Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Singa Muda pulang awal susuli kekalahan 0-3 kepada Thailand

Tiga gol kilat pasukan tuan rumah dalam tujuh minit cukup untuk hukum skuad muda S’pura yang akhiri kempen di tangga corot
Dec 11, 2025 | 10:04 PM
Sukan SEA, bola sepak
Skuad bawah 22 tahun negara kini gagal melepasi peringkat kumpulan Sukan SEA untuk 12 tahun apabila tewas 0-3 kepada Thailand di Stadium Rajamangala pada 11 Disember. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Pasukan bola sepak bawah 22 tahun Singapura tersingkir awal daripada Sukan SEA 2025 apabila tewas 0-3 kepada Thailand di Stadium Rajamangala di Bangkok, Thailand, pada 11 Disember.

Thailand hanya memerlukan tujuh minit untuk menumpaskan skuad kendalian Firdaus Kassim itu.

Jaringan terhasil daripada Siraphop Wandee, Yotsakon Burapha – dua gol – dari minit ke-48 hingga minit ke-54.

Ini sekali gus meranapkan penantian 12 tahun skuad muda negara untuk melepasi peringkat kumpulan dan melayakkan diri ke separuh akhir temasya itu.

Aksi pada setiap separuh masa bagaikan dua cerita yang berbeza.

Sorakan dan dentuman gendang daripada 7,896 penyokong Thailand seakan tidak menggentarkan Singapura, apabila mereka memberi cabaran yang sengit kepada pasukan tuan rumah pada separuh masa pertama.

Firdaus melakukan tiga pertukaran daripada perlawanan pembukaan apabila anak didiknya kalah 1-3 kepada Timor-Leste.

Beliau menurunkan Ong Yu En, Nur Muhammad Asis dan Fairuz Fazli dalam kesebelasan utama bagi memberi suntikan tenaga kepada pasukan.

Seawal minit ketiga, bek tengah Thailand, Suksakit Pattarapon, dikenakan kad kuning selepas menjatuhkan Amir Syafiz ketika beliau mempunyai peluang larian ke arah gol.

Sepakan percuma susulan itu hampir menghadiahkan permulaan impian kepada Singa Muda selepas satu hantaran pendek menemui Asis, yang kemudian melepaskan rembatan tinggi melambung.

Sejurus selepas itu, Amir kemudian menyaksikan rembatannya juga tersasar tinggi menerusi satu gerakan serangan balas.

Thailand memperoleh peluang baik pertama mereka pada minit ke-30 menerusi satu rembatan jarak dekat dalam kotak penalti, namun bola dapat ditepis penjaga gawang, Aizil Yazid.

Singa Muda kemudian hampir menjaringkan gol pertama apabila rembatan Asis, hasil gerakan cantik dari kiri, terkena tiang.

Namun, segalanya musnah pada separuh masa kedua apabila kehilangan tumpuan dan ketenangan memakan diri Singa Muda.

Thailand tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi Siraphop pada minit ke-48.

Pemain tengah Thailand, Sanron Iklas, diberi ruang yang luas sebelum membuat hantaran ke Siraphop yang tanpa dicabar meledakkan gol pertama menerusi kaki kirinya.

Selang tiga minit kemudian, Yotsakon menggandakan kedudukan menerusi satu gerakan cantik dari sebelah kanan untuk merembat bola melepasi kaki Aizil.

Beliau kemudian melengkapkan kemenangan menerusi sepakan percuma jarak dekat yang hebat pada minit ke-54.

Singa Muda kemudian gagal untuk memberi tekanan, dan akhirnya perlu bersiap sedia untuk pulang.

Keputusan itu bermakna Thailand berada di persada Kumpulan A dengan enam mata, manakala Timor-Leste di tempat kedua dengan tiga mata, diikuti Singapura di tangga corot.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg