Topik diikuti
Pergi ke BHkuAdakah sejarah bakal berulang bagi Singa?
Mengapa jaringan awal penting untuk peluang kebangkitan Singapura menentang Thailand pada 18 Ogos
Kekalahan 1-3 di Stadium Jalan Besar bukanlah keputusan yang ideal buat pasukan Singa menjelang aksi timbal balik separuh akhir menentang Thailand di Bangkok pada 18 Ogos.
Namun, jika ada satu perkara yang boleh memberikan keyakinan kepada skuad kendalian Gavin Lee, ia adalah sejarah.
Sejarah menunjukkan bahawa Singapura tidak asing berdepan dengan tugas yang sukar, malah Singa bangkit ketika keadaan kelihatan hampir mustahil.
Kali ini, tugas mereka lebih besar, mereka perlu menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol di Stadium Rajamangala jika mereka mahu kekal bersaing bersama pasukan Gajah Perang.
Ia mungkin kelihatan seperti satu misi yang hampir mustahil, tetapi bola sepak berkali-kali membuktikan bahawa satu gol mampu mengubah keseluruhan psikologi sesebuah perlawanan.
Kepentingan jaringan awal
Jaringan awal mampu memberi tekanan kepada pasukan Anthony Hudson, dan bakal menjadikan perlawanan lebih terbuka.
Jika Singa mahu membuka pintu untuk kebangkitan, mereka tidak boleh terlalu lama dan terlalu fokus bertahan.
Pada perlawanan pertama, Singa menunjukkan bahawa mereka mampu mengancam Thailand.
Kini, matlamatnya adalah untuk mengubah ancaman kepada jaringan.
Singapura tidak semestinya perlu menjaringkan tiga gol dalam tempoh 30 minit pertama.
Tetapi mereka perlu menunjukkan kepada Thailand sejak awal bahawa mereka tidak akan duduk diam dan terima kekalahan begitu sahaja.
Malah, Singa pernah membuktikan bahawa mereka mampu menjaringkan gol awal menentang Thailand.
Semasa edisi lalu kejohanan tersebut, Singapura menunjukkan kesungguhan tinggi apabila menjaringkan gol seawal 10 minit pertama, malah mendahului perlawanan sehingga separuh masa kedua sebelum tewas 2-4.
Perlawanan itu menjadi bukti bahawa untuk menjaringkan gol awal tidak mustahil.
Disiplin menjadi keutamaan
Pun begitu, pasukan Singa tidak boleh menyerang secara membuta tuli.
Thailand sudah menunjukkan mengapa mereka begitu berbahaya dengan serangan balas mereka.
Jadi, Singapura perlu mencari keseimbangan.
Serang, tetapi jangan hilang kawalan.
Jika gol awal diperoleh, Thailand pula akan berada dalam situasi di mana mereka mungkin semakin selesa bertahan dan menunggu ruang untuk melakukan serangan balas.
Dalam keadaan itu, kesabaran akan menjadi sama penting dengan keberanian.
Sejarah juga menunjukkan Singa mampu kekal berdisiplin.
Pada 2007, ketika mempertahankan kejuaraan Asean, Singa berdepan Thailand di Bangkok selepas menang 2-1 pada perlawanan pertama.
Mereka ketinggalan 0-1 selepas jaringan Pipat Thonkanya, tetapi Khairul Amri menyamakan kedudukan pada minit ke-81 untuk memastikan Singapura mengekalkan kejuaraan dengan kemenangan agregat 3-2.
Kekalkan semangat juang dan kepercayaan
Inilah mungkin aspek paling penting.
Jika Singapura menjaringkan gol pertama, tugas belum selesai.
Jika Thailand pula menyamakan kedudukan atau menjaringkan gol, tugas akan kelihatan hampir mustahil.
Tetapi mereka tidak boleh berhenti percaya dengan diri mereka sendiri.
Pengalaman paling dekat ialah pada November 2025.
Di Kai Tak Stadium di Hong Kong, Singapura ketinggalan 0-1 kepada Hong Kong sebelum bangkit menerusi dua gol dalam tempoh hanya empat minit.
Shawal Anuar menjaringkan gol pada minit ke-64 untuk menyamakan kedudukan.
Ilhan Fandi pula menjaringkan gol kemenangan untuk menjadikan kedudukan 2-1 dan mengesahkan kelayakan Singa ke Piala Asia 2027 secara merit buat kali pertama.
Itu bukan sekadar kemenangan. Ia adalah bukti bahawa pasukan ini boleh mengubah perlawanan dalam sekelip mata.
Thailand tidak mudah untuk diatasi.
Tetapi mungkin inilah jenis perlawanan dan cabaran yang boleh menentukan sejauh mana pasukan Singa kali ini benar-benar sudah berkembang.
Bolehkah mereka menghasilkan kebangkitan terbesar dalam era pasukan ini?
Sejarah Singapura menunjukkan ia juga bukan sesuatu yang mustahil.
Apabila Singa melangkah ke kandang Gajah Perang pada 18 Ogos, mereka diberi peluang untuk mencatat sejarah sekali lagi.
