Pemain utama skuasy junior Singapura, Ong Zhe Sim, yang masih menjalani tempoh percubaan, berjaya mengatasi permulaan yang sukar pada 2025, apabila beliau berjaya mempertahankan gelaran juara bagi kategori perempuan bawah 17 tahun, dalam Kejohanan Perseorangan Junior Asia Tenggara pada 13 Mei.
Hanya enam bulan lalu, remaja berusia 16 tahun itu menghadapi masa depan tidak menentu dalam skuad nasional, susulan satu pertikaian dengan Persatuan Raket Skuasy Singapura (SSRA).
Beliau pada mulanya digugurkan daripada skuad nasional pada Disember 2024 kerana melanggar perjanjian atlet, apabila beliau menolak peluang “mewakili negara apabila diminta,” menurut persatuan itu.
Selepas ibu bapanya mengemukakan rayuan, beliau akhirnya diberi tempoh percubaan selama enam bulan mulai Februari.
Walaupun menghadapi kesukaran pada mulanya, hubungannya dengan SSRA bertambah baik sejak beberapa bulan lalu, kata Zhe Sim, yang menghargai sokongan keluarga, rakan, rakan sepasukan dan persatuan itu yang membantunya melalui tempoh mencabar itu, lapor The Straits Times.
Pelajar Politeknik Singapura itu berkata: “Pada awal tahun ini, banyak perkara berlaku – saya sangat tertekan dengan keadaan itu, berita mengenai saya sudah tersebar luas, dan saya tidak dapat berbuat apa-apa mengenainya.
“Namun, ramai yang menyokong saya, termasuk persatuan ini, rakan sepasukan, rakan-rakan, malah mereka yang bukan pemain skuasy.
“Saya rasa tertekan dari segi mental, mujurlah ibu bapa saya banyak membantu dan mendorong saya.”
Kejohanan Perseorangan Junior Asia Tenggara, yang berlangsung di Kolej Vajiravudh di Bangkok, adalah acara utama pertama beliau pada 2025.
Zhe Sim, yang meraih emas setelah menewaskan pemain Malaysia, Ooi Wei Min dengan keputusan 11-7, 11-6, 9-11, 11-7, amat berpuas hati dengan prestasinya, dan berharap dapat kembali ke ibu negara Thailand pada Disember untuk bersaing dalam Sukan SEA.
Pada perlawanan akhir itu, pemain ranking teratas itu memenangi dua set pertama menentang Wei Min, namun pencabarnya bangkit semula untuk memenangi set ketiga, apabila Zhe Sim mula berasa letih dan melakukan beberapa kesilapan.
Zhe Sim kemudian menukar taktik dalam set keempat dengan memperlahankan rentaknya, dan akhirnya menang 3-1 dalam masa 28 minit.
“Saya sangat gembira dengan prestasi saya kali ini kerana saya dapat menggunakan kemahiran saya dengan berkesan. Hasilnya adalah seperti yang saya harapkan.
“Pencapaian ini sangat bermakna bagi saya, walaupun ini bukan kejohanan besar seperti Kejohanan Perseorangan Asia. Namun, ia bermakna kerana saya bersaing dengan para pemain hebat,” ujar beliau.
Sambil menyatakan bahawa mereka telah “melupakan episod itu”, pengurus besar SSRA, Alex Wan berkata:
“Kami gembira hubungan dengan Zhe Sim bertambah baik sejak Februari. Ketabahannya dalam menghadapi cabaran wajar dipuji, dan kami berharap dapat mencapai kejayaan lebih besar bersama-sama.”
Zhe Sim adalah antara empat atlet Singapura yang memenangi pingat emas dalam kejohanan serantau itu, dengan para pemain Singapura turut membawa pulang dua pingat perak dan enam pingat gangsa.
Tiga lagi pemain Singapura yang memenangi pingat emas dalam kejohanan tersebut ialah Ethan Kuan (kategori lelaki bawah 17 tahun), Kareena Sashikumar (kategori perempuan bawah 13 tahun) dan Naisha Singh (kategori perempuan bawah 15 tahun).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg