Topik diikuti
Pergi ke BHkuSukan Komanwel 2026 buka tirai; atlet S’pura sedia sahut cabaran
Sukan Komanwel 2026 buka tirai; atlet S’pura sedia sahut cabaran
Gan Ching Hwee dan Mawjit Singh kibar bendera S’pura di upacara pembukaan penuh warna-warni di Glasgow
Sukan Komanwel 2026 buka tirai; atlet S’pura sedia sahut cabaran
Raut wajah penuh kebanggaan jelas terpancar pada perenang negara, Gan Ching Hwee, dan atlet boling padang para, Mawjit Singh Gurmet Singh, semasa mengibarkan bendera dalam upacara pembukaan temasya Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, pada 24 Julai (waktu Singapura).
Atlet Team Singapore (TeamSG) itu dipimpin oleh chef-de-mission, Lau Kok Keng, dan penolongnya, Terry Tay.
Kontinjen Singapura di acara pembukaan itu menampilkan 28 atlet dari pasukan renang, boling padang, angkat besi dan bola keranjang 3x3.
TeamSG, bersama sekitar 3,000 atlet dari 74 negara dan wilayah lain, akan bersaing merebut 215 pingat emas dalam 10 acara sukan dan enam lagi acara sukan para.
Edisi ke-23 temasya Sukan Komanwel kali ini diadakan di Scotland dari 23 Julai hingga 2 Ogos. Negara itu pernah menjadi tuan rumah pada 2014.
Bagi penampilan ke-18 Singapura di temasya itu, seramai 53 atlet – terdiri daripada 22 wanita dan 31 lelaki – akan bertanding dalam tujuh sukan merangkumi sembilan disiplin.
Ia termasuk atletik, gimnastik artistik, boling, boling para, renang, renang para, basikal trek dan lain-lain.
“Diberi amanah untuk membawa bendera negara mendatangkan rasa bangga dan tanggungjawab yang besar kerana anda sedang memimpin kontinjen negara dalam detik yang cukup penting. Ia satu tanggungjawab yang saya pikul dengan serius.
“Suasana acara pembukaan amat menakjubkan, dan saya sangat teruja apabila dapat melihat atlet dari pelbagai negara berhimpun.
“Ini benar-benar menambah kepada pengalaman positif saya di Glasgow setakat ini. Semua orang sangat ramah dan saya tidak sabar untuk mula beraksi,” kata Gan, 23 tahun.
Gan akan berlumba dalam pusingan kelayakan bagi acara 400 meter gaya bebas wanita pada 24 Julai (waktu Singapura).
Sementara itu, penampilan sulung Mawjit di Sukan Komanwel menjadikannya lebih manis setelah diamanahkan dengan peranan pembawa bendera kontinjen atlet para negara.
“Diberi peluang sebegini amat bermakna bagi diri saya, dan saya berasa bangga dapat berkongsi detik ini dengan rakan sepasukan serta semua pihak yang telah menyokong saya selama ini.
“Berarak masuk ke dalam stadium merupakan satu kenangan yang sukar dilupakan,” ujar atlet berusia 62 tahun itu.
Pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, Singapura membawa pulang 12 pingat - empat bagi setiap warna.