Persiapan bagi kelayakan bersejarah Singapura ke Piala Asia 2027 kini semakin giat dipertingkatkan.

Untuk memanfaatkan sepenuhnya setiap tempoh aksi antarabangsa Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), pasukan Singa telah mengatur perlawanan persahabatan menentang Mongolia (kedudukan Fifa ke-187) pada 31 Mei, dan China (kedudukan ke-94 Fifa, 53 tangga lebih tinggi daripada Singapura) pada 5 Jun.

Dalam kenyataan media pada 6 Mei, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menyatakan bahawa ketua jurulatih Singa, Gavin Lee, menekankan kepentingan memanfaatkan peluang tersebut bagi membina keserasian dan meningkatkan prestasi pasukan.

“Setiap tempoh aksi antarabangsa penting bagi kami. Kami mahu manfaatkan sepenuhnya masa yang kami ada dan terus maju sebagai satu pasukan,” katanya.

“Sebagai sebahagian perancangan dan persiapan kami untuk Piala Asia, kami mahu dicabar oleh pasukan yang lebih kuat untuk membolehkan kami keluar daripada keselesaan.”

Kali terakhir pasukan Singa bertembung dengan China adalah semasa Kelayakan Piala Dunia 2024 dengan Singapura yang mencatat keputusan seri 2-2 di stadium sendiri pada 21 Mac 2024, sebelum tewas 1-4 di Tianjin, China, pada 26 Mac 2024.

“Perlawanan menentang China akan memberi kami peluang berharga untuk berdepan dengan ketidakselesaan serta kekal jelas dalam pemikiran, walaupun berdepan tekanan berlebihan,” tambah Lee.

“Ini akan menyokong usaha kami untuk mencapai tahap yang diperlukan bagi Piala Asia Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Arab Saudi 2027.”

Singapura bakal mengetahui siapakah kumpulan dan pesaing mereka bagi Piala Asia pada 9 Mei ini.

Sementara itu, kedua-dua perlawanan persahabatan tersebut akan diadakan di Stadium Jalan Besar, memberikan pasukan itu masa berharga untuk menyesuaikan diri dengan stadium tersebut menjelang Piala Asean Hyundai, yang juga akan berlangsung di sana.

Kejohanan tersebut merupakan kejohanan penting pertama daripada dua kejohanan persiapan menjelang Piala Asia yang akan bermula pada Januari 2027.

Kejohanan persiapan kedua, Piala Asean Fifa, dilaporkan akan bermula pada September.

Dalam kejohanan Piala Asean Hyundai yang dijadual bermula pada 24 Julai, Singapura berada dalam Kumpulan A bersama Vietnam, Indonesia, Kemboja serta pemenang perlawanan kelayakan antara Timor-Leste dengan Brunei Darussalam.

Pada edisi lepas kejohanan tersebut pada 2024, pasukan Singa berjaya mara ke peringkat separuh akhir namun tewas di tangan Vietnam 1-5 secara agregat.

Penyokong tempatan berpeluang turun ke Stadium Jalan Besar dan menyokong pasukan Singa, dengan penjualan tiket bagi kedua-dua perlawanan persahabatan akan dibuka mulai 11 Mei melalui platform rasmi Ticketek dan laman web FAS.

Tiket ditawarkan pada harga $25 (Kategori 1), $20 (Kategori 2) dan $15 (Kategori 3), manakala penyokong pelawat akan ditempatkan di East Gallery Stand dengan harga $25.

Bagi peminat yang ingin menghadiri kedua-dua perlawanan, pakej tiket khas turut ditawarkan – $36 untuk Kategori 2 dan $27 bagi Kategori 3 – sebagai insentif untuk terus menyokong perjalanan Singa.