Dengan tempoh sekitar tiga minggu lagi menjelang perlawanan pembukaan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), pasukan Singapura gagal dalam perlawanan terakhir di Stadium Negara apabila tewas 3-2 kepada Chinese Taipei pada 18 November.
Kekalahan menentang pasukan ke-168 dunia itu, yang berada enam anak tangga di belakang Singapura, menyebabkan penyokong setia tuan rumah di kalangan 6,764 penyokong kelihatan lesu.
Ia jauh berbeza daripada semangat pasukan Singapura apabila mereka bangkit untuk menewaskan Myanmar 3-2 di tempat yang sama 14 November lalu.
Kali ini, tuan rumah gagal menyerlah di kedua-dua separuh masa, bergelut untuk mencipta banyak serangan hasil daripada permainan terbuka sambil mempamerkan pertahanan hambar yang dimanfaatkan oleh pasukan pelawat.
Jurulatih Singapura, Tsutomu Ogura merombak pasukannya selepas menang ke atas Myanmar – kemenangan antarabangsa pertama di bawah kendaliannya – ketika beliau melakukan sembilan pertukaran pada kesebelasan utama dan menggunakan formasi 3-4-2-1 dan bukannya 4-2-3-1 seperti sebelumnya.
Ogura berkata: “Kami mencuba kombinasi baru, pemain hari ini dan (selepas kedua-dua perlawanan) kami telah gunakan 25 pemain dan mencuba formasi baru.
“Ada yang berjaya dan ada yang tidak begitu. Dan sebelum AFF, ini adalah pengalaman yang baik untuk kami. Namun kami tidak menang, saya tidak berpuas hati dan kecewa dengan keputusannya.
“Pada separuh masa pertama, kami bak sedang tidur. Saya beritahu pemain (pada rehat separuh masa), (kami perlukan) lebih banyak bersaing, perlu lebih banyak berlari.”
Jurulatih Chinese Taipei, Gary White gembira kerana merasakan pasukannya layak untuk menang.
White berkata: “Mereka tidak melakukan apa-apa yang berbeza. Ia memudahkan kami sedikit, kerana kami hanya mengikut rancangan yang ditetapkan dan kami sedang menanti mereka melakukan sesuatu secara berbeza.
“Mereka pergi ke (formasi) empat pertahanan ketika permainan berlangsung, tetapi mungkin sudah terlambat. Secara taktikal, saya fikir kami amat cerdik hari ini. Kami lebih klinikal dan sangat teratur.”
Shah Shahiran, yang ketuai pasukan menentang Myanmar pada 14 November, dan kapten tetap Hariss Harun adalah satu-satunya Singa yang mengekalkan tempat dalam kesebelasan utama.
Pemain tengah Lion City Sailors, Hami Syahin, 25 tahun, dipilih selaku kapten kali ini, selaras dengan pendekatan Ogura untuk memilih pemain muda mendukung peranan kepimpinan, manakala pemain pertahanan Balestier Khalsa, Jordan Emaviwe membuat penampilan sulungnya dalam skuad kebangsaan.
Banyaknya perubahan menghasilkan permulaan yang perlahan dan hambar bagi pasukan Singapura.
Akibatnya pasukan pelawat memanfaatkannya pada minit ke-22 apabila Christopher Tiao membuat percubaan yang berhasil menewaskan Izwan Mahbud selepas pertahanan China Taipei itu dengan cepat menahan tandukan Christopher van Huizen.
Pasukan Singapura bernasib baik kerana tidak ketinggalan lebih banyak gol apabila pasukan lawan membuat percubaan yang mengena tiang gol dua kali selepas menjaringkan gol pertama.
Di separuh masa kedua, pasukan tuan rumah meneruskan aksi yang hambar apabila Chinese Taipei menggandakan jaringan pada minit ke-73.
Hariss kehilangan bola di bahagian tengah dan Chen Hao-wei membuat umpanan mudah melepasi pertahanan pasukan Singapura sebelum bola menghala ke kaki pemain tengah kelahiran Sweden, Miguel Filip Sandberg, yang menjaringkan gol.
Pasukan Singapura berjaya merapatkan jurang pada minit ke-85 apabila Irfan Najeeb menjaringkan gol hasil rembatan di dalam petak lawan.
Namun, Chinese Taipei memastikan mereka terus kelebihan dua gol apabila penyerang kelahiran Ivory Coast, Ange Kouame menanduk masuk gol ketiga pelawat pada masa kecederaan.
Shawal kemudian membalas dengan jaringan jarak dekat hanya seminit kemudian, tetapi pasukan pelawat bertahan untuk menamatkan rekod tujuh kekalahan berturut-turut.
Lionel Tan, salah seorang daripada tiga pemain pertahanan, berkata:
“Perasaannya memang tidak selesa apabila kalah, tetapi para pemain perlu kuat dari segi mental. Ini semua tentang bagaimana kita akan bangkit semula.”
Dalam serangan, Singapura bergelut dan banyak bergantung pada peluang set-piece – seperti yang dilihat daripada serangan pertama mereka – dan memanfaatkan hantaran lintang, salah satunya menghasilkan gol kedua pasukan negara.
Skuad Singapura kini perlu kukuhkan semula pasukan menjelang Kejohanan AFF – juga dikenali sebagai Piala Asean Mitsubishi Electric.
Selepas memulakan kempen Kumpulan A menentang Kemboja di Stadium Negara pada 11 Disember, mereka akan menentang Timor-Leste (14 Disember, di padang lawan), Thailand (17 Disember, di tempat sendiri) dan Malaysia (20 Disember, di padang lawan).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg