Juara Liga Perdana Singapura (SPL), Lion City Sailors, dan naib juara BG Tampines Rovers bakal kehilangan kelebihan beraksi di padang sendiri bagi perlawanan peringkat benua di Stadium Jalan Besar bermula Ogos 2025.
Ini berikutan keputusan Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) yang melarang penggunaan padang yang sepenuhnya tiruan dalam kejohanan utama peringkat kelab dan pasukan kebangsaan.
Padang di Stadium Jalan Besar menggunakan rumput tiruan sepenuhnya. Stadium Negara tidak terjejas dengan langkah terkini ini.
Dalam satu memo yang dihantar kepada semua anggota AFC pada 11 Jun yang dilihat oleh The Straits Times, badan induk bola sepak Asia itu menjelaskan bahawa langkah ini sejajar dengan usaha meningkatkan mutu permainan, susulan maklum balas yang menyatakan bahawa kualiti padang – terutama padang tiruan – dilihat tidak konsisten dalam beberapa musim kebelakangan ini.
Kejohanan yang terjejas adalah pusingan kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia, kelayakan Piala Asia Wanita dan Sukan Olimpik, Liga Juara-Juara AFC Elite, Liga Juara-Juara AFC Dua (ACL2), serta Liga Juara-Juara Wanita AFC.
Selepas memaklumkan larangan tersebut kepada anggotanya pada 11 Jun, AFC menghantar surat kepada pasukan yang terlibat, meminta mereka mencadangkan padang alternatif bagi perlawanan di tempat sendiri sama ada di padang rumput semula jadi atau hibrid.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg