur semalam.

Kededua pasukan itu tiba di Singapura untuk menyertai pertandingan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC), yang berlangsung hujung minggu ini di Stadium Negara.

Sebelum ini, kelab gergasi Italy Inter Milan tiba kelmarin.

Ketibaan Tottenham Hotspur pagi semalam telah disambut meriah oleh seramai sekitar 30 peminat di Hotel Mandarin Oriental.

Manchester United, atau 'Red Devils', pula tiba malam semalam.

Berita Popular

Walaupun kelihatan penat semasa turun dari bas, pemain Spurs termasuk Harry Kane dan Son Heung-Min, masih sempat berinteraksi dan bergambar dengan peminat di depan hotel mereka.

Bukan selalu peminat Singapura berpeluang menjadi 'tuan rumah' semasa berlangsungnya perlawanan antara kelab-kelab bola sepak termasyhur dunia.

Untuk itu, keghairahan yang dirasakan mereka kali ini agak berbeza berbanding hanya menyaksikan perlawanan pasukan kegemaran mereka melalui televisyen.

Bagi peminat 'die hard' kelab bola sepak Manchester United, Encik Tawfik Daud, 31 tahun, ketibaan pasukan kegemarannya itu di Singapura membuatkannya tidak sabar untuk menyaksikan perlawanan yang akan berlangsung esok.

Semasa dihubungi Berita Harian (BH), Encik Tawfik berkata beliau akan meluangkan hari ini, Sabtu dan juga Ahad menghadiri semua acara dan perlawanan yang melibatkan pasukan tersebut.

"Setiap tahun sejak beberapa tahun lalu, teman-teman dan anggota keluarga akan berkumpul di rumah saya untuk menyaksikan perlawanan (yang melibatkan Man United).

"Tapi kali ini, kami berpeluang meluangkan masa bersama dengan menyaksikan perlawanan secara langsung bersama di Stadium Negara," katanya.

Encik Tawfik, yang mula 'terjebak' dengan pasukan Red Devils itu kerana pengaruh bapanya sejak 20 tahun lalu, juga telah ke Stadium Old Trafford di England untuk menyaksikan perlawanan pasukan tersebut pada November lalu.

Semasa kunjungan itu, beliau telah menghasilkan 'vlog' yang telah menarik perhatian pasukan pemasaran Manchester United yang telah menjemput beliau untuk menampilkan diri dalam program Manchester United TV.

Menurut Encik Tawfik, yang telah membeli tiket untuk kededua perlawanan Manchester United hujung minggu ini, beliau akan berada di Stadium Negara bersama keluarga dan teman-temannya beberapa jam sebelum perlawanan bermula untuk "menikmati suasana bersejarah" itu.

Katanya:

"Saya harap pasukan ini dapat berlatih dengan gigih, walaupun dengan cuaca Singapura yang terik, dan mempersiapkan diri untuk musim seterusnya.

"Saya juga ingin lihat peminat mereka di sini bergembira dan berpeluang berinteraksi dengan pemain."

Walaupun tidak sempat membeli tiket perlawanan ICC sebelum ia habis dijual, seorang lagi peminat pasukan Manchester United, Encik Eruandee Prayitna, tetap berpeluang menyaksikan pemain berlatih di Stadium Negara malam ini.

"Saya gembira kerana kelab ini mengiktiraf peminat mereka di Singapura dan memberi kita peluang untuk menyaksikan mereka beraksi di depan mata sendiri. Ini merupakan impian ramai peminat mereka," katanya, yang mula meminati pasukan itu sejak di darjah tiga lagi.

Blogger hiburan Melayu tempatan yang hanya ingin dikenali sebagai 'Pujangga Malam', yang meminati pasukan tersebut sejak 1991 berkata walaupun beliau tiada pemain kegemaran dalam pasukan sekarang, beliau tetap merasakan bahawa pemain muda pasukan itu berpotensi mencapai kemenangan.

"Kita tidak boleh menggunakan perlawanan pramusim untuk meramalkan persembahan mereka (dalam perlawanan sebenar) kerana mereka masih dalam proses memahami gaya bermain dengan pasukan baru," katanya.

Seorang peminat Spurs, Encik Syahrin Mohd, 36 tahun, turut berkata beliau teruja melihat pasukan kegemarannya.

Katanya: "Kami sebagai peminat seronok melihat pemain pujaan kami dengan lebih dekat.

"Apa lagi dengan persembahan musim lepas yang baik dan kami berharap mereka menunjukkan prestasi sama dalam perlawanan akan datang."

Dalam perlawanan ICC ini, Manchester United akan bertemu Inter Milan esok, manakala Spurs menentang Juventus lusa.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map