Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia tolak tawaran jadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026

Mar 22, 2024 | 4:12 PM
Malaysia kali terakhir menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada 1998. 
Malaysia kali terakhir menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada 1998.  - Foto FACEBOOK MYSUKAN TV

Malaysia memutuskan untuk menolak tawaran daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) untuk menjadi tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Cik Hannah Yeoh, keputusan itu telah dibuat menerusi mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada 22 Mac, selepas meneliti semua aspek penganjuran dan implikasi.

“Keputusan telah dibuat oleh Jemaah Menteri hari ini (22 Mac). Malaysia tidak setuju menerima tawaran tuan rumah Sukan Komanwel 2026,” katanya di Facebook rasminya.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan berkata Geran Penajaan CGF berjumlah RM603 juta ($171.3 juta) tidak dapat menampung kos penganjuran.

Keputusan itu juga berasaskan kesan ekonomi yang tidak dapat dikenal pasti dalam jangka masa singkat ini.

“Kerajaan Madani mahu memberi tumpuan kepada pembangunan sukan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” kata kenyataan itu pada 22 Mac.

Delegasi CGF dilaporkan telah bertemu Cik Hannah dan mengadakan sesi penerangan mengenai tawaran selaku tuan rumah itu, yang turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pada 5 Februari 2024.

Hasil pertemuan itu dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, antara lain mengutarakan tawaran CGF berjumlah £100 juta (RM603 juta).

Isu kewajaran Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 hangat dibincangkan pelbagai pihak, sehingga menimbulkan persoalan yang mana prestij temasya empat tahun sekali itu sekiranya Malaysia mengurangkan bilangan sukan sehingga serendah 10 acara untuk penjimatan kos.

Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, dilaporkan berkata cadangan pengurangan acara sukan itu tidak realistik, apabila Malaysia dilihat seolah-olah mahu merendahkan taraf temasya kedua terbesar selepas Sukan Olimpik, yang turut diadakan empat tahun sekali itu.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel adalah pada 1998 dan kembali ditawarkan penganjuran sukan tersebut pada 2026 selepas Victoria, Australia, menarik diri sebagai penganjur.

Victoria yang sepatutnya menjadi tuan rumah edisi ke-23 menarik diri pada Julai 2023 kerana kenaikan kos penganjuran yang jauh lebih tinggi daripada jangkaan awal.

Kerajaan Madani mahu memberi tumpuan kepada pembangunan sukan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Kenyataan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg