Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Spurs pimpinan Postecoglou lebih lasak, lebih mengancam

Sep 30, 2023 | 05:30 AM



Awas Liverpool!

Selepas menang empat perlawanan dan seri dua kali, Tottenham Hotspur tampak lebih bersedia berhadapan dengan pasukan gergasi Eropah.

Ini termasuk pasukan Liverpool yang kini menduduki tangga kedua Liga Perdana England (EPL).

Tottenham kini di tangga keempat – dengan 14 mata, dan dua mata di belakang Liverpool, yang telah menang lima perlawanan.

Dalam perlawanan minggu lalu, Tottenham berjaya bangkit dua kali selepas ketinggalan semasa bertandang ke Stadium Emirates untuk seri dengan Arsenal 2-2.

Semangat juang yang dipamer para pemain skuad pimpinan pengurus baru, Ange Postecoglou, menunjukkan sikap tidak pernah mengalah meskipun pihak lawan berada di hadapan dengan jaringan awal.

Termasuk juga pemain pertahanan seperti Cristian Romero yang menjaringkan gol sendiri dan kemudian bola yang terkena tangannya menyebabkan penalti diberi kepada Arsenal dan disempurnakan Bukayo Saka.

Romero, pemain kelahiran Argentina, tetap tenang sepanjang perlawanan tersebut dan sikap sedemikian ternyata amat penting memandangkan beliau tunggak bek tengah pasukan Tottenham.

Kepercayaan terus diberi kepada Romero sepanjang 90 minit perlawanan sehinggakan kapten pasukan, Son Heung-min, memilih Romero untuk menggantikannya selaku kapten, selepas Richarlison mengambil tempatnya di bahagian serangan sekitar 10 minit sebelum perlawanan tamat.

Son, 31 tahun, sememangnya antara bintang Tottenham yang menyerlah dalam pembukaan musim baru ini selepas menyumbatkan lima gol sejauh ini.

Ini termasuk dua gol yang dijaringkannya ketika Tottenham seri 2-2 dengan Arsenal di tempat lawan.

Musim lalu (2022-2023) beliau hanya menjaringkan 10 gol dalam EPL, berbanding 23 gol yang dijaringkannya bagi musim 2021-2022 EPL.

Semasa ditemu ramah Sky Sports selepas perlawanan dengan Arsenal, Son berkata:


“Ia perlawanan yang sukar. Namun persembahan yang dipamerkan semua pemain memang memberangsangkan.

“Saya fikir kami telah berikan segalanya, dan itu yang membuat semua peminat berasa bangga.

“Sememangnya kami ingin menang, tapi saya fikir persembahan kami sempurna.”

Mengenai kaptennya itu, Postecoglou berkata:

“Beliau memang cemerlang selaku seorang pemimpin dan pemain.

“Saya letakkan beliau dalam kedudukan penyerang utama dan nampaknya ia berhasil.

“Fikiran pertamanya adalah, apakah yang terbaik untuk pasukan ini dan beliau letakkan dirinya dalam kedudukan tersebut.

“Saya amat gembira dengannya. Bercakap tentang keharmonian bersama para pemain, Son paling utama, disusuli James Maddison dan Romero.”

Namun yang membimbangkan menjelang pertemuan dengan Liverpool adalah kecederaan yang dialami beberapa pemain.

Antaranya termasuk pemain midfield hadapan, Maddison, dan pemain penyerang, Brennan Johnson – kededuanya mengalami kecederaan semasa menentang Arsenal.

Belum dapat dipastikan sekiranya kededua mereka yang telah bermain dengan cemerlang semasa menentang Arsenal, akan dapat disertakan dalam kesebelasan utama semasa menentang Liverpool.

Maddison yang berganding baik dengan Son telah menjaringkan dua gol dan melakar empat peluang jaringan lain buat rakan-rakan sepasukannya sejak ketibaannya dari Leicester City.

Malah Maddison berasakan Tottenham kini sedang “bergerak ke arah berbeza”.

“Beberapa minggu sebelum ini kami menjaringkan dua gol pada minit ke-98 dan 101 dan akhirnya menang 2-1 ke atas Sheffield United.

“Minggu lalu pula pasukan kami ketinggalan dua kali kepada salah sebuah pasukan terhandal di dunia, namun kami dapat beri tentangan hebat sehingga wisel penamat.”

Adakah Tottenham merupakan pasukan yang akan dapat kekalkan rentak agresif yang dipamerkan sepanjang enam perlawanan EPL musim ini?

Yang pasti strategi Postecoglou sepanjang enam perlawanan EPL musim ini berhasil mencorak Tottenham menjadi sebuah pasukan agresif dengan para pemainnya dianggap duri dalam daging buat pasukan lawan.

Maka amaran bagi Liverpool!

Awas apabila bertandang ke stadium Tottenham Hotspur.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >