Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sukan SEA: Shanti kekal unggul, pertahan emas pecut 100m wanita

Ratu pecut S’pura juara bertahan
Dec 11, 2025 | 9:41 PM
Shanti Pereira, emas 100 meter, Sukan SEA
Ratu pecut Singapura, Shanti Pereira, berjaya mempertahankan gelarannya dalam acara 100 meter wanita di Sukan SEA 2025 di Stadium Nasional Suphachalasai di Bangkok, Thailand pada 11 Disember. - Foto BH oleh KHALID BABA

Ratu pecut Singapura, Shanti Pereira, berjaya mempertahankan gelarannya dalam acara 100 meter wanita Sukan SEA pada 11 Disember.

Di Stadium Nasional Suphachalasai di Bangkok, Thailand, atlet Singapura yang memenangi pusingan saringan dengan catatan masa 11.46 saat itu meraih pingat emas dalam perlumbaan akhir dengan catatan masa 11.36 saat.

Berlumba sebagai juara bertahan biasanya cabaran yang mendebarkan bagi ramai atlet, bahkan di stadium yang dipenuhi penyokong negara tuan rumah, Thailand.

Namun, Shanti tidak tergugat – menyambar pingat emas setelah mengatasi pelari Thailand, Khanonta Jirapat (11.54 saat) dengan Ha Thi Thu dari Vietnam (11.58 saat) terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.

Bercakap kepada Berita Harian (BH) selepas perlumbaan, Shanti berkata temasya Sukan SEA “sentiasa istimewa” baginya, walaupun sudah beraksi sebanyak tujuh kali.

“Hanya berada di sini untuk bersaing pun sudah satu pengalaman yang mengujakan, dan tentunya saya begitu gembira sekali dapat mempertahankan gelaran saya,” katanya.

Kemenangan itu lebih manis bagi Shanti kerana beliau mencatatkan rekod peribadi yang baru.

Sebelum ini, catatan masa terbaiknya bagi musim ini ialah 11.40 saat.

Namun, matlamatnya dari mula tetap untuk mempertahankan pingat emasnya.

“Saya tidak memikirkan sangat tentang catatan masa. Saya cuma mahu bersaing dan berusaha mencapai matlamat saya untuk mempertahankan gelaran saya, tidak kira catatan masa.”

Beliau menambah: “Saya cuba saja untuk menikmati pengalaman ini dengan sepenuhnya, sama ada semasa pemanasan badan, sepanjang keseluruhan proses, malah di hotel dan sepanjang persiapan.”

Kenangan manis di Stadium Nasional Supachalasai pada Kejohanan Atletik Asia 2023 turut menjadi dorongan tambahan bagi Shanti.

Kali terakhir beliau berlumba di stadium itu adalah semasa Kejohanan Atletik Asia 2023, di mana beliau memenangi kededua acara 100 meter dan 200 meter.

Shanti seterusnya akan berusaha mempertahankan gelaran pecut 200 meter Sukan SEA pada 13 Disember.

Seorang lagi pelari pecut negara, Marc Brian Louis, bagaimanapun tidak begitu bernasib baik apabila gagal memenangi pingat selepas menamatkan perlumbaan acara 100 meter lelaki di tempat keempat.

Marc sebelum ini mencapai pingat perak di Sukan SEA 2023 dan gangsa di temasya 2021, tetapi menamatkan perlumbaan di temasya Thailand kali ini di tempat keempat dengan catatan masa 10.32 saat.

Pemegang rekod nasional acara 100 meter itu menyifatkan kekalahannya kepada persaingan rantau yang semakin meningkat.

“Tahun ini lebih mencabar berbanding Sukan SEA sebelum ini. Saya rasa saya sudah melakukan yang terbaik (bagi acara ini),” katanya.

Juara acara 100 meter, pelari tuan rumah, Boonson Puripol, mengukir sejarah sebagai pelari terpantas Asia Tenggara yang pertama untuk mencatatkan masa di bawah 10 saat bagi acara 100 meter lelaki.

Sebelum itu, Puripol mencatatkan masa 9.94 saat di pusingan saringan.

Dalam perlumbaan akhir, Boonson muncul juara dengan catatan 10.00 saat, diikuti Lalu Zohri dari Indonesia (10.25 saat) dan Danish Iftikhar Roslee dari Malaysia (10.26 saat).

Namun, Marc Brian Louis tetap menaruh harapan membawa pulang pingat apabila turun bersaing bagi acara 200 meter nanti.

Dalam aksi lompat kijang, atlet Singapura, Gabriel Lee Jing Yi, meraih pingat gangsa, dengan mencatatkan lompatan sejauh 16.09 meter.

Beliau memecahkan rekod 16.04 meter yang dipegang oleh Stefan Tseng Ke Cheng sejak 2009.

Dalam perlumbaan 1,500 meter, dua wakil Singapura, Amir Rusyaidi Osman dan Oliver Lim, meraih kejayaan peribadi dengan beraksi buat julung-julung kali di temasya Sukan SEA.

Walaupun tidak meraih pingat, pengalaman tersebut tetap bermakna bagi Amir yang menamatkan perlumbaan di tempat kelapan antara 10 pesaing, dengan mencatatkan masa 4 minit 2 saat.

“Akhirnya, saya mahu membanggakan diri saya sepuluh tahun lalu kerana saya impikan pengalaman seperti ini sejak kecil. Tidak kira keputusannya, saya bersyukur atas peluang ini.

Beliau, yang berlatih di Australia, menambah bahawa beliau akan memanfaatkan pengalamannya itu untuk bersiap-sedia dengan lebih untuk Sukan SEA seterusnya, serta menikmati tahap lawan di rantau ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg