Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Takraw kembali lakar perancangan selepas kecewa besar di Sukan SEA

Jurulatih nasional, Nur Hisham Adam, percaya mentaliti dan kecergasan pemain boleh diasah jelang Sukan Asia 2026
Dec 19, 2025 | 6:12 PM
sepak takraw, sukan sea 2025, takraw
Pasukan sepak takraw nasional gagal memenangi sebarang perlawanan mereka dalam tiga acara yang disertai dalam Sukan SEA 2025. - Foto SPORTSG

Pasukan sepak takraw Singapura sekali lagi pulang dari Sukan SEA 2025 dengan penuh kekecewaan.

Tiga acara yang disertai tanpa sebarang kemenangan, dan ini merupakan antara prestasi terburuk sejak beberapa tahun lalu.

Ini di samping arena sepak takraw Singapura yang mengalami pelbagai isu dalaman mengenai Persatuan Sukan Nasional (NSA) sejak 2023.

Melihat kepada pemainnya, jurulatih nasional, Nur Hisham Adam, mendapati tahap kecergasan dan mentaliti mereka boleh diperbaiki.

Walaupun hanya menggantikan jurulatih utama Salleh Nanang buat sementara waktu, Hisham bertekad untuk memperbaiki kededua aspek tersebut, khususnya dalam persiapan menghadapi Sukan Asia 2026.

Bercakap kepada Berita Harian (BH) sebagai merumuskan kempen mereka di Thailand, beliau berkata:

“Sejurus selepas pulang nanti, saya ingin memperkukuh rejim pemain di latihan terutamanya kecergasan mereka.

“Di Sukan SEA ini, kita boleh lihat apabila pemain mendapatkan tujuh hingga lapan mata dalam satu set, mereka mudah hilang tumpuan.

“Apabila tahap kecergasan tidak mencukupi, mental juga tidak mampu menyerap tekanan dengan baik, sekali gus menyebabkan pemain mudah melakukan kesilapan.”

Terutamanya sebahagian besar pemainnya masih muda dan baru, mereka tidak didedahkan dengan perlawanan intensiti tinggi dan berpanjangan.

Maka, antara misinya kali ini ialah untuk membentuk pemain yang boleh bermati-matian bermain untuk negara.

“Kalau kita lihat dulu Singapura mampu mencabar kedudukan podium, namun sekarang kita berada di belakang.

“Pemain kita ada kemahiran cuma perlu diasah untuk bermati-matian bermain untuk negara,” tambahnya.

Jurulatih sepak takraw nasional, Nur Hisham Adam (tengah), melihat kecergasan dan mentaliti pemainnya masih boleh diasah menjelang Sukan Asia 2026.
Jurulatih sepak takraw nasional, Nur Hisham Adam (tengah), melihat kecergasan dan mentaliti pemainnya masih boleh diasah menjelang Sukan Asia 2026. - Foto SPORTSG

Di temasya kali ini, pasukan nasional beraksi dalam tiga acara – berpasukan, quadrant, dan regu.

Dalam acara berpasukan, mereka tumpas 0-3 kepada Malaysia, Myanmar, dan Filipina.

Dalam acara quadrant pula, Brunei Darussalam menewaskan mereka 2-1, sebelum Malaysia dan Laos mengatasi Singapura 2-0.

Pasukan nasional hanya diberi kemenangan menentang Kemboja disebabkan negara itu menarik diri daripada Sukan SEA.

Dalam acara regu pula, Singapura tewas 0-2 kepada Indonesia dan Thailand pada 19 Disember.

Pasukan sepak takraw Singapura (barisan belakang) beraksi ketika tewas 0-3 kepada Myanmar dalam acara berpasukan pada 12 Disember.
Pasukan sepak takraw Singapura (barisan belakang) beraksi ketika tewas 0-3 kepada Myanmar dalam acara berpasukan pada 12 Disember. - Foto SPORTSG

Prestasi di Sukan SEA sekali gus mengeruhkan keadaan sepak takraw di sini.

Berita mengenai situasi ketua jurulatih, Salleh Nanang, yang dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung menjelang beberapa minggu sebelum Sukan SEA 2025 bermula juga sudah semestinya menghambat prestasi pasukan.

Sejak itu, Hisham mengambil alih untuk membimbing pasukan nasional sejak itu.

Selain itu, sejak pasukan nasional memenangi pingat gangsa di Sukan SEA 2023, pelbagai masalah telah menimpa arena sukan tersebut mengenai perebutan dalaman bagi pengiktirafan sebagai NSA.

Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) memutuskan untuk menamatkan keanggotaan Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses) berikutan satu mesyuarat jawatankuasa eksekutif di Kuala Lumpur pada akhir 2023 akibat salah laku kepimpinan.

Penamatan keanggotaan antarabangsa menyebabkan Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) mengutus surat kepada Perses untuk memaklumkan ia tidak lagi layak menjadi anggotanya.

Di bawah perlembagaan SNOC, sebuah badan perlu diiktiraf oleh persekutuan antarabangsa, seperti Istaf, untuk menjadi NSA.

Susulan itu, Konfederasi Sepak Takraw Singapura (CSS) – satu gabungan melibatkan 10 persatuan sepak takraw tempatan, bersama Rangkaian Sukan Masyarakat (CSN) tempatan – ditubuhkan untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai NSA.

Namun, Perses menentang kuat sebarang percubaan untuk merampas kedudukan Perses sebagai NSA sepak takraw di Singapura.

Pada Julai 2024, CSS kemudian telah didaftar secara rasmi dengan Pejabat Pendaftar Persatuan (ROS).

Dengan pelbagai isu yang melanda, Hisham menghadapi tugas mencabar untuk mengembalikan sepak takraw ke zaman kegemilangannya terutamanya dengan Sukan Asia menjelang.

Pasukan itu harus membuktikan mereka mampu meyakinkan SNOC untuk beraksi di acara tersebut.

Namun, Hisham hanya menumpukan pada pasukannya dan berhasrat melakukan lebih banyak latihan di luar negara. Ini agar dapat memberikan pemain lebih banyak pendedahan kepada pasukan yang lebih bermutu.

Tetapi, beliau akur terdapat cabaran bagi kumpulan pemain sedia ada untuk mendapatkan cuti daripada pekerjaan tetap mereka.

“Saya ingin adakan pendedahan di luar negara, sekurang-kurangnya selama dua minggu. Kami memerlukan sesi sparring agar pemain dapat menentang pemain negara lain, lantas meningkatkan mutu servis dan sepakan mereka,” ujar beliau.

Tumpuan beliau kini ialah mempersiapkan anak didiknya untuk beraksi di Kejohanan Ujian Ainagoc di Jepun pada Januari 2026.

Beliau berharap dengan masa yang singkat, ia boleh memperkukuh pasukannya sekali gus melayakkan diri ke Sukan Asia.

“Sejurus selepas pulang nanti, saya ingin memperkukuh rejim pemain di latihan terutamanya kecergasan mereka. Di Sukan SEA ini, kita boleh lihat apabila pemain mendapatkan tujuh hingga lapan mata dalam satu set, mereka mudah hilang tumpuan.”
Nur Hisham Adam, jurulatih pasukan sepak takraw nasional.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg