Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura tewas 1-3 di tangan Thai dalam Kelayakan Piala Dunia

Nov 21, 2023 | 10:35 PM
GIGIT JARI: Pemain Singapura, Ryhan Stewart (kiri) cuba mendapatkan bola dari pemain Thailand, Suphanat Mueanta (kanan) dalam aksi kedua pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Negara pada Selasa.
GIGIT JARI: Pemain Singapura, Ryhan Stewart (kiri) cuba mendapatkan bola dari pemain Thailand, Suphanat Mueanta (kanan) dalam aksi kedua pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Negara pada Selasa. - Foto FACEBOOK FAS

Meskipun memaparkan prestasi lebih ‘mengaum’ di Stadium Negara pada Selasa, pasukan Singa hanya mampu menggigit jari selepas tewas 1-3 menentang Thailand dalam aksi kedua pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 mereka.

Penyerang Suphanat Mueanta menjadi wira pasukan Thailand apabila dua golnya dalam babak kedua memberikan pasukan di tangga ke-112 dunia itu kemenangan sulung mereka bagi kempen kelayakan kali ini.

Separuh masa pertama menyaksikan pertarungan sengit dan terikat 1-1 selepas gol awal dari pemain midfield Thai, Supachok Sarachat, dan jaringan penyerang Singapura, Shawal Anuar sebelum waktu rehat.

Kekalahan ini bermakna Singapura, yang berada 43 anak tangga di bawah seterunya, bagaimanapun, masih tanpa sebarang mata dalam Kumpulan C selepas dua perlawanan dan kini di ambang penyingkiran.

Empat lagi perlawanan akan dimainkan dalam pusingan ini.

Korea Selatan mendahului kumpulan itu selepas menang China 3-0 di Shenzhen pada Selasa.

Ketua jurulatih Singapura, Takayuki Nishigaya, membuat tiga perubahan pada kesebelasan utamanya daripada kekalahan 0-5 kepada Korea Selatan di Seoul pada Khamis.

M. Anumanthan, Ilhan Fandi dan Shahdan Sulaiman diturunkan.

Mereka menggantikan tempat Irfan Fandi, yang cedera; Shah Shahiran, yang dikenakan penggantungan; dan Shawal.

Di Stadium Negara, yang riuh dihadiri 29,644 penyokong, Thailand memulakan perlawanan dengan cemerlang dan rancak mengatur serangan untuk menyenyapkan peminat tuan rumah.

Juara Asean tujuh kali itu malah tidak mengambil masa lama dan membuka tirai jaringan mereka seawal minit kelima menerusi Supachok.

15 minit kemudian, Shahdan, yang mengalami kecederaan lutut awal 2023, digantikan.

Nishigaya memasukkan Shawal untuk menyuntik serangan dalam pasukan Singa.

Tindakan itu berhasil.

Pada minit ke-41, gabungan kemas oleh trio penyerangnya, Ilhan, Song Ui-young dan Shawal, menjaringkan gol pertama Singapura dalam kempen kelayakan ini. 

Rembatan mantap Shawal dari jarak dekat menyamakan kedudukan. 

Selepas waktu rehat, Singapura terus aktif mengancam benteng pertahanan lawan untuk mencari gol kemenangan.

Namun, pasukan Thailand lebih tajam di depan gol.

Suphanat menjaringkan dua gol pada minit ke-66 dan ke-87 untuk menjamin kemenangan Thailand di kota Singa.

Singapura seterusnya berdepan China dua kali pada Mac, dalam aksi di padang sendiri pada 21 Mac sebelum bermain di China lima hari kemudian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg