Starhub, rangkaian penyiaran yang memiliki hak untuk menyiarkan perlawanan Liga Perdana England (EPL) di Singapura, telah melancarkan pas langganan tahunan baru menjelang musim 2026/27.

Diumumkan pada 21 Mei dalam satu sidang media yang menampilkan bekas bintang EPL, Joe Cole dan Nemanja Vidic, Pas Tahunan StarHub Premier+ baru itu akan berharga $238 untuk pelanggan sedia ada StarHub dan $380 untuk bukan pelanggan StarHub bagi langganan selama 12 bulan.

Mereka yang berminat boleh mendaftar untuk pakej tersebut bermula 1 Jun.

Pengumuman tersebut dibuat hanya beberapa hari selepas EPL mengumumkan butiran harga bagi platform penstriman langsung, Premier League+, yang akan menawarkan langganan tahunan pada harga $399.

Berucap pada majlis tersebut, naib presiden hiburan StarHub, Yann Courqueux, menyifatkan perkhidmatan Premier League+ baru itu sebagai pelengkap, dan bukannya pesaing, kepada penawaran StarHub.

“Dengan aplikasi Premier League+, anda boleh mendalami kandungan EPL,” katanya.

“Dengan StarHub pula, anda dapat kandungan yang luas.”

Apabila ditanya Berita Harian (BH), beliau berkata bahawa sementara Premier League+ menawarkan kandungan liga yang khusus, platform StarHub memberi peminat akses kepada pelbagai pertandingan bola sepak dan katalog sukan lebih luas, termasuk Formula Satu (F1), Ultimate Fighting Championship (UFC), dan kejohanan antarabangsa seperti Piala Dunia Fifa.

Beliau juga berkata dengan Starhub, peminat bola sepak boleh mengikuti perkembangan pasukan pilihan mereka di semua pertandingan, seperti Liga Juara-Juara, Liga Europa dan lain-lain lagi – bukan sekadar di EPL sahaja.

Courqueux turut menyatakan bahawa setiap pelanggan StarHub Premier League juga akan menerima akses kepada aplikasi Premier League+ sebagai sebahagian daripada pakej langganan mereka.

Selain pas tahunan yang baru diperkenalkan, pakej bulanan Premier+ StarHub sedia ada masih ditawarkan pada harga $40.74 sebulan untuk bukan pelanggan StarHub dan $25.46 untuk pelanggan StarHub.

Sementara itu, Premier League+ juga akan menawarkan langganan bulanan pada harga $44, di samping pas 24 jam berharga $16.

“Kami amat gembira untuk mengumumkannya hari ini (pas langganan tahunan Starhub), dan menjadikan Liga Perdana lebih mudah diakses oleh semua,” kata Courqueux.

“Inilah yang kami maksudkan dengan ‘bola sepak buat semua’. Bola sepak bagi kami sentiasa adalah tentang menjadikan bola sepak lebih mudah diakses oleh ramai orang.”

Bekas pemain Liverpool dan Chelsea, Joe Cole, menyokong langkah Starhub dan EPL untuk menjadikan EPL dan bola sepak lebih dekat kepada semua.

“Sesiapa sahaja anda mahu menonton setiap perlawanan pasukan anda. Saya rasa itulah sentiasa perkara yang ingin ditawarkan.

“Perkara hebat tentang bola sepak, seperti yang dikatakan oleh Jann (Courqueux), ia adalah permainan global, ia untuk semua orang,” kata bekas pemain sayap EPL itu.

“Jika kami boleh membuat orang rasa lebih dekat dengan mana-mana pasukan yang mereka suka, sama ada Manchester United, Chelsea, Everton, West Ham. Saya rasa itu adalah sesuatu yang positif.”