LONDON: Tottenham Hotspurs telah mencapai persetujuan untuk menandatangani Manor Solomon dari Shakhtar Donetsk.
Pemain sayap berusia 23 tahun itu akan menjalani pemeriksaan perubatan minggu ini sebelum menandatangani kontrak bersama Spurs.
Solomon dipinjamkan ke Fulham musim lalu selepas Fifa membenarkan pemain yang berpangkalan di Ukraine itu untuk menggantungkan kontrak mereka berikutan pencerobohan Russia.
Pemain Israel itu berada di Kyiv ketika Russia diceroboh Ukraine pada Februari 2022.
Beliau memberitahu BBC Sport awal tahun ini bagaimana beliau “terjaga daripada tidur apabila mendengar bunyi letupan dan semboyan”.
Ketika berada di Fulham, Solomon menjaringkan lima gol dalam 24 penampilan.
Pengurus Fulham, Marco Silva, berminat untuk mengekalkan perkhidmatan Solomon bagi musim depan tetapi pemain itu tertarik dengan tawaran Spurs.
Beliau akan menjadi pemain keempat yang akan menyertai Tottenham pada musim panas ini menyusuli pemindahan pemain sayap Dejan Kulusevski, penjaga gol Guglielmo Vicario dan pemain tengah James Maddison.
Pengurus baru Spurs, Ange Postecoglu, sedang berusaha untuk mengukuhkan pasukannya selepas kelab London itu menamatkan musim yang mengecewakan di tangga kelapan dalam Liga Perdana England musim lalu.
Spurs tidak akan bersaing dalam kejohanan Eropah bagi kempen 2023-2024. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg