LIVERPOOL: Prestasi hambar Tottenham Hotspur musim ini berterusan apabila mereka disingkirkan daripada saingan Piala Carabao pada 15 September, oleh skuad Liverpool yang sebahagian besarnya dibarisi pemain simpanan.

Pasukan kendalian Roberto de Zerbi itu sekurang-kurangnya berjaya menjaringkan gol pertama mereka musim ini di Stadium Anfield, Liverpool, selepas gagal menjaringkan sebarang gol dalam empat perlawanan liga sebelum ini.

Namun, Spurs tetap ditewaskan hasil jaringan pemain Liverpool, Alexis Mac Allister, Cody Gakpo dan Dominik Szoboszlai yang membantu kelab Liga Perdana bimbingan pengurus Andoni Iraola itu melangkah ke pusingan keempat.

Kedua-dua pengurus menampilkan barisan pemain yang dirombak, dengan Iraola membuat 10 pertukaran kepada kesebelasan utama yang seri tanpa jaringan menentang Fulham pada 12 September. 

Hanya pemain pertahanan tengah, Ronald Araujo, mengekalkan tempatnya, manakala Joe Gomez menggalas tugas sebagai kapten dalam penampilan sulungnya musim ini.

De Zerbi pula melakukan lapan pertukaran kepada skuad Spurs yang seri tanpa jaringan menentang Everton, dengan Andy Robertson berada di bangku simpanan dalam penampilan pertamanya ke Anfield sejak meninggalkan Liverpool pada musim panas lalu.

Spurs memulakan perlawanan dengan baik menerusi percubaan Lucas Bergvall, namun nasib tidak menyebelahinya apabila ia ditepis kemas oleh penjaga gol Liverpool, Giorgi Mamardashvili.

Liverpool kemudian membuka jaringan pada minit ke-21 menerusi Mac Allister yang melepaskan rembatan dari luar kotak penalti terus ke sudut atas gawang selepas menerima bola dari kawasan tersebut.

Spurs berpeluang menyamakan kedudukan selepas setengah jam perlawanan berlangsung, namun sepakan Mohammed Kudus dari jarak dekat melambung tinggi melepasi palang gol. 

Liverpool terus menambah tekanan Spurs pada separuh masa kedua menerusi gol Cody Gakpo, hasil hantaran Mac Allister.

Robertson kemudian dimasukkan dan mendapat tepukan gemuruh daripada penyokong di Anfield, selepas De Zerbi membuat pertukaran pemain. 

Harapan Spurs untuk menguasai perlawanan kembali cerah apabila pemain tengah, Conor Gallagher, menolak masuk bola daripada sepakan sudut Mateus Fernandes pada minit ke-69.

Ia merupakan gol pertama Spurs menentang kelab Liga Perdana musim ini, sekali gus mengakhiri kemarau jaringan mereka sejak 26 Ogos lalu pada pusingan sebelum ini.

Kira-kira 6,000 penyokong tegar Spurs hampir meraikan gol penyamaan menerusi Omar Marmoush, namun Mamardashvili sekali lagi bertindak cemerlang menepis percubaan tersebut sebelum rembatan Savio tersasar dari dalam kotak penalti. 

Szoboszlai melengkapkan kemenangan Liverpool pada masa kecederaan apabila mengawal bola menggunakan dadanya sebelum melepaskan rembatan padu sejauh lebih 20 meter terus ke dalam gawang.

Spurs kini tewas tiga daripada enam perlawanan dalam semua pertandingan musim ini, dengan satu-satunya kemenangan dicatatkan ketika menewaskan Charlton 5-1 dalam pusingan kedua Piala Carabao, pada 26 Ogos.

Seperti yang dijangka, Iraola membuat beberapa pertukaran bagi perlawanan ketiga Liverpool di Anfield dalam tempoh kurang seminggu, dan hasilnya beliau mendapat persembahan bertenaga daripada skuad yang sebahagian besarnya dibarisi pemain simpanan.

“Saya melakukan banyak pertukaran kerana saya rasa ia perlu dilakukan,” kata Iraola.

“Kami kekurangan tenaga pada perlawanan lalu dan kami perlukan pemain yang segar. Saya gembira kerana semua pemain membawa tenaga dan kelajuan yang diperlukan.”

Dengan Florian Wirtz dan Virgil van Dijk direhatkan dan sekadar menyaksikan perlawanan dari bilik layanan tamu di Anfield, persembahan cemerlang para pemain di padang memastikan Iraola tidak menyesali keputusannya.

Mamardashvili yang memulakan perlawanan dengan agak gementar telah melakukan beberapa aksi selamat yang penting, sekali gus membuktikan sebab utama Iraola begitu berminat menandatanganinya sewaktu beliau masih memegang peranan pengurus di Bournemouth sebelum ini.

Ia merupakan malam yang cemerlang buat Liverpool yang bakal bertandang ke Stadium Vitality, Bournemouth, dalam saingan liga hujung minggu ini – di mana Iraola akan bertemu semula dengan bekas kelabnya – dengan harapan untuk meneruskan rekod tanpa kalah mereka musim ini. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti