Topik diikuti
Pergi ke BHkuPiala Asean: Singa kekal pendekatan menyerang lawan Indonesia
Walaupun tanpa pemain tengah, Kyoga Nakamura, skuad Singa mahu beri ‘hadiah’ terbaik bagi negara
Satu mata sudah memadai untuk memastikan Singapura mara ke separuh akhir Piala Asean Hyundai 2026 buat edisi kedua berturut-turut.
Namun, untuk turun dengan mentaliti sekadar mempertahankan keputusan seri boleh mengundang padah.
Perlawanan menentang Vietnam tempoh hari menjadi bukti terbaik.
Pada separuh masa pertama, skuad Singa terpaksa bertahan daripada asakan bertali arus tuan rumah.
Namun, sebaik sahaja mereka mula bermain lebih berani selepas rehat dengan kemasukan Ilhan Fandi, Singapura berjaya mencipta beberapa peluang baik dan hampir mencuri kemenangan.
Prestasi itu selari dengan falsafah yang berulang kali ditekankan ketua jurulatih, Gavin Lee sepanjang kejohanan ini.
Singapura tidak akan mengubah pendekatan hanya kerana situasi atau kedudukan dalam kumpulan.
Menjelang aksi penentuan menentang Indonesia, Lee sekali lagi mengulangi mesej sama.
Walaupun hanya satu mata diperlukan untuk mara, beliau menegaskan skuad Singa tidak akan mengubah pendekatan permainan mereka.
“Kami datang ke kejohanan ini dengan kepercayaan bahawa prestasi kami akan menentukan hala tuju kami, dan itu tidak sepatutnya berubah.
“Kami tidak akan membenarkan situasi atau keputusan yang diperlukan mempengaruhi cara kami bermain,” tegasnya.
Falsafah tersebut telah menjadi identiti baharu skuad Singa.
Setiap kali mereka berani menguasai bola dan menyerang, mereka kelihatan lebih berbahaya berbanding apabila hanya bertahan.
Menentang Indonesia, pendekatan sama mungkin menjadi kunci untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata – atau mungkin tiga mata penuh – sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir.
Lee turut mengakui cabaran terbesar menjelang aksi ini adalah untuk memastikan pemain tidak terlalu terbawa-bawa oleh emosi apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium Jalan Besar yang dijangka dipenuhi penyokong.
“Kami bermain di stadium sendiri di hadapan stadium yang penuh. Sudah tentu semua amat teruja, tetapi kami perlu menguruskan keterujaan itu dan kekal tenang supaya kami dapat bermain bola sepak kami,” katanya.
Namun, Singapura bakal berdepan cabaran tambahan apabila terpaksa beraksi tanpa salah seorang tonggak tengah mereka, Kyoga Nakamura.
Pemain itu digantung satu perlawanan selepas mengumpul dua kad kuning sepanjang saingan peringkat kumpulan. Kehilangan Kyoga bukan sesuatu yang kecil.
Selain tenang mengawal tempo permainan, beliau sering menjadi penghubung utama antara benteng pertahanan dan jentera serangan, di samping rajin mematahkan gerakan lawan sebelum melancarkan serangan balas.
Bagaimanapun, Lee percaya kekuatan sebenar pasukannya terletak pada kedalaman skuad.
“Kami pasti akan merindui kehadiran Kyoga di bahagian tengah, tetapi kami mempunyai pemain yang bersedia untuk melangkah masuk.
“Setiap pemain membawa kualiti yang berbeza dan tugas kami adalah memaksimumkan kekuatan itu sebagai satu pasukan,” katanya.
Ketiadaannya dijangka membuka ruang kepada Jacob Mahler – yang mempamerkan prestasi baik menentang Vietnam – untuk mengisi posisi di bahagian tengah.
Ini bermakna Irfan Fandi berkemungkinan kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama di benteng pertahanan selepas direhatkan ketika menentang Vietnam.
Selain itu, barisan pertahanan Singapura juga perlu memberi perhatian kepada penyerang muda Mitch Baker, yang kini telah menjaringkan jumlah gol terbanyak sejauh kejohanan ini, dengan empat gol.
Penyerang setinggi 1.96 meter itu memiliki kelebihan fizikal yang mampu menyukarkan mana-mana pertahanan.
Kapten pasukan, Hariss Harun dan rakan sepasukan perlu memastikan Baker tidak diberi ruang untuk menggunakan kelebihan fizikalnya.
Namun, Lee tegas menekankan bahawa walaupun kem latihan mereka di Okinawa telah menyediakan mereka untuk menghadapi pemain seperti Baker, tumpuan Singa adalah untuk mengekang pasukan Indonesia secara keseluruhan.
Bagi Ilhan, motivasi skuad Singa bukan sekadar untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir, malah menghadiahkan sesuatu yang istimewa kepada rakyat Singapura menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 9 Ogos nanti.
“Sudah tentu kami mahu mara ke separuh akhir, tetapi kalau kami dapat menghadiahkan sesuatu yang istimewa kepada rakyat Singapura, itu akan menjadi sesuatu yang sangat bermakna.
“Namun fokus utama kami tetap kepada perlawanan terlebih dahulu. Mudah-mudahan kami memperoleh keputusan yang baik, dan itu akan menjadi bonus buat semua,” ujarnya.
