MUNICH: Lampu-lampu di Allianz Arena yang juga merupakan stadium Bayern Munich, telah dinyalakan sebagai penghormatan kepada mendiang bekas pemain dan pengurus kelab bola sepak Jerman, Franz Beckenbauer.
Pemain legenda Jerman itu, yang diberi nama gelaran ‘Der Kaiser’ atau maharaja, meninggal dunia pada usia 78 tahun pada 7 Januari.
Beckenbauer mencatatkan kejuaraan sebanyak empat kali bersama Bayern dan bergelar kapten apabila pasukan gergasi itu memenangi Piala Eropah pada 1974, 1975 dan 1976.
Dalam kenyataannya menyusuli pemergian mendiang, kelab tersebut menyatakan:
“Terima kasih atas segalanya, Franz Beckenbauer.”
Bagi memperingati pemain itu, stadium Allianz Arena akan menyalakan lampu-lampu yang memaparkan kalimat ‘Terima Kasih Franz’ antara 4.30 petang dengan 10 malam waktu tempatan sepanjang beberapa hari mendatang.
“Sebagai penutup, penyalaan lampu istimewa itu juga boleh dilihat pada Jumaat, dari 4.30 hingga 12.30 tengah malam ketika perlawanan antara FC Bayern dengan TSG 1899 Hoffenheim,” kata Bayern.
“FC Bayern sedang berduka atas pemergian Franz Beckenbauer,” tulis kelab bola sepak itu dalam kenyataannya.
Pemain handalan itu, khususnya sebagai pemain pertahanan, telah beraksi dengan kelab Bayern Munich sebanyak 582 kali.
Beliau juga menyandang jawatan sebagai pengurus kelab itu sebanyak dua kali dan telah memimpinnya hingga meraih kejuaraan Bundesliga pada 1994 dan Liga Negara-Negara UEFA dua tahun kemudian.
Pada 1994 dan 2009, Beckenbauer menjadi presiden kelab itu pula.
Di peringkat negara, Beckenbauer meraih kemenangan Piala Dunia bagi pasukan Jerman Barat pada 1974 dan berjaya menjulang trofi itu lagi sebagai pengurus pasukan tersebut pada 1990.
Beliau merupakan antara tiga individu yang telah menjulang trofi berkenaan sebagai pemain dan pengurus. Dua yang lain ialah Mario Zagallo dari Brazil dan Didier Deschamps dari Perancis.
Menyusuli berita kematiannya, beberapa pemain bola sepak turut berduka dan merakamkan ucapan masing-masing di media sosial.
Antaranya ialah Sir Geoff Hurst, yang menjaringkan hatrik bagi England dalam final Piala Dunia 1966 dan berhadapan Beckenbauer dalam pasukan Jerman Barat yang tewas dalam perlawanan itu.
“Ini berita sedih mengenai Franz Beckenbauer,” tulis Hurst dalam platform X.
“Harap anda dapat rehat dengan tenang di sana, antara pemain pertahanan terhebat, bersama-sama Bobby Moore di istana legenda-legenda sepanjang masa.”
Bekas kapten England, David Beckham, turut menulis catatan memperingati Beckenbauer.
“Pilu sekali kehilangan seorang yang istimewa, pemain yang istimewa dan seorang lelaki budiman. Kami turut berdukacita dan mengirim kasih sayang kepada keluarga dan teman Franz,” ujar Beckham.
Dalam kenyataan daripada keluarga mendiang, Beckenbauer meninggal dunia di rumahnya.
Kenyataan itu tidak menyebut sebab kematian dan di mana beliau tinggal.
Media tempatan sebelum ini melaporkan keadaan kesihatannya kian merosot dan bertambah buruk. – Agensi berita.
“
“Pilu sekali kehilangan seorang yang istimewa, pemain yang istimewa dan seorang lelaki budiman. Kami turut berdukacita dan mengirim kasih sayang kepada keluarga dan teman Franz.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg