Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura tolak anjur Sukan Komanwel 2026

Apr 3, 2024 | 2:32 PM
Bunga api dinyalakan pada majlis pembukaan Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang diadakan di Stadium Alexander.
Bunga api dinyalakan pada majlis pembukaan Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang diadakan di Stadium Alexander. - Foto fail

Pencarian negara tuan rumah baru bagi Sukan Komanwel 2026 berterusan, dengan Singapura memutuskan untuk tidak membida bagi penganjuran edisi akan datang acara berbilang sukan itu. 

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 3 April, Sukan Komanwel Singapura (CGS) dan Majlis Sukan Singapura (SportSG) berkata mereka “telah mengkaji kemungkinan untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 dan telah memutuskan untuk tidak membuat sebarang bidaan untuk menjadi tuan rumah temasya itu”.

Keputusan Singapura itu memberi satu lagi tamparan untuk acara tersebut, yang masih dalam keadaan tidak menentu selepas negeri Victoria, Australia – tuan rumah asal – menarik diri kerana kos yang meningkat.

Bajet penganjuran telah melonjak kepada A$7 bilion ($6.15 bilion) daripada anggaran asal sebanyak A$2.6 bilion.

Berikutan itu, Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) pada perhimpunan agungnya pada November 2023 menjemput semua persatuannya, termasuk Singapura, untuk menyatakan minat mereka bagi mengambil alih dan mengesahkan £100 juta ($170 juta) dalam “sokongan kewangan dan strategik” untuk tuan rumah seterusnya.

CGS dan SportSG berkata pada Mac bahawa ia “menilai kebolehlaksanaan jemputan”, walaupun menurut pakar, penganjuran acara empat tahun sekali itu mungkin tidak masuk akal untuk Singapura, memetik sebab seperti kos yang tinggi dan garis masa ketat, lapor The Straits Times.

Bandar-bandar Australia di Gold Coast, yang menjadi tuan rumah Sukan 2018, dan Perth, juga kemudian menggugurkan bidaan bersama mereka untuk Sukan 2026, disebabkan kurangnya sokongan daripada kerajaan negeri atau persekutuan.

Kerajaan Malaysia telah menimbangkan untuk menganjurkan temasya sukan 2026 itu, tetapi akhirnya menolak tawaran kerana kekangan masa, kos dan tawaran pembiayaan yang tidak mencukupi.

Lebih 5,000 atlet dari 72 negara dan wilayah bertanding dalam Sukan Birmingham 2022 merentasi 280 acara dalam 20 sukan. Singapura membawa pulang empat pingat emas, empat perak dan empat gangsa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg